16 INDIVIDU DISYAKI TERLIBAT DAESH DITAHAN PDRM
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis Diraja
Malaysia (PDRM) memberkas 16 individu membabitkan warga tempatan dan asing
selepas dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas. Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin
Pitchay berkata, operasi sepasukan anggota E8 itu dilakukan bermula 10 Julai
hingga 25 September di sekitar Sabah, Sarawak, Selangor, Pulau Pinang, Pahang,
Kuala Lumpur dan Johor.
Menurutnya, tangkapan pertama pada 10 Julai
di Keningau, Sabah melibatkan seorang lelaki warga Indonesia berusia 25 tahun
dan bekerja sebagai pekerja ladang kelapa sawit. Suspek bertindak sebagai
fasilitator yang menguruskan kemasukan sepasang suami isteri warga Indonesia
bersama tiga anaknya yang melakukan serangan bunuh diri ke atas sebuah gereja
di Jolo Filipina pada Disember tahun lalu."Suspek juga dipercayai
menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di Selatan Filipina serta
merancang untuk berjihad di Syria," katanya dalam sidang akhbar di Bukit
Aman hari ini.
Beliau berkata, tangkapan kedua di Subang
Jaya pada 2 Ogos membabitkan seorang wanita warga India berusia 38 tahun yang
bekerja sebagai pembantu pembersihan rumah. Sejak tahun 2017 wanita terbabit
menganggotai kumpulan Sikh For Justice (SFJ) yang diharamkan di India selain
berperanan sebagai penyalur dana kepada kumpulan tersebut.
Katanya, susulan itu dua lelaki rakyat
tempatan berusia 21 dan 26 tahun turut berjaya ditahan di Keningau dan Tenom
Sabah pada 6 September kerana berperanan sebagai fasilitator terhadap serangan
di Jolo Selatan Filipina. Selain itu menerusi operasi bermula 14 September
hingga 25 September di sekitar Miri, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, Kuala
Lumpur, Selangor dan Johor, polis berjaya melumpuhkan satu sel baharu Daesh
gabungan antara rakyat Malaysia dan Indonesia membabitkan 12 individu termasuk
seorang wanita berusia antara 22 hingga 36 tahun. "Tangkapan membabitkan
seorang lelaki tempatan dan 11 warganegara Indonesia termasuk wanita berkenaan.
Kumpulan ini aktif mempromosikan ideologi Daesh dan merekrut anggota baharu
menerusi laman sosial terutamanya warganegara Malaysia dan Indonesia dan
merancang untuk melakukan serangan terhadap kedua-dua negara berkenaan selepas
berjaya merekrut seramai mungkin anggota.
Semua suspek disiasat mengikut Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747) manakala wanita
warganegara India terbabit ditahan mengikut Akta Imigresen dan diusir ke negara
asalnya pada 15 Ogos lalu.
Source:
Sinar Harian – 26 September 2019
Oleh: Muhammad Afham Ramli
Oleh: Muhammad Afham Ramli
"Bersama
Menentang Ekstremis!"
IKUTI
KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
Comments
Post a Comment