Naratif 4 : ISIS Mengatakan Bahawa Perang di Syria dan Iraq adalah merupakan medan jihad untuk mencapai mati syahid.
SIRI 2: APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT.
Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron.
Naratif 4
ISIS Mengatakan Bahawa Perang di Syria dan Iraq adalah merupakan medan jihad untuk mencapai mati syahid.
Bagaimana Melawan Naratif Ini:
Pertamanya, umat
Islam mesti mengetahui fakta sebenar tentang apa yang sedang berlaku di Iraq
dan Syria. Umat Islam tidak boleh secara membuta tuli menyokong perjuangan ISIS hanya berdasarkan ikut-ikutan
atau berdasarkan sentimen agama yang dimainkan oleh propaganda ISIS. Umat Islam
juga mesti mengetahui tentang sejarah Islam agar mereka tidak terkeliru atau di
manipulasi dengan apa yang digambarkan oleh ISIS di Timur Tengah. Menurut
sejarah Islam, apa yang berlaku di Iraq dan Syria ini bukan hanya berlaku pada
abad ini tetapi ia telah berlaku sejak 1400 tahun yang lalu. Konflik merebut
kuasa dan pembunuhan sesama sendiri di kalangan orang Arab telah berlaku sejak
sekian lama. Puncanya adalah perebutan kuasa yang di dominasi atas platform
agama.
Banyak hadis telah menerangkan tentang
peristiwa ini dan ada hadis-hadis palsu serta hadis dhoif yang dibawakan oleh
ISIS untuk menyokong tindakan dan perlakuan mereka (sebagai contoh hadis
berkenaan panji-panji hitam dan Imam
Mahdi serta hadis tentang akhir zaman dan berlakunya kiamat bermula di Syria).
Justeru, umat Islam harus berhati-hati apabila disajikan dengan hadis-hadis
sebegini. Kita bukan menolak hadis secara total tetapi kita menolak tafsiran
hadis tersebut yang mana ia perlu di tafsir mengikut situasi sebenar yang
berlaku pada hari ini di Syria dan Iraq.
Umat Islam mesti mengetahui bahawa apa yang
berlaku di Syria dan Iraq pada hari ini adalah Perang Saudara yang melibatkan
beratus-ratus kumpulan yang ingin mendapatkan kuasa, mengawal wilayah serta
mengawal sumber alam di Iraq dan Syria iaitu minyak. Baru-baru ini satu
gencatan senjata telah diusahakan oleh dua proksi utama di Timur Tengah iaitu
Rusia dan Amerika Syarikat dan melalui gencatan senjata ini, ia mengesahkan
bahawa terdapat sekurang-kurangnya 97 kumpulan kecil termasuk ISIS yang sedang
berperang sesama sendiri dalam konflik tersebut. Kesemua kumpulan yang sedang
berperang sesama sendiri ini adalah terdiri dari umat Islam yang berbeza
ideologi dan dari kabilah yang berbeza. Justeru, mengapa umat Islam mengatakan
konflik di Syria dan Iraq adalah medan jihad? Mereka berperang bukan kerana
mempertahankan agama Islam atau berperang di jalan Allah S.W.T tetapi mereka
sedang berebut kuasa. Oleh itu apa yang berlaku di Syria dan Iraq bukanlah
merupakan medan jihad tetapi medan umat Islam membunuh sesama sendiri kerana merebut
kuasa politik dan ekonomi.
Umat Islam yang ingin berjihad di Syria dan
Iraq sebenarnya hanya menyertai Perang Saudara antara kabilah dan warlords di
sana dan sesiapa yang mati dalam konteks Perang Saudara tersebut sebenarnya
mati sia-sia sahaja. Seperti yang telah diterangkan, konsep dan makna jihad itu
sebenarnya lebih luas bukannya terhad kepada perang di Syria dan Iraq sahaja!
Cuba buka minda kita, adakah sekiranya umat Islam tidak berhijrah ke Syria atau
Iraq serta menyertai “jihad” anjuran ISIS maka umat Islam akan masuk ke
neraka!.Sangat jelas ISIS memanipulasi istilah jihad dan hijrah untuk memenuhi
tuntutan dan agenda politik mereka.
"Bersama Menentang Ekstremis!"
IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment