KEGANASAN: TELA’AH TERHADAP KONSEP JIHAD FI SABILILLAH. SIRI 1: POLEMIK TERHADAP ISLAM, JIHAD DAN KEGANASAN



KEGANASAN: TELA’AH TERHADAP KONSEP JIHAD FI SABILILLAH

Sumber: Khairunnas Rajab, Fikri MahmudShariah Journal, Vol. 18, No. 3 (2010) 603-628


SIRI 1: POLEMIK TERHADAP ISLAM, JIHAD DAN KEGANASAN



Selepas peristiwa 11 September 2001 imej Islam semakin buruk. Sesetengah pemerhati beranggapan bahawa keganasan benar-benar telah sebati dengan Islam. Perkataan jihad diberi makna negatif dan difahami sebagai aktiviti keganasan atau term yang dianggap sebagai penyebab timbulnya gerakan keganasan. Bahkan menurut Edmund Bosworth, segala aktiviti politik yang berlaku di negara-negara seperti Turki, Iran, Sudan, Ethiopia, Sepanyol, India dan sebagainya selama lebih 12 abad adalah disebabkan oleh panggilan jihad.

Faktor lain yang menyebabkan timbulnya kesalahfahaman terhadap terma jihad dalam Islam:

1. Sentimen Agama

Agama Yahudi, Nasrani dan Islam selalu bersaing sejak zaman Nabi Muhammad lagi dan berterusan sehingga ke hari ini. Ketika wilayah-wilayah yang dahulunya dikuasai Barat Kristian (Rom) ditakluk oleh kaum Muslimin dan diikuti oleh ramai penduduk wilayah tersebut memeluk Islam, umat Kristian kehilangan pengaruh. Impak psikologi yang ditimbulkannya ialah punca rasa cemburu, iri hati, dengki yang berkembang menjadi fitnah.11 Secara ketenteraan, mereka tidak mungkin melawan umat Islam, oleh sebab itu mereka melancarkan perang pemikiran (ghazw al-fikr).

2. Konflik Islam dan Kristian

Konflik tersebut sudah wujud sejak zaman kerasulan Muhammad S.A.W lagi dan dimulai terlebih dahulu oleh pihak Barat itu sendiri (Rom). Kemudian pada masa Khalifah ‘Umar b. alKhattab, umat Islam menakluki Jerusalem. Umat Islam mengambil alih tanah tempat kelahiran Kristian tersebut daripada tangan kerajaan Rom. Pada pertengahan abad ke14 ketika Turki ‘Uthmani menakluki wilayah Balkan, merebut Constantinople tahun 1453 (kemudian tahun 1930 dinamakan Istanbul), dan menyerbu Vienna tahun 1529. Turki pada masa itu dianggap sebagai “teroris dunia. Pihak Barat menggangap penaklukan-penaklukan yang dilakukan umat Islam itu dianggap sebagai agresi budaya (cultural agression), imperialisme Arab (Arab imperialism), atau kolonialisme Islam (Islamic colonialism), dan sebagai bukti bahawa Islam disebarkan dengan menggunakan pedang. Sebaliknya, penjajahan bangsa Eropah tersebut dinamakan sebagai “misi membudayakan bangsa Barbar.
Tetapi antara konflikkonflik tersebut, Perang Saliblah yang paling banyak mempengaruhi persepsi Barat  sehingga menurut para sarjana telah mewariskan kesalahfahaman dan sikap kebencian terhadap Islam yang amat susah untuk dihapuskan kerana sepanjang sejarah antara dunia Barat dan dunia Islam selalu terjadi konflik, maka Islam dianggap sebagai “musuh besar” (the great enemy).

3. Kejahilan Tentang Islam

Pengetahuan masyarakat barat tentang Islam adalah merupakan warisan daripada abad pertengahan dan ditambah dengan berita-berita negative tentang Islam yang dimuatkan di dalam media. Padahal laporan media di Barat sering tidak adil dan tidak seimbang. Max Weber misalnya memandang Islam sebagai “agama perang” (the religion of warrior class), dan bertujuan untuk mendapatkan ufti (jizyah) daripada penganut agama lain, supaya Islam naik ke peringkat tertinggi dalam skala sosial dunia. Pandangan Weber ini banyak berpengaruh dalam kajian Islam di Barat, bahkan berpengaruh pada hegemoni Amerika gaya baru (the new-style American hegemony) yang menentukan polisi luar negerinya.

4. Kompleks Superioriti Barat

Sejak zaman Yunani (Greek), Barat mengidap semacam kompleks superioriti yang membahagi dunia kepada dua macam iaitu: dunia Barat (the West), dan dunia lainnya (the rest). Dunia Barat dianggap lebih beradab, lebih bertamadun, memiliki sifat-sifat yang positif dan superior; sedangkan dunia lain dianggap biadab, Barbarian,31 tidak bertamadun. Oleh itu, penilaian mereka terhadap bangsa bukan Barat selalu negatif. Umat Islam disebut Saracens, Moors, dan lain-lain. Kajian-kajian yang dibuat oleh para orientalis banyak dipengaruhi oleh kompleksiti ini.

5. Sikap Sebahagian Daripada Umat Islam Itu Sendiri

Segolongan umat Islam memang ada yang bertindak ganas, mereka melakukan keganasan dengan alasan melaksanakan jihad. Ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi yang berkenaan dengan jihad difahami dengan cara kurang teliti untuk membenarkan tindakan keganasan yang mereka lakukan. Bahkan ada yang menamakan kumpulan mereka dengan menggunakan perkataan jihad, seperti alJihad al-Islami, al-Tawhid wa al-Jihad, dan sebagainya. Tragedi 11 September 2001 disambut oleh segelintir umat Islam dengan rasa syukur dan penuh kegembiraan, walaupun para ulama dan pemimpin Muslim mengutuknya. Ekoran peristiwa itu imej buruk tentang Islam  yang telah berakar umbi di Barat sejak berabad-abad silam semakin bertambah kuat. Sebagaimana pada masyarakat lainnya, gerakan yang melakukan aksi keganasan memang wujud pula dalam masyarakat Islam. Kumpulan-kumpulan tersebut, walaupun berlainan nama dan tempat, tetapi dalam melakukan kegiatannya mereka sama-sama menjadikan jihad sebagai alasan bagi gerakan yang mereka lakukan.

"Bersama Menentang Ekstremis!"


IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre


Comments