ISLAM AGAMA KEAMANAN
Sumber: Cawangan Khutbah Dan Latihan
Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Bahagian Pengurusan Masjid
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Marilah
kita mengambil iktibar dengan peristiwa hitam yang berlaku di Masjid Al-Noor
dan Masjid Linwood, Christchurch New Zealand baru-baru ini berpunca daripada
salah faham terhadap Islam. Sesungguhnya tindakan yang dilakukan oleh pengganas
tersebut sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai muslim yang saling
bersaudara, inilah masanya kita menzahirkan keprihatinan, kebersamaan dan
solidariti. Sesungguhnya Allah SWT sahaja yang mengetahui hikmah di sebalik
peristiwa hitam ini.
Islam
terbukti membawa kedamaian kerana perintah Allah yang banyak di dalam al-Quran
menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa
orang bukan Muslim memeluk Islam setelah disampaikan mesej Islam kepada mereka
bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara
kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana
ajaran Islam. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 61:
Bermaksud
: “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga
hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Ia
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Alhamdulillah,
kita bersyukur kepada Allah SWT kerana Negara Malaysia aman, damai dan harmoni.
Kita dapat menikmati kemakmuran dan keselesaan. Kerajaan sentiasa berusaha
memastikan kemakmuran dan keamanan Negara sentiasa terpelihara. Sesungguhnya
Islam agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan
kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam
menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan
peperangan sehingga menggugat keamanan Negara mahupun dunia. Justeru, sebagai
umat Islam yang cintakan keharmonian dan keamanan, janganlah kita terlalu mudah
mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap perbuatan jahat orang
bukan Islam yang kelak hanya akan
mendatangkan kemudaratan. Ingatlah, perbuatan tersebut tidak akan dapat
memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah serta
prasangka yang berpanjangan. Firman
Allah SWT di dalam surah Fussilat, ayat 34:
Maksudnya
: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan
yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih
baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan
terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
Sabda
Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Amru
bin Al-Ass RA.Huma:
Bermaksud:
“Seorang Muslim ialah orang yang menyelamatkan kaum muslimin dari kejahatan
lisan dan tangannya.”
"Bersama Menentang Ekstremis!"
IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment