SIRI 2: APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT. - NARATIF 1
[ARTIKEL] MELAWAN NARATIF-NARATIF ISIS
SIRI 2: APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT.
Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron
.
A. NARATIF 1
–ISIS Mengatakan Penegakan sebuah Khilafah Islamiyah adalah menjadi kewajipan Kepada umat Islam dan Semua Umat Islam Perlu Berbai’ah Kepada Khalifah Mereka.
Bagaimana Melawan Naratif ini. Seperti yang telah dinyatakan, naratif yang
paling utama disebarkan oleh ISIS adalah berkenaan penegakan sebuah Khilafah
Islamiyah. ISIS mengatakan bahawa umat Islam perlu menyokong perjuangan mereka
untuk menegakkan sebuah Khilafah Islamiyah dan sesiapa yang tidak berbaia’ah
menyokong atau menyertai perjuangan mereka di kira berdosa serta menjadi
murtad. Adakah perkara ini benar?
Sebenarnya, gerakan kebangkitan umat Islam
dalam rangka menegakkan kembali Khilafah Islamiyah telah muncul di merata
pelosok dunia dengan uslub perjuangan yang berbeza-beza.Khilafah Islamiyah atau
di sebut juga Jama’atul Muslimin adalah merujuk kepada pemerintahan yang
meliputi seluruh dunia Islam. Pada saat Khilafah sudah tiada maka
jama’ah-jama’ah yang ada di merata pelosok dunia sekarang seperti ISIS,
Ikhwanul Muslimin, Jama’at al Islami, Front Islamic Socialis, Hizbut Tahrir,
Darul Islam dan Al Jama’ah Al Islamiyah hanyalah merupakan Jama’atul Minal
Muslimin atau jama’ah-jama’ah kecil dari sebahagian umat Islam yang berusaha
untuk mendirikan Khilafah Islamiyah atau Jama’atul Muslimin. Justeru,
kemunculan sejumlah jama’ah minal muslimin (jama’ah-jama’ah kecil) di merata
pelosok dunia ini adalah merupakan tindakan kolektif dari usaha mereka untuk
mendirikan Khilafah Islamiyah tersebut.
Polemik tentang Daulah Islamiyah atau
Khilafah Islamiyah sebenarnya berpunca dari penafsiran tentang doktrin dan
usaha untuk mengaitkannya dengan realiti umat Islam kontemporari. Kedua-dua
perkara ini yang mencetuskan pelbagai konsep, pandangan, kaedah, matlamat serta
gagasan yang hendak dibawa oleh pelbagai golongan yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka. Bagi
sesetengah ahli masyarakat, Islam adalah merupakan agama yang mengintergrasikan
keseluruhan aspek kehidupan termasuklah kaedah berpolitik. Konsep Negara Islam
atau bentuk negara itu sendiri sebenarnya tidak diterangkan dengan jelas dalam
Islam (melalui Al Quran dan Sunnah) malah dalam Islam sendiri tidak ada
perintah untuk menegakkan Khilafah Islamiyah. Justeru, ia bukan satu hukum yang
wajib kerana jika ia merupakan satu perintah Allah S.W.T dalam Al Quran maka
semua umat Islam yang tidak berjuang menegakkan Khilafah Islamiyah akan dikira
berdosa.
Menurut Azyumardi Azra, seorang tokoh Islam
kontemporari di Indonesia, konsep Khilafah atau Daulah Islamiyah ini tidak
diperlihatkan atau diperjuangkan oleh organisasi Islam yang besar di Indonesia
seperti Nahdatul Ulama dan Muhamadiyah. Ini adalah kerana pemimpin-pemimpin
organisasi ini percaya bahawa konsep Khilafah dan Daulah Islamiyah tersebut
hanyalah
ciptaan tokoh-tokoh pemikir Islam sebelum
ini hasil dari pengalaman umat Islam berhadapan dengan dominasi masyarakat
Barat dan praktik negara bangsa. Dalam konteks luar dari Jazirah Arab, beberapa
kumpulan fundamentalis mengambil contoh dan sangat di pengaruhi oleh kumpulan
dari Timur Tengah maka penampilan mereka mirip kepada apa yang berlaku di sana.
Dari segi penampilan keagamaannya golongan fundamentalis ini menganut fahaman
ideologi salafi radikal dan dalam pandangan politiknya mereka percaya kepada
konsep ‘khilafahtisme’ iaitu kepercayaan untuk menegakkan sebuah Khilafah
Islamiyah untuk semua umat Islam di
dunia ini.
Perkara pertama yang harus diakui bahawa
tidak ada konsep Khilafah Islamiyah yang dinyatakan dalam Al Quran mahu pun
hadis. Di dalam Al Quran cuma ada
dinyatakan konsep ummah (masyarakat) yang berasaskan dua teras iaitu adil dan
ihsan. Ummah perlu dibangunkan berasaskan kedua-dua teras ini dan bukannya
konsep negara. Menurut Munawir Syadzali, bekas Menteri Agama Indonesia
(1983-1993), Islam tidak mempunyai pilihan konsep atau teori tertentu tentang
pembentukan sesebuah negara dan sistem pemerintahannya. Justeru, Islam tidak
secara spesifik mewajibkan penganutnya untuk mendirikan negara apatah lagi
sebuah negara yang bersifat teokratik. Namun begitu, walaupun Islam tidak
menentukan satu kosep yang rigid tentang bentuk sesebuah negara tetapi Islam
memberikan nilai-nilai atau prinsip-prinsip seperti keadilan, mesyuarah dan
persamaan dalam sesebuah negara.
Umat Islam harus memahami bahawa cara
perlantikan Khalifah, “maka ia tidaklah terwujud kecuali dengan penetapan
Ahlul-Halli wal ‘Aqdi .Cara perlantikannya sama sahaja sama ada melalui jalan
pemilihan atau penunjukan (diisytiharkan oleh pemimpin sebelumnya)”
[AlImaamatul-‘Udhmaa oleh Ad Dumaiji hal. 40]. Sekarang, mari kita bertanya
kepada ISIS, siapa nama khalifah sebelum Abu Bakar al-Baghdadi? Siapa tokoh
Ahlul-Halli wal ‘Aqdi yang menobatkan Abu Bakar alBaghdadi sebagai khalifah?
Kesemua persoalan ini tidak akan dapat dijawab oleh ISIS. Justeru, berdasarkan
hujah-hujah ini umat Islam tidak perlu memberi bai’ah kepada Abu Bakar
al-Baghdadi mahu pun berhijrah ke Khilafah Islamiyah ciptaan ISIS. Malah,
Khilafah Islamiyah itu sendiri tidak diperintahkan dalam Al Quran dan ia
bukannya menjadi kewajipan umat Islam untuk menegakkannya.
"Bersama Menentang Ekstremis!"
IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment