SIRI 6- FAKTOR-FAKTOR MENDORONG GERAKAN FTF DAESH


[ARTIKEL] FENOMENA FOREIGN TERRORIST FIGHTERS (FTF) DAN EVOLUSI ANCAMAN KONTEMPORARI
.
SIRI 6- FAKTOR-FAKTOR MENDORONG GERAKAN FTF DAESH
.
FTF dalam gerakan militan ke Syria dan Iraq terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan mualaf (individu yang baru memeluk Islam). Antara faktor penyumbang kepada gerakan ini adalah seperti berikut:
.
a. Isolasi. Faktor ini dilihat sebagai push factor penyertaan FTF dari Eropah khususnya dalam kalangan imigran dari Asia Barat, Afrika, Asia Selatan dan Eropah Timur. Perasaan isolasi ini berlaku apabila individu berkenaan sering terasa tersisih daripada masyarakat tempatan disebabkan perbezaan budaya dan sentimen antiimigran oleh Eropah. FTF beranggapan bahawa migrasi ke Syria, Iraq ataupun ke lokasi-lokasi kekuasaan Daesh akan membantu mereka dari aspek pengisian jiwa, nilai kekitaan dan semangat Muslim Brotherhood.
.
b. Naratif Penindasan. Naratif penindasan golongan Sunni di Syria dan Iraq menjadi propaganda yang sering dimainkan oleh rangkaian militan Daesh. Daesh menyatakan bahawa mereka adalah pelindung golongan Sunni yang mendorong FTF untuk migrasi ke kedua-dua negara tersebut.
.
c. Pengaruh Media Sosial. Media sosial amat membantu dalam mempengaruhi gerakan FTF. Ia telah menyebelahi Daesh dari pelbagai sudut sehingga berjaya menarik tumpuan lebih 20,000 pejuang asing ke Syria dan Iraq dalam usaha untuk mewujudkan sebuah Khilafah Islamiyah. Antara saluran media yang digunapakai oleh FTF untuk berhubung dan berinteraksi antara satu sama lain adalah Facebook, Youtube, Twitter, JustPaste, Instagram, Tumblr, Telegram, WeChat, Whatsapp, Periscope, Snapchat, Viber, blog, Skype, website (ISIS.com, alQaeda.org).
.
d. Insentif. Insentif yang ditawarkan kepada FTF adalah dalam bentuk kewangan seperti elaun dan upah. Insentif-insentif lain termasuklah pemberian senjata api serta bahan letupan secara percuma. Di Syria dan Iraq, ada dalam kalangan FTF yang ditawarkan bekerja di sektor-sektor tertentu seperti di restoran, rumah sakit, pengawal keselamatan dan lain-lain.
.
e. Kehidupan Yang Baik. FTF juga dimomokkan dengan kehidupan yang sempurna setelah penubuhan Khilafah Islamiyah di Syria dan Iraq yang mana menjanjikan kehidupan yang lebih Islamik dan harmoni. Dari aspek ini, media Daesh bertanggungjawab dalam menyebarkan propaganda menarik mengenai Khilafah Islamiyah agar memberi persepsi positif kepada FTF. Di sini, terselit kononnya elemen romantis dan perikemanusiaan dalam kalangan masyarakat yang dipimpin Daesh.

Comments