Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini terpaksa menjelaskan bahawa rakyat Malaysia yang cenderung menyertai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) adalah disebabkan pemahaman konsep jihad secara melampau. Jakim berkata Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan tetapi menyeru umatnya bersederhana dalam segenap aspek kehidupan.
.
Jakim berkata, umat Islam perlu memahami makna jihad yang sebenar kerana kecelaruan minda terhadap makna jihad menyebabkan segelintir mereka cenderung kepada perbuatan yang menyalahi syariat.
.
Kata Jakim, semua perkara kesederhanaan dalam Islam adalah bermatlamatkan kebenaran dan tidak mungkin dicapai melainkan dengan kembali kepada ajaran sunnah Rasulullah dan Al-Quran.
.
"Mimbar ingin berpesan bahawa umat Islam perlulah menghayati dengan jelas tentang fiqh keutamaan (fiqh awlawiyat) untuk membuat pertimbangan hidup yang mana perlu diutamakan dan yang mana perlu dikemudiankan. "Sebagai umat Islam juga kita diseru agar senantiasa berpegang kepada prinsip kesederhanaan. Mimbar ingin menegaskan, janganlah kita menjadi umat Islam yang mendatangkan fitnah pada Islam itu sendiri. "Apa yang pasti adalah Islam sememangnya agama yang bencikan keganasan dan peperangan secara keseluruhannya. Umat Islam mesti mencari jalan untuk memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam sebagai satu agama yang bertujuan memberi rahmat kepada seluruh umat manusia," katanya.
.
Jakim hari ini turut mempersoalkan perjuangan anggota Isis kerana berperang sesama Islam dan mendatangkan kemudaratan untuk mencapai matlamat. Katanya, apa yang pasti, jihad bukan perjuangan menghalalkan darah sesama umat Islam dan tidak sesekali merelakan perlakuan keji yang jelas menyimpang daripada prinsip Islam.
.
"Dalam memperkatakan tentang isu Isis ini, mimbar ingin menyatakan bahawa umat Islam semestinya mempunyai pemikiran yang matang dan hati yang senantiasa tenang. "Persoalannya adakah perjuangan mereka yang melibatkan pertempuran sesama Islam ketika ini dianggap suatu bentuk jihad yang suci? Apakah benar agama Islam yang mulia ini membenarkan perbuatan yang berbentuk keganasan dan kemudaratan demi mencapai matlamat yang murni?"
.
Jakim berkata, Dr Yusuf al-Qaradawi menafsirkan pemerintahan khalifah Islam yang diwujudkan Isis sebagai melanggar undang-undang syariah. Katanya, pandangan sedemikian disokong ulama tersohor dari Magribi, Prof Dr Ahmad al-Raysuni, yang mendakwa Khilafah Islamiah yang dilaungkan tidak lebih dari angan-angan, fatamorgana dan mimpi buruk sama ada ditinjau dari sudut realiti ilmiah mahupun syariah.
.
"Mimbar ingin menyatakan bahawa institusi fatwa tersohor di dunia Darul Ifta’ membuat keputusan bahawa menyertai kumpulan ini adalah haram pada hukum syarak kerana ia mengakibatkan kehancuran negara dan gambaran buruk terhadap Islam dan umatnya. "Begitu juga Fatwa Rawabit Ilmiah Islamiah Syria menyatakan 'mereka seumpama golongan Khawarij terdahulu yang tidak ingin kembali kepada syariat Allah bahkan bertambah dalam kesesatan, mereka sanggup membunuh orang Islam'.
.
"Ketegasan ini bertepatan dengan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-106 yang bersidang pada 23 Oktober 2014 merumuskan penyertaan umat Islam negara ini dalam perjuangan bersenjata militan Isis nama jihad, adalah bertentangan dengan syarak dan kematian dialami bukannya mati syahid," katanya.
.
Sumber: Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA).
IKUTI KAMI 👇
Comments
Post a Comment