Naratif 5 – ISIS memberi gambaran bahawa kehidupan di Khilafah Islamiyah mereka adalah yang terbaik sebagaimana tuntutan dalam agama
SIRI 2: APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT.
Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron.
Naratif 5
– ISIS memberi gambaran bahawa kehidupan di Khilafah Islamiyah mereka adalah yang terbaik sebagaimana tuntutan dalam agama
Bagaimana Melawan Naratif Ini:
Sekali lagi, umat Islam mesti membuka minda mereka dan memahami konteks dan situasi dunia pada hari ini. Maklumat serta berita tentang apa yang berlaku di Syria dan Iraq pada hari ini boleh diakses dengan mudah. Justeru, umat Islam harus berlapang dada dan berpijak di bumi yang nyata. Adakah situasi dan kondisi kehidupan di Iraq dan Syria sekarang begitu kondusif dan lebih baik dari kehidupan di Malaysia? Cuba lihat statistik rakyat Syria dan Iraq yang telah menjadi pelarian ketika ini? Cuba kita selidiki status dan statistik rakyat Syria dan Iraq yang mati dibunuh atau terbunuh dalam konflik Perang Saudara ini? Cuba lihat kehancuran fizikal dan modal insan yang sedang berlaku di Syria dan Iraq? Sekiranya ISIS mengatakan bahawa kehidupan di Khilafah Islamiyah mereka lebih baik, mengapa berjuta-juta rakyat Syria dan Iraq kini menjadi pelarian?
Umat Islam mesti memahami dan mengakui bahawa Persatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) telah menyatakan bahawa deklarasi “Khilafah Islamiyah” yang diisytiharkan oleh ISIS adalah “deklarasi yang batil dari segi syariat”. Ketua Ulama Sedunia iaitu Syeikh Yusuf Qaradawi dan Setiausahanya, Syeikh Ali Qaradaghi telah menegaskan deklarasi kekhalifahan itu tidak mengikut syariat Islam dan ianya amat berbahaya bagi golongan Ahlus Sunnah. Persatuan Ulama Sedunia juga meminta kepada segenap kelompok Islam di dunia supaya menghormati pemahaman-pemahaman Islam yang diagungkan di tengah masyarakat serta menghindari tindakan yang dapat mengelirukan dunia ijtihad, iaitu tindakan mengambil keputusan tanpa melibatkan ahlul halli wal aqdi yang terdiri atas para ulama, ahli fikh dan pakar keislaman. Persatuan Ulama Sedunia juga mengingatkan supaya makna kekhalifahan Islam tidak dikaitkan dengan “sebuah organisasi yang dikenal ekstrem dan sama sekali tidak membantu hal-hal yang sah dalam Islam”.
Justeru, umat Islam harus berpijak dibumi yang nyata. Hari ini pembunuhan terhadap umat Islam paling banyak berlaku hampir setiap hari di negara yang majoritinya umat Islam. Ia dilakukan oleh pemimpin dan orang yang mengaku beragama Islam. Lihat sahaja contoh-contoh apa yang berlaku di Mesir, Iraq, Syria dan Sudan. Lihat juga apa yang berlaku di Mesir pada bulan Sep 2013. Rakyat Mesir adalah 80 peratus befahaman ahli Sunnah wal jama’ah dan tentera Mesir juga adalah orang Islam yang berfahaman ahli Sunnah wal jama’ah. Justeru, mengapa mereka membunuh sesama sendiri. Seburuk-buruk Yahudi di Israel, tenteranya tidak sampai ke tahap membunuh rakyat yang mempunyai pegangan agama yang sama. Apabila ia berlaku di negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam maka slogan ’Islam is a solution’ itu adalah retorik yang dimanipulasi oleh orang Islam sendiri demi kepentingan politik sempit mereka.
Sedangkan umat Islam yang menjadi minoriti dikebanyakan negara bukan Islam hidup dengan aman damai, berpeluang menguasai sektor ekonomi dan pendidikan, mereka tidak ditindas dan bebas mempraktikkan ajaran agama Islam. Adakah golongan seperti ISIS ini ingin mengatakan bahawa mereka ini berdosa kerana tidak berjuang menegakkan Khilafah Islamiyah. Adakah semua umat Islam ini akan masuk ke neraka kerana tidak berhijrah dan memperjuangkan Khilafah Islamiyah yang kononnya telah menjadi fardhu ain mengikut hukum yang dijatuhkan oleh golongan ISIS. Disebabkan pandangan binari-dikotomi ini lah yang menjurus umat Islam ketinggalan dalam segenap bidang. Malah lebih buruk lagi gagasan-gagasan politik golongan seperti ISIS ini sebenarnya mengajak umat Islam hidup dalam permusuhan dengan orang bukan Islam hanya disebabkan gagasan utopia mereka sedangkan banyak lagi perkara yang lebih utama perlu dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup, kesejahteraan, keharmonian, pendidikan, ekonomi, keadilan dan kehidupan seharian umat Islam.
Sebenarnya, selagi sebuah negara melaksanakan etos Islam dan kemudiannya menegakkan keadilan sosial serta mencipta satu masyarakat yang harmoni, di mana tidak ada manusia mengambil kesempatan di atas manusia yang lain mahupun mengekploitasi antara kelompok dengan kelompok yang lain, maka ia sudah dikira sebagai satu negara yang baik. Walaupun sesebuah negara itu tidak disebut sebagai negara Islam tetapi jika pemerintahnya melaksanakan nilai-nilai keadilan, kejujuran, amanah dan memihak kepada kepentingan rakyat maka negara itu sudah dapat dikategorikan sebagai sebuah negara Islam.
Menurut pandangan seorang cendikiawan Islam kontemporari iaitu Prof Dr Bakhtiar Effendi pula, polemik Khilafah Islamiyah ini tidak perlu diteruskan kerana ia tidak akan berkesudahan dan apa yang penting ialah umat Islam memperbaiki status dan kondisi mereka dalam aspek ekonomi, pelajaran, sosial dan teknologi yang masih jauh ketinggalan dan tidak hanya menumpukan kepada aspek-aspek kerohanian sahaja. Aspek kerohanian semata-mata tidak akan mampu memperbaiki kondisi umat Islam masa kini ditambah pula dengan perjuangan menegakkan Khilafah Islamiyah yang terlalu ambitious walaupun ia penting tetapi usaha harus ditumpukan kepada mengembalikan kegemilangan umat Islam dalam aspek-aspek yang telah dinyatakan kerana hanya dengan memiliki kelebihan dalam bidang-bidang tersebut maruah umat Islam akan terbela.
Oleh kerana Islam tidak menetapkan bentuk atau model sebuah Negara Islam yang tepat atau ideal justeru, penulis merumuskan bahawa apa yang penting adalah sesebuah pemerintahan itu sepatutnya menekankan tentang sebuah pemerintahan yang adil, ikhsan, jujur, saksama, menjanjikan keamanan dan kesejahteraan kepada warganegaranya, ikhlas, tiada penyimpangan dari syariat dan segala bentuk hukum yang berkaitan dengan syariat dikembalikan kepada Al Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Dalam ertikata lain, penegakan keadilan dan memberikan hak yang sewajarnya kepada warganegara itu lebih penting dari utopia penegakan sebuah Khilafah Islamiyah yang tidak berpenghujung dengan melihat contoh-contoh yang ada di merata pelosok dunia sekarang. Kesimpulannya, sekiranya umat Islam kekal tinggal di negara-negara di mana mereka diami sekarang, mereka juga layak masuk syurga dan menikmati hidup yang sempurna.
"Bersama Menentang Ekstremis!"
IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment