JIHAD MELAWAN HAWA NAFSU


JIHAD melawan hawa nafsu merupakan jihad untuk membersihkan jiwa daripada hawa nafsu dan sifat yang keji. Seterusnya kita mesti berusaha supaya jiwa kita ini dapat diisi dengan unsur-unsur kebaikan yang dibawa oleh agama Islam.

.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Naazia’t: Ayat 37-40 — “Untuk orang yang melampaui batas dan dia lebih mengutamakan kehidupan dunia semata-mata; Maka sesungguh¬nya nerakalah tempat kediamannya. 
.
Adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhan-Nya, dan menahan dirinya daripada keinginan hawa nafsu; Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.”
.
Apa yang dimaksudkan dengan melawan hawa nafsu dalam ayat tersebut wa naha al-nafsa a’ni al-hawa bererti menahan dirinya daripada keinginan hawa nafsu. Imam Ibn Kathir mentafsirkan ayat ini: “Ia takut untuk melanggar hukum Allah SWT dan menahan diri sendiri daripada mengikut hawa nafsu dan mengarahkan diri kepada mentaati Allah SWT”.
.
Al-Hawa atau hawa nafsu berfungsi sebagai pendorong dan penggerak utama bagi setiap bentuk kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Hawa nafsu juga menjadi punca utama berlakunya bencana dan kerosakan. Usaha yang dilakukan untuk membanteras hawa nafsu bukanlah sesuatu yang mudah dan senang. Ia memerlukan suatu bentuk jihad yang khusus. Melalui jihad sebeginilah akan dapat membawa manusia keluar dari keadaan kesesatan dan kemaksiatan kepada ketaatan dan kepatuhan.
.
Manusia semestinya sentiasa berusaha untuk melakukan jihad melawan hawa nafsu yang ada dalam diri mereka sendiri melalui menyerahkan hati, lidah dan semua tindak tanduk mereka semata-mata kerana Allah SWT. Ini bertepatan sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj: 78: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya (haqqa jihadihi)”.
.
Menurut Imam al-Qurtubi, firman Allah haqqa jihadihi dalam ayat tersebut mengisyaratkan kepada menjunjung dan mengerjakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan dan tegahan. Selanjutnya beliau menjelaskan : “Berjihadlah terhadap diri sendiri supaya mentaati Allah SWT dan menjauhi hawa nafsu, berjihadlah melawan syaitan supaya godaan dan gangguan dihapuskan, berjihadlah menentang orang zalim supaya kezaliman dapat dibasmi dan berjihadlah menentang orang kafir supaya kekufuran dapat dihindari.”
.
Dalam firman Allah SWT, Surah al-Maaidah: 35 — “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh menyampaikan kepada-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan”.
.
Menurut Imam al-Darimi se¬perti disebut oleh Sheikh al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya: “Ayat ini tidaklah dimaksudkan dengan berjihad melawan orang kafir (yang memusuhi Islam). Apa yang dimaksudkan ialah jihad terhadap diri sendiri dan jihad inilah merupakan jihad akbar ataupun jihad yang paling besar.
.
Selain itu, terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang membicarakan mengenai jihad terhadap diri sendiri, antaranya: “Para mujahid adalah orang yang berusaha menentang dirinya sendiri” - Riwayat al-Tirmizi. Rasulullah SAW bersabda: “Berjihadlah menentang hawa nafsu kamu sebagaimana kamu menentang musuh-musuh kamu.”
.
Baginda menamakan jihad ini dengan jihad akbar sebagaimana sabda Rasulullah SAW kepada para sahabat sekembalinya dari medan perang: “Kamu telah kembali dari medan jihad yang lebih kecil untuk menghadapi jihad yang lebih besar. Para sahabat bertanya: Apakah dia jihad yang lebih besar itu wahai Rasulullah SAW ? Rasulullah SAW bersabda: Jihad terhadap diri sendiri.”
.
Jihad melawan hawa nafsu dianggap jihad yang lebih besar kerana ia merupakan perjuangan menundukkan hawa nafsu supaya jiwa seseorang itu menjadi bersih dan dapat diarahkan kepada kebaikan. Dengan itu, diri manusia akan bersih dan mampu untuk melakukan usaha jihad selanjutnya bagi menentang musuh-musuh Islam di segenap medan pertarungan. Ada pun jiwa yang telah rosak dan terpesong atau jiwa yang telah dikuasai oleh sifat-sifat yang hina dan mengikut hawa nafsu yang keji tidak akan mampu menghadapi dan menentang musuh-musuh yang nyata.
.
Menurut Ibnu al-Qayyim, jihad melawan nafsu mempunyai 4 peringkat :
📌 Berjihad melawan nafsu dengan mempelajari petunjuk dan kebenaran Islam yang menjadi satu-satunya sumber kebahagiaan dan keselamatan jiwa dalam kehidupan dunia dan akhirat.
📌 Berjihad melawan nafsu dengan mengamalkan apa yang dipelajari dan apa yang diketahui.
📌 Berjihad melawan nafsu dengan berdakwah kepada masyarakat berdasarkan ilmu yang dipelajari dan diamalkan dalam semua aspek kehidupan.
📌 Melawan nafsu dengan bersabar dalam memikul beban dakwah kepada Allah dan menghadapi gangguan dari musuh dakwah.
.
Pertembungan kepentingan antara kehendak gelojak hawa nafsu sentiasa menimbulkan konflik dalam diri manusia. Pertembungan ini akan menentukan hala tuju dan status fitrah kehidupan kita. Nafsu jahat dapat dikenal melalui sifat keji dan kotor yang ada pada manusia.
.
Sifat-sifat ini melekat pada hati seperti daki melekat pada badan. Kalau kita tidak mengikis dan membuangnya maka ia semakin kuat dan menebal pada hati kita. Namun untuk membuangnya, seseorang itu memerlukan kesabaran, istiqamah dan niat ikhlas kepada Allah SWT semata-mata bukan untuk tujuan lain.
.
Dalam konteks hari ini, jika kita menoleh kepada sejarah perjuangan Rasulullah SAW ternyata bahawa jihad baginda sepanjang perutusannya adalah untuk menentang hawa nafsu.
.
Jihad baginda bermula dengan wahyu pertama yang menekankan tentang tulis dan baca. Ini merupakan lambang peningkatan ilmu pengetahuan dan kebudayaan manusia yang tinggi sebagai makhluk yang bertamadun.
.
Seterusnya berjihad dalam bidang pengajaran dan pendidikan bagi mendidik jiwa manusia supaya kuat dan dinamik dari segi rohani dan jasmani. Inilah jihad dan perjuangan Rasulullah SAW di sepanjang perjalanan sirah Baginda iaitu mempertingkatkan kehidupan umat dan agama dalam semua bidang sesuai dengan contoh teladan ba-ginda yang amat mulia.
.
Bertitik tolak dari sinilah, Muslim hari ini perlu:
📌 Melawan nafsu keinginan melampau mengejar harta kekayaan dan semua kesenangan duniawi.
📌 Melawan nafsu terhadap perkara yang tidak disukai seperti melawan hawa nafsu dalam melakukan ketaatan.
📌 Melawan hawa nafsu agar meninggalkan maksiat.
📌 Melawan hawa nafsu agar redha dengan ketentuan dan takdir Allah.
.
Umumnya pada hari ini kita mesti berusaha mencari kesempurnaan diri, bertaubat daripada segala dosa yang telah dilakukan, sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain. Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri.
.
Ia bagai pepatah yang mengatakan: “Kuman di seberang laut kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan.” Orang yang sentiasa fokus melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah SWT.
.
Selain itu, terdapat beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh masyarakat kita hari ini iaitu:
📌 Memperkuatkan rasa takut kepada Allah dan selalu mengingati seksaan Allah di akhirat kelak.
📌 Meninggalkan rakan yang tidak baik, supaya tidak mudah terpedaya ajakan hawa nafsu.
📌 Berusaha sedaya upaya mengingati Allah SWT dan membaca al-Quran serta berzikir kerana hati yang lalai amat mudah diceroboh syaitan untuk melakukan maksiat.
📌 Komited dengan program yang baik dan aktiviti yang bermanfaat.
📌 Menghadiri majlis ilmu untuk meningkatkan kefahaman membina kekuatan iman dan melawan hawa nafsu.
📌 Berdoa dan berserah diri kepada Allah SWT.
.
Berdasarkan huraian-huraian tersebut memperjelaskan kepada umat Islam bahawa jihad terhadap diri sendiri melawan hawa nafsu dan memperbaiki diri merupakan jihad yang paling penting sebelum melakukan usaha-usaha jihad yang lain.
.
.
Kredit: Tan Sri Abdullah Mat Zin, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri melalui Utusan Melayu (M) Bhd – 13 Disember 2014




IKUTI KAMI ðŸ‘‡

Comments