[TEMUBUAL] JIHAD BUKAN SEMATA-MATA BERPERANG DAN BERBUNUHAN


KUALA LUMPUR: Isu jihad hari ini dilihat berkait rapat dengan pergolakan yang berlaku di Syria dan Iraq sehinggakan ada yang beranggapan jihad itu sinonim dengan peperangan dan pertumpahan darah.
.
Propaganda meluas yang tersebar di media sosial dilaporkan berjaya mempengaruhi ramai anak muda termasuk dari negara Barat untuk menyertai apa yang dipanggil sebagai kumpulan Negara Islam (IS).
.
BERNAMA baru-baru ini menemubual Md Asham Ahmad, Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) untuk merungkai isu jihad ini. Berikut adalah hasil temubual itu yang dibahagikan kepada dua bahagian.
.
BERNAMA : Jika diperhatikan perkembangan semasa, jihad sering dianggap sinonim dengan peperangan dan berbunuh-bunuhan.
.
Md Asham: Jihad adalah antara istilah yang banyak dikelirukan terutama sekali melalui media barat. Mereka ini sering menyamakan jihad dengan 'holy war' sedangkan dalam Islam, tidak ada konsep 'holy war'. Yang mempelopori konsep ini adalah mereka yang beragama Kristian apabila mereka melancarkan Perang Salib terhadap umat Islam.
Jadi mereka yang memberikan makna itu dan oleh kerana media mereka yang kuasai jadi makna itulah yang mereka gembar-gemburkan sampai umat Islam pun terpengaruh dan menerima makna itu sedangkan peperangan jihad dalam bentuk peperangan adalah hanya satu daripada makna jihad, bahkan dalam hadis ia disebut sebagai jihad yang kecil sahaja.
.
Jihad itu sendiri adalah satu konsep yang lebih besar tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya, jihad peperangan itu dianggap besar dan ia pula langsung tidak mengambil kira batasan yang dianjurkan oleh Islam. Bahkan jihad mereka menggunakan prinsip 'matlamat menghalalkan cara'. Mereka kata niat mereka betul, niat untuk menghapuskan kezaliman, niat untuk mendatangkan kebaikan kepada umat Islam dan niat untuk menghapuskan musuh-musuh Islam.
.
BERNAMA : Bagaimana pula jihad dan 'pengebom berani mati'?
.
Md Asham: Bukan 'pengebom berani mati', mereka adalah 'pengebom bunuh diri'. Perbuatan ini semakin berleluasa dengan matlamat menimbulkan ketakutan dan mendatangkan kemusnahan. Mereka bukan setakat melakukan serangan ke atas pihak yang terlibat dalam peperangan. Di mana-mana sahaja mereka meletupkan diri, di pasar, di sekolah, di masjid dan di hospital, tidak ada batasan.
.
Sedangkan dalam jihad, Islam ada menganjurkan batasan-batasannya. Contoh, Saidina Abu Bakar sebelum menghantar tenteranya pergi berperang, beliau akan memanggil komander-komander perang untuk memberi pesanan. Apa pesanan dia? Jangan bunuh wanita, orang tua, kanak-kanak malah jangan bunuh binatang. Mereka juga diingatkan jangan tebang atau musnahkan pokok. Jangan musnahkan gereja ataupun rumah ibadat orang Yahudi atau mana-mana rumah ibadat. Mereka juga dilarang membunuh orang yang bersembunyi atau cari perlindungan dalam gereja. Tetapi sekarang, masjid pun mereka musnahkan.
.
Islam sangat-sangat melarang perbuatan membunuh diri, bahkan Nabi Muhammad SAW tidak menyembahyangkan jenazah orang yang bunuh diri. Bagaimana kita boleh gunakan bunuh diri sebagai jalan untuk berjihad? Orang seperti ini sudah rosak pemikirannya. Dia sebenarnya bukan setakat membunuh diri kerana apabila dia meletupkan bom, dia juga membunuh orang lain dan mencacatkan orang lain serta memusnahkan harta benda.
.
Semua ini merupakan hasil daripada kecelaruan pemikiran yang didorong kebencian yang melampau-lampau serta sikap fanatik yang melampau-lampau dan kekecewaan yang melampau-lampau. Banyak tempat di dunia hari ini khususnya dunia Islam berada dalam keadaan yang mendukacitakan yang mana ada campur tangan asing sejak sekian lama, campur tangan tentera, campur tangan politik, ekonomi dan pelbagai lagi sehingga menimbulkan kebencian, kemarahan dan rasa tidak adil. Tapi itu bukan justifikasi kepada perbuatan ini dan kita tidak boleh terima prinsip 'matlamat menghalalkan cara'.
.
BERNAMA: Mungkin ada yang beranggapan jihad sedemikian jalan pintas ke syurga?
.
Md Asham: Jika dia fikir dia akan mati syahid dan dapat syurga, itu tanggapan yang meleset sama sekali. Jihad itu sendiri ada matlamatnya yang mulia. Akan tetapi jika ia tidak dilakukan dengan cara yang betul, ia tidak akan menjadikan jihad itu suatu kebajikan, bahkan dia menjadi satu maksiat pula.
.
Tengok hadis Nabi. Dalam sebuah hadis ada disebut perihal seorang lelaki yang dilarang dari pergi berperang 'fisabilillah' kerana dia ada seorang ibu di bawah jagaannya. Sabda Rasulullah SAW, jihadnya adalah menjaga ibunya. Nabi tak kata jihad itu hanya dengan berperang.
Tidak semua yang mati berperang itu mati 'fisabilillah', itu hanya slogan sahaja. Ada orang menyangka oleh kerana dia berada bersama kumpulan yang mendakwa mereka berjihad 'fisabilillah', maka segala-galanya harus bagi dia, segala-galanya boleh, segala-galanya sah termasuklah membunuh diri dan membunuh orang sewenang-wenangnya. Semua itu dianggap sah kerana agama itu sudah dikecilkan, menjadi peperangan.

Perjuangan IS sebagai contoh, secara terang-terangan bukanlah membawa perjuangan Islam. Sebaliknya mereka ini sebenarnya adalah musuh Islam dan banyak pihak sudah memfatwakan mereka sebagai sesat. Mana-mana golongan pelampau, lagi sesat yang menimbulkan banyak kerosakan dan kemusnahan di muka bumi, maka menjadi kewajipan bagi kerajaan Islam untuk menentang dan menghapuskan mereka.
.
BERNAMA: Kalau jihad yang melibatkan peperangan itu jihad kecil, apa pula jihad yang lebih besar menurut Islam?
.
Md Asham: Rasululllah SAW meletakkan jihad melawan hawa nafsu itu sebagai jihad yang terbesar. Hawa nafsu, kata Nabi adalah musuh kamu yang paling jahat dan paling bahaya dan musuh yang kamu mesti sentiasa awasi. Bila nafsu menguasai diri dan bukan diri yang menguasai nafsu, maka pada masa itu manusia hanya pada rupa sahaja; sedangkan hakikatnya dia adalah haiwan atau binatang yang bertopengkan manusia.
.
Dalam peperangan yang bersifat peperangan fizikal ini, tidak ada undang-undang, penguatkuasaan juga tiada. Yang ada ialah siapa yang berkuasa pada masa itu adalah yang kuat. Maka jika orang yang berperang itu tidak menguasai hawa nafsu, sebaliknya dikuasai hawa nafsu, maka kita akan lihat pelbagai bentuk kezaliman yang tidak pernah terfikir bagi kita manusia yang waras sanggup melakukannya.
.
Kita boleh melihat contoh yang begitu banyak di Iraq dan sekarang di Syria. Di Syria, ratusan ribu sudah mati. Bagaimana pula dengan yang cedera, yang cacat, yang kehilangan anak, yang kehilangan bapa, isteri, kehilangan suami? Lihatlah pula kemusnahan yang berlaku terhadap bandar dan desa serta institusi kehidupan termasuk kemusnahan pusat pengajian Islam dan ekonomi.
.
Lihatlah apa yang dilakukan oleh peperangan yang kononnya adalah alat untuk menghapuskan kezaliman Bashar al Assad, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Kezaliman itu diganti dengan kezaliman yang lebih besar. Wujudnya kezaliman tidak bermakna sewenang-wenangnya sesiapa sahaja boleh mengisytiharkan jihad dalam erti kata berperang. Kita lihat peperangan di Syria menghasilkan kezaliman yang jauh berganda-ganda lebih besar. Mereka seharusnya melihat dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di Iraq dan di Libya yang sehingga sekarang masih belum aman.
.
Islam menghargai keamanan kerana dalam keadaan aman itu banyak perkara yang boleh dilakukan dan banyak kebaikan boleh dicapai. Dengan sebab itu diharamkan dalam semua mazhab mengangkat senjata demi menjatuhkan sebuah kerajaan walau zalim sekalipun selagi mana kerajaan itu tidak, seperti disebut dalam hadis, terang-terangan kafir, meninggalkan agama, memaksa rakyatnya menyembah berhala dan menggunakan kekerasan menghalang agama diamalkan. Kerajaan yang zalim dan kuku besi hendaklah ditegur dan dinasihatkan dengan sabar, bukan dengan mengangkat senjata atau bertumpah darah. Bahkan membunuh sesama Muslim kerana ia adalah kekufuran.
.
Merujuk kembali kepada hadis tentang jihad yang besar tadi sayugia kita ingat bahawa peperangan bersenjata hanyalah jihad yang kecil sedangkan jihad yang lebih besar adalah merujuk kepada kehidupan seharian kita, menguruskan diri, pekerjaan, keluarga, masyarakat, negara dan kehidupan kita keseluruhannya, itulah jihad yang lebih besar.
.
Sebab itu penting untuk kita fahami dengan baik persoalan ini agar yang kecil tidak kita besarkan sedangkan yang besar kita tidak nampak. – BERNAMA
.

Kredit: Md Asham Ahmad, Felo Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang 
dan Politik (SYARAK), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) via BH Online - 1 Disember 2014


Comments