[ARTIKEL] ISIS: PERANAN INTERNET DAN MEDIA SOSIAL. SIRI 2: KEPENTINGAN INTERNET DAN MEDIA TERHADAP TERORIS.


[ARTIKEL] ISIS: PERANAN INTERNET DAN MEDIA SOSIAL

Sumber : Siti Rokiah Ab Rahman & Fadzli Adam 

Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE), Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Siri 2: KEPENTINGAN INTERNET DAN MEDIA TERHADAP TERORIS 
Penggunaan internet dan  media sosial didokumentasi dengan baik oleh organisasi teroris untuk menyebarkan ideologinya. Organisasi teroris ISIS menggunakan internet dan media sosial sebagai alat penyebaran propaganda melalui laman web, perkongsian maklumat, pengumpulan data, pengkalan data, pengumpulan dana, komunikasi dan pengambilan ahli (Conway, 2003). Kepentingan internet dan media sosial sangat penting kepada organisasi teroris ISIS untuk tujuan berikut:
.
1. Propaganda 
ISIS bukanlah kumpulan militan yang boleh dipandang mudah kerana golongan ini adalah mesin perhubungan awam yang mempraktikkan strategi penggunaan media sosial yang canggih seperti Twitter, Facebook, Instagram, Kik, WhatsApp, YouTube, SureSpot, Ask.FM, Tumblr dan aplikasi dan tapak alternatif lain untuk berkomunikasi dengan masyarakat dunia. Penggunaan Twitter adalah penting untuk mempromosikan hashtags manakala laman YouTube berfungsi untuk menyiarkan video seperti di Hollywood dan platform Instagram digunakan untuk memaparkan kehidupan seharian ahli-ahli militan ISIS. Penggunaan media sosial dapat menarik dan merekrut para pejuang dari seluruh pelosok dunia dengan mudah. 
.
Selain itu, penggunaan media adalah lebih terbuka dan bebas serta dapat menyampaikan kandungan serta maklumat dalam masa yang singkat. Fenomena ini membenarkan ISIS mengawal mesej dan imej dan membenarkan organisasi serta pengikutnya menjadi pencipta, pengumpul dan pengedar kepada media mereka. Dengan kelebihan kawalan yang diterima oleh pihak media, organisasi ini berupaya mempromosikan penglibatan dalam talian melalui propaganda kepada masyarakat luar dengan hanya klik butang pada alat teknologi tersebut. Seterusnya, Twitter menjadi platform media sosial yang utama kerana ia membenarkan pengagihan pautan yang mengandungi kandungan propaganda digital organisasi yang efisyen. Salah satu kegunaan utama penggunaan internet oleh teroris adalah penyebaran propaganda. 
.
Secara amnya, propaganda adalah bentuk komunikasi multimedia yang menyediakan arahan secara ideologi atau praktikal, penjelasan atau promosi aktiviti teroris. Ini termasuklah mesej, pembentangan, majalah, audio dan fail audio  dan permainan video yang dibangunkan oleh ISIS. Salah satu prinsip asas undang-undang antarabangsa adalah perlindungan hak asasi manusia termasuklah hak kebebasan bersuara. Seseorang individu berhak untuk berkongsi pendapat atau mengedarkan sesuatu maklumat yang mungkin tidak menyenangkan orang lain tertakluk kepada pengecualian tertentu. Sesuatu pengecualian yang diterima secara umum untuk menghormati hak-hak tersebut adalah larangan pengedaran terhadap kategori tertentu termasuklah kandungan berkaitan seksual dan larangan yang dianggap mempunyai kepentingan umum untuk melindungi sesuatu kelompok. Pengecualian lain adalah diperuntukkan oleh undang-undang dan secara jelas menjejaskan keselamatan dan komunikasi negara yang berniat dan mendorong untuk menghasut tindakan keganasan terhadap individu atau kumpulan tertentu.  


"Bersama Menentang Ekstremis!"

IKUTI KAMI 👇

Comments