KES TIGA ANCAMAN BOM DI KL: POLIS TELITI CCTV KENAL PASTI SUSPEK
KUALA LUMPUR - Polis meneliti rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek yang meletakkan objek
dipercayai alat Letupan Termampat (IED) di laman sebuah rumah di Bukit
Damansara, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan
Lazim berkata, siasatan masih giat dilakukan bagi mengetahui motif dan mengapa
IED itu berada di lokasi terbabit.
"Kita teliti semua CCTV di kawasan
sekeliling dan kita minta orang ramai yang ada maklumat tentang kejadian itu
untuk tampil bantu siasatan.
"Polis juga telah merekodkan
keterangan pemilik kediaman tersebut untuk ketahui lebih lanjut kejadian, namun
setakat ini tiada lagi bukti kukuh yang mengaitkan kes itu dengan unsur
jenayah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Mazlan berkata, polis turut meminta
masyarakat usah bimbang dan segera melaporkan kepada pihaknya sekiranya melihat
kehadiran individu yang mencurigakan.
Selain itu, Mazlan turut menegaskan bahawa
kes penemuan IED itu tiada sebarang kaitan dengan serangan siri letupan bom
yang berlaku di Bangkok, Thailand, semalam.
Terdahulu, IED itu ditemui orang awam pada
5 petang sebelum Unit Pemusnah Bom (UPB) dikejarkan ke lokasi untuk membuat
pemeriksaan dan mengesahkan objek ditemui itu adalah IED tidak sempurna.
Kemudian, pusat kawalan Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Brickfields menerima maklumat daripada pihak MRCB KL Sentral
mengatakan terdapat ancaman bom diletakkan di sekitar KL Sentral.
Maklumat itu dihantar melalui laman Twitter
iMais-Uma Agencia Sincera@aganciaimais, pada 7.21 malam dan ia dipercayai palsu
selepas pemeriksaan yang dilakukan polis tidak menjumpai sebarang objek
mencurigakan.
Bagi kes ketiga, Polis Kuala Lumpur turut
menerima ancaman sama di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang dan siasatan mendapati ia
adalah palsu.
"Siasatan juga dijalankan terhadap
pemilik Twitter itu. Ketiga-tiga kes ini tiada kaitan dan keadaan di
ketiga-tiga tempat ini terkawal dengan kawalan pihak polis.
"Saya tegaskan orang ramai usah
tularkan perkara-perkara yang tidak betul bagi mengelakkan mereka dikenakan
tindakan," katanya.
Source: Sinar Harian – 02 Ogos 2019
FOLLOW
US 👇
https://facebook.com/alhaqcentre2020
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"Together Against Extremism."
Comments
Post a Comment