SIRI 2: JIHAD DALAM TERMINOLOGI ISLAM


KEGANASAN: TELA’AH TERHADAP KONSEP JIHAD FI SABILILLAH

Sumber: Khairunnas Rajab, Fikri MahmudShariah Journal, Vol. 18, No. 3 (2010) 603-628


SIRI 2: JIHAD DALAM TERMINOLOGI ISLAM





Para ulama dari pelbagai kalangan berbeza pandangan dalam memberikan definisi jihad. Ada yang mendefinisikannya secara umum, dan ada pula yang mendefinisikannya secara khusus. Antara ulama yang mendefinisikannya secara umum adalah Ibn Taymiyyah, menurutnya: “Jihad merupakan hakikat ijtihad (pengerahan segala daya upaya secara maksimum) dalam menghasilkan apa sahaja yang disukai Allah berupa keimanan dan segala pekerjaan yang baik, dan menolak segala yang dibenci Allah berupa kekafiran, kefasikan, serta kemaksiatan.

Definisi tersebut sama dengan definisi daripada Syalabi yang menjelaskan jihad sebagai “pengerahan daya upaya untuk menolak segala bentuk kejahatan dan mewujudkan kebaikan.”42 Dalam pengertian ini, segala aktiviti yang boleh mendatangkan kemaslahatan dan mencegah timbulnya keburukan bagi manusia termasuk dalam cakupan jihad. Oleh itu, ada di kalangan ulama yang menggunakan istilah jihad untuk menyebut aktiviti dalam bidang selain peperangan, seperti jihad dakwah, jihad ekonomi, jihad politik, jihad pendidikan dan lainnya, yang boleh membawa kemajuan bagi umat.43 Pembanterasan segala bentuk jenayah, kemaksiatan dan sebagainya, juga termasuk jihad dalam pengertian umum ini. Sungguhpun demikian, sesetengah daripada ulama hanya menumpukan pengertian jihad pada masalah “peperangan.” Hal ini telah menimbulkan persepsi bahawa yang dimaksudkan dengan jihad itu adalah perang sematamata.

Dalam al-Qur’an pengertian jihad tidak selalu bermakna “perang” menggunakan senjata, melainkan “perjuangan” atau “perlawanan” secara umum. Sebaliknya perang bersenjata diungkapkan dengan perkataan “al-Qital” atau “al-Harb.”

Ayat-ayat jihad yang turun di Makkah tidak satupun yang bermakna perang bersenjata, seperti yang terdapat pada ayat-ayat berikut:

1. Surah al-Furqan, 25: 52

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan al-Qur’an dengan jihad yang besar.”

2. Surah al-‘Ankabut, 29: 6

“Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benarbenar Maha Kaya dari semesta alam.”


Perintah perang ketika di Madinah disebut dengan menggunakan perkataan “qital” bukannya “jihad,” sebagaimana yang terkandung dalam ayat-ayat berikut:   

1. Surah al-Baqarah, 2: 216

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

2. Surah al-Baqarah, 2: 190

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.”           

Ada ayat yang memerintahkan berjihad menghadapi orang-orang kafir dan munafiq dengan menggunakan perkataan “jahid” seperti pada ayat di bawah ini:

1.  Surah al-Tawbah, 9: 73

“Hai Nabi, berjihadlah (melawan) orang-orang kafir dan orangorang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.”

Pengertian jihad dalam ayat ini tidak harus difahami sebagai “perang bersenjata” sahaja, kerana Nabi tidak pernah memerangi orang-orang munafik dengan senjata, melainkan hanya dengan menggunakan kata-kata.


"Bersama Menentang Ekstremis!"


IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre



Comments