KEHARMONIAN HIDUP DALAM MASYARAKAT MAJMUK
[SIRI 1] FITRAH KEJADIAN MANUSIA
SUMBER: JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)
Sesungguhnya
kepelbagaian bangsa dan cara hidup, perbezaan pandangan dan pertembungan budaya
antara manusia adalah fitrah kejadian manusia. Ia perlu ditadbir dan diurus
dengan cara yang bijaksana. Inilah cabaran yang amat besar yang sekiranya gagal
dipelihara akan mencetuskan perbalahan dan peperangan. Kepelbagaian bangsa dan
budaya itu sebenarnya penting untuk memakmurkan bumi ini. Apabila digabungkan
dengan semangat, saling bantu-membantu, bertoleransi dan saling menyumbang ke
arah kejayaan negara, maka kehidupan manusia akan aman dan sejahtera.
Oleh yang demikian,
Allah SWT mengingatkan kita supaya hidup di atas bumi secara harmoni,
tolong-menolong, hormat-menghormati dan meraikan perbezaan. Agama Islam
melarang sesama manusia membezabezakan sesama kita berdasar kepada bangsa,
keturunan dan warna kulit. Sebaliknya Islam menilai kemuliaan manusia adalah
berdasar kepada tahap keimanan dan ketaqwaan mereka di sisi Allah SWT. Ini
dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT dalam Surah
Al-Hujurat, ayat 13:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah
mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi
Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih
keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Ini menjelaskan,
walaupun seseorang muslim itu dari pelbagai bangsa, mereka semua adalah satu
umat, sama taraf dan bersaudara yang diikat dengan ikatan tauhid yang suci dan
agung disisi Allah SWT tanpa menghilangkan identiti bangsa mereka walau sedikit
pun. Ini terbukti apabila Saidina Abu Bakar al-Siddiq dari bangsa Arab, Bilal
bin Rabah dari bangsa Habsyah, Salman Al Farisi dari bangsa Parsi dan Suhaib
dari bangsa Rom disatukan menjadi satu umat Islam yang mulia disebabkan
keimanan dan keislaman mereka.
Comments
Post a Comment