Naratif 2 – ISIS Menyatakan Bahawa Jihad telah menjadi Fardu Ain (kewajipan kepada setiap individu umat Islam) dan Jihad tidak mempunyai makna lain selain dari Perang (al Qital).


SIRI 2 (i): APAKAH NARATIF-NARATIF ISIS YANG DISEBARKAN KEPADA UMAT ISLAM DAN BAGAIMANA MENANGKIS NARATIF TERSEBUT.

Sumber: Lt Kol Dr Zulkarnain Haron.

A.  Naratif 2

 – ISIS Menyatakan Bahawa Jihad telah menjadi Fardu Ain (kewajipan kepada setiap individu umat Islam) dan Jihad tidak mempunyai makna lain selain dari Perang (al Qital).









Bagaimana Melawan Naratif ini. Untuk menangkis dan melawan naratif ini, umat Islam perlu memahami konsep dan makna jihad. Jihad mempunyai keutamaan yang besar dalam Islam dan mencakupi semua aspek kehidupan. Ada banyak perbezaan pendapat mengenai definisi jihad dalam Islam. Artikel ini akan mengupas pengertian jihad, menjelaskan perbezaan antara pembunuhan dan peperangan serta hukum keduanya. Lalu, adakah jihad itu fardhu ‘ain atau fardhu kifayah? Sejak bila jihad telah menjadi wajib bagi kaum muslimin? Apakah jihad disyariatkan untuk membela diri atau boleh menyerang terlebih dahulu? Apakah sebab dan justifikasi yang menjadikan perang terhadap kelompok kafir harbi menjadi sesuatu yang diperintahkan? Apakah ia disebabkan oleh permusuhan atau soal kekafiran, iaitu penolakan terhadap agama Islam atau kerana umat Islam di perangi? Mengapa golongan yang tidak menyertai ISIS juga diperangi? Adakah ini dinamakan jihad? Artikel ini juga akan menjelaskan perbezaan antara jihad, perang dan beberapa hal yang berkaitan dengan jihad.

Definisi Jihad

Jihad secara bahasa bermaksud “mengerahkan segala upaya dan kemampuan, baik berupa perkataan mahu pun perbuatan”. Definisi jihad secara syariat yang paling komprehensif diutarakan oleh Ibnu Taimiyah, “Jihad adalah mengerahkan segala upaya demi mencapai kebenaran yang diinginkan”. Di tempat lain, beliau mengatakan, “Hakikat jihad adalah usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai hal-hal yang diredhai oleh Allah seperti iman dan amal soleh, sekaligus untuk menolak hal-hal yang dibenci-Nya seperti kekufuran, kefasikan dan kemaksiatan.”
Definisi tersebut mencakupi semua jenis jihad yang dapat dilakukan oleh seorang umat Islam iaitu meliputi usaha kerasnya dalam mentaati Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ini termasuk juga usahanya dalam mengajak orang lain (Islam atau kafir) untuk mentaati Allah serta usahanya dalam memerangi orang kafir untuk meninggikan kalimat Allah dan sebagainya. Sebuah usaha dikatakan sebagai jihad jika memenuhi syarat, iaitu dilakukan ‘di jalan Allah’. Oleh kerana itu, segala usaha yang dilakukan tidak di jalan Allah S.W.T, maka tidak boleh dikategorikan sebagai jihad.

Sepertimana yang diketahui umum, bahawa semua pejuang dalam Khilafah Islamiyah ISIS dibayar dengan gaji (upah) serta diberikan dengan pelbagai ganjaran seperti elaun perkahwinan dan boleh berjual beli hamba tawanan perang. Justeru, ia bukan lagi merupakan jihad sebaliknya berjuang dalam Khilafah Islamiyah ciptaan ISIS adalah merupakan satu bidang pekerjaan. Oleh itu, adakah perjuangan sebegini dinamakan jihad? Seperkara lagi yang mesti diketahui oleh umat Islam di seluruh dunia bahawa apa yang berlaku di Iraq/Syria sekarang adalah “perang politik” yang menentukan siapa mendapat kuasa (politik) dan siapa yang mengawal sumber alam (minyak). Justeru, perang politik bukan medan jihad!.

Jihad dan Perang

Sebenarnya, fatwa jihad sudah menjadi fardhu Ain dikeluarkan oleh Syeik Abdullah Azzam di era perang di Afghanistan lewat tahun 1980an. Abdullah Azzam mengeluarkan fatwa ini berdasarkan situasi dan konteks di Afghanistan walau pun ia bertentangan dengan pendapat gurunya sendiri iaitu Syeik Abdullah Baz (Mufti Besar Mekah ketika itu). Sebenarnya, fatwa ini lah yang dipakai oleh golongan-golongan fundamentalis seperti ISIS, Al Jamaah Al Islamiyah, Darul Islam, Kumpulan Abu Sayyaf dan Mujahidin Chenchen kerana kesemua pemimpin dan pengasas kumpulan ini pernah dilatih dan atau bertemu dengan Abdullah Azzam semasa perang di Afghanistan dahulu. Justeru, adalah tidak menghairankan jika ISIS juga mengguna pakai fatwa ini kerana Abu Musab Al Zarqawy iaitu pengasas ISIS pernah menyertai perang di Afghanistan ketika beliau berumur 23 tahun. Fahaman ini dikutip dari pengalaman dan pengajian beliau semasa di Afghanistan lagi  Jihad bukanlah sekadar perang yang menjadikan segala sebab, faktor dan tujuan ia dilakukan tetapi jihad hanya terbatas pada berperang di jalan Allah. Jika tujuan perang sudah keluar dari batasan ini, maka ia bukan lagi disebut jihad, tapi perbuatan yang keji yang ditolak oleh syariat dan aturan Islam. Dari sini, kita boleh mendefinisikan bahawa jihad adalah, “Perang di jalan Allah sama ada mengikut secara langsung di barisan tentera, melatih, memberi pendapat dan strategi, memberi rawatan atau pun pengorbanan apajua  yang bertujuan untuk membela keyakinan dan tanah air.”

Namun begitu, kita harus tahu membezakan di antara dua istilah yang mengelirukan dan menimbulkan pemahaman yang negatif dalam mengertikan jihad dalam konteks perang di jalan Allah. Dua istilah tersebut adalah al-qatl (pembunuhan) dan al-qital (peperangan). Kedua-dua istilah ini sangat jauh perbezaannya. Pembunuhan bermakna usaha membunuh pihak lain dengan senjata. Ia bermaksud pembunuh di satu pihak dan terbunuh (mangsa) di pihak yang lain. Sebagai contohnya, ISIS membunuh sesiapa sahaja yang tidak menyokong atau menyertai kumpulan mereka termasuklah orang awam yang tidak terlibat dalam konflik (seperti golongan Yazidis yang tinggal di Pergunungan Sinjar). ISIS juga membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan ideologi salafi takfiri mereka. ISIS bukan sahaja membunuh tentera Assad dan tentera Iraq tetapi mereka juga membunuh pejuang mujahidin yang lain seperti kumpulan Jaish Al Nasr, Ahrar ash Sham, Ansar Al Sham, Jaish al Islam, Ajnad al Sham dan Jabhat An Nusra. Justeru, ini bukan lah jihad di jalan Allah S.W.T tetapi ia adalah merupakan satu pembunuhan untuk menewaskan musuh politik mereka!

Berbeza dengan peperangan yang melibatkan dua pihak yang saling menyerang maka masing-masing mengupayakan pembunuhan untuk melawan tindakan dari pihak lawan. Makna yang ada dalam istilah “jihad”, adalah makna kedua (peperangan), bukan makna pertama, iaitu pembunuhan. Kesimpulan akhir dari analisa ini adalah bahawa perintah jihad dalam Islam, bukanlah perintah membunuh, tapi perintah untuk berperang iaitu usaha mempertahankan diri dari serangan musuh dan untuk menahan dan menghentikan serangannya. Justeru, apa yang dilakukan oleh ISIS
sekarang bukan lah jihad iaitu perang di jalan Allah S.W.T tetapi satu pembunuhan! Kesimpulannya, hukum jihad tidak pernah menjadi fardhu ain (kerana jika ia telah berubah  menjadi fardhu ain bermakna ia menjadi wajib dan sesiapa tidak melakukan perkara wajib maka mereka dikira berdosa) dan jihad bukan semata-mata bermaksud qital (perang) kerana ia mempunyai makna yang lebih luas lagi.

"Bersama Menentang Ekstremis!"

IKUTI KAMI 👇

https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments