SIRI 3: KEGANASAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM


KEGANASAN: TELA’AH TERHADAP KONSEP JIHAD FI SABILILLAH

Sumber: Khairunnas Rajab, Fikri MahmudShariah Journal, Vol. 18, No. 3 (2010) 603-628


SIRI 3: KEGANASAN DALAM PERSPEKTIF ISLAM








Dalam literatur Islam tidak dijumpai istilah keganasan atau terorisme, yang ada hanyalah istilah al-Hirabah dan al-Bughah. Al-Hirabah adalah aksi jenayah yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang-orang bersenjata untuk mencipta ketakutan, membunuh atau menumpahkan darah, merampas atau merosak harta benda, tanam-tanaman, binatang ternak dan sebagainya. Pelaku kegiatan ini disebut al-Muharibun dan Qutta‘ al-Tariq. Sedangkan al-Bughah digunakan untuk menyebut kumpulan pemberontak yang tidak lagi mentaati, bahkan mengadakan perlawanan bersenjata terhadap kerajaan yang terpilih secara sah. Kedua-dua perkara ini memiliki perbezaan dengan terorisme. Al-Hirabah lebih menjurus kepada aktiviti jenayah tanpa ada tujuan politik di dalamnya, tetapi boleh berubah menjadi terorisme apabila ianya dijadikan oleh kumpulan tertentu sebagai cara untuk mencapai tujuan-tujuan mereka. Sedangkan al-Bughah adalah gerakan pemberontakan, ada unsur politik dalam gerakan tersebut, namun boleh pula berubah menjadi terorisme apabila pihak pemberontak itu menjadikan masyarakat sivil sebagai sasaran untuk mengugut atau menekan pihak lawannya.

Huraian ulama daripada mazhab Hanafi yang membahagikan kumpulan bersenjata yang menentang kerajaan kepada empat golongan:

 Pertama

Kelompok penentang kerajaan bukan kerana mereka tersalah dalam menta’wilkan (mentafsirkan) nas-nas agama, sama ada mereka mempunyai angkatan bersenjata mahupun tidak, mereka keluar merampas harta benda, membunuh, dan menakutkan orang-orang yang sedang dalam perjalanan; mereka ini dinamakan Qutta‘ al-Tariq (bandit).

Kedua
Sama kegiatannya dengan kelompok pertama di atas, tetapi mereka tidak mempunyai angkatan bersenjata, mereka menentang kerajaan kerana tersalah dalam menta’wilkan (mentafsirkan) nas-nas agama; hukum mereka sama dengan hukum Qutta‘ al-Tariq.

Ketiga
kelompok fanatik bersenjata menentang kerajaan kerana menta’wilkan (mentafsirkan) nas-nas agama, menganggap kerajaan tidak lagi sah diikuti dan telah kafir, atau kerajaan melakukan maksiat dan wajib diperangi sesuai dengan perintah agama sebagaimana mereka ta’wilkan; kumpulan ini dinamakan kumpulan Khawarij, mereka menghalalkan darah kaum Muslimin, merampas harta benda mereka, membolehkan memperbudak kaum perempuan mereka, dan mengkafirkan para sahabat Nabi. Hukum mereka menurut majoriti ulama fiqh dan ulama hadith sama dengan hukum al-Bughah (pemberontak).

Keempat
kumpulan Muslim yang menentang pemimpin kerajaan yang adil, tetapi mereka tidak menghalalkan darah kaum Muslimin dan tidak pula membolehkan memperbudak para wanita dan kanakkanak mereka sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan Khawarij, mereka juga tidak mengkafirkan kerajaan; kumpulan ini dinamakan al-Bughah (pemberontak).


Tiga golongan pertama dalam pembahagian di atas menggunakan caracara terorisme, sama ada mereka hanya menyerang masyarakat sivil sahaja (kumpulan ke-1 dan ke-2), mahupun menyerang kerajaan dan masyarakat sivil (kumpulan ke-3); sedangkan kumpulan ke-4 hanya menyerang kerajaan sahaja, mereka tidak menyerang masyarakat sivil, kumpulan ini adalah murni pemberontak (al-Bughah), mereka tidak mengamalkan cara-cara terorisme.

Memang apabila dilihat kepada tindakan atau aksi gerakannya, maka terorisme lebih banyak kemiripannya dengan al-Hirabah, itulah sebabnya Majma‘ al-Fiqh al-Islami menyamaertikan terorisme dengannya.56 Namun, jika dilihat pula kepada pelakunya maka terorisme boleh jadi pula digunakan oleh kumpulan al-Bughah. Khalifah ‘Ali b. Abi Talib menamakan kumpulan pemberontak yang memeranginya termasuk Khawarij yang menggunakan cara- cara terorisme dengan al-Bughah.  Sungguhpun demikian, kerana terorisme itu adalah “cara bertindak” maka status yang lebih sesuai dengannya adalah al-Hirabah. Jika ianya dilakukan oleh kumpulan al-Bughah maka bukan hanya sekadar al-Bughah, sebaliknya adalah “al-Bughah” dan “al-Hirabah” sekaligus.


"Bersama Menentang Ekstremis!"

IKUTI KAMI 👇

https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments