‘JIHAD PADA KELUARGA DULU’


Kuala Lumpur: “Sebelum mengambil keputusan untuk berjihad, kamu berdua perlu memberikan tumpuan kepada kebajikan keluarga terlebih dahulu. Malah, saya percaya mana-mana agama juga menyuruh perkara sama,” kata Hakim Datuk Azman Abdullah ketika penghakimannya di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.


.
Nasihat itu diberikan Azman kepada Mohamad Fauzi Misrak, 36 dan Rohaimi Abd Rahim, 39, yang masing-masing bekerja sebagai chef dan perunding kewangan sebelum menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara terhadap kedua-dua tertuduh.
.
Menurut Azman, beliau berharap Mohamad Fauzi dan Rohaimi membuka ‘buku baru’ dengan menjalani kehidupan bersama keluarga masing-masing selepas kedua-duanya selesai menjalani hukuman itu.
.
“Justeru, saya mengambil kira kamu berdua menyesal dengan kesalahan dilakukan dan jika masih mengulanginya lagi, hukuman bukan seperti ini lagi,” katanya.
.
Hakim Azman memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi dakwaan mengatur perolehan harta untuk IS dan penjara dua tahun bagi dakwaan mencari harta bagi manfaat kumpulan itu dan mereka diperintahkan menjalani kedua-dua hukuman secara serentak bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 13 Oktober 2014.
.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Fauzi dan Rohaimi didakwa dengan niat bersama terbabit dalam mengatur yang memudahkan perolehan harta pengganas Negara Islam (IS) dengan mengendalikan akaun Maybank milik Mohamad Fauzi.
.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad cawangan Subang Jaya di Jalan SS15/4D, Subang Jaya dekat sini antara Disember 2013 dan Julai 2014.
.
Mengikut fakta kes, Rohaimi bertindak sebagai pengendali laman Facebook ‘Rakyat Malaysia Bersama Revolusi Islam’ dan membangunkan laman blog Revolusi Islam dan meletakkan nombor akaun bank milik Mohamad Fauzi selepas dipersetujui lelaki itu.
.
Bermula dari Disember 2013 hingga Julai 2014, ada kemasukan daripada seluruh negara dan juga pengeluaran bagi tujuan membantu mujahid dan keluarga mereka yang berada di Syria selain membantu mereka yang mahu ke negara itu.
.
Selain itu, Rohaimi didakwa atas pertuduhan mencari harta bagi manfaat kumpulan pengganas IS melalui blog ‘Revolusi Islam.com’ manakala Mohamad Fauzi pula didakwa bersubahat dengan Rohaimi atas tuduhan sama dengan membenarkan akaun Maybank miliknya digunakan dalam blog sama sebagai medium mencari harta bagi manfaat IS.
.
Kredit: MyMetro Online – 3 Februari 2016
https://bit.ly/2KkZ0WH


IKUTI KAMI 👇

Comments