PERTUBUHAN HIZBUT
TAHRIR: MENGAPA IA PERLU DITOLAK
[SIRI 1] PENGENALAN
DAN LATAR BELAKANG
SUMBER: BERITA TENTERA DARAT MALAYSIA (BTDM)
Oleh: Mej Hj Ahmad
Shukri Hj Hashim
PENGENALAN
Pertubuhan Hizbut Tahrir adalah merupakan satu pertubuhan tidak
berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) yang bergerak
cergas di Malaysia pada hari ini. Di Malaysia ia dikenali sebagai Hizbut Tahrir
Malaysia (HTM). Hizbut Tahrir adalah bahasa arab yang membawa maksud Parti
Pembebasan. Pertubuhan ini bukan sekadar bermotifkan politik untuk mengambil
alih pemerintahan negara-negara di dunia khususnya bagi negara-negara di bawah
pemerintahan Muslim bagi membentuk dan mengembalikan pemerintahan negara Islam
berkhalifah bahkan ia juga melampaui kepada hal ehwal kefahaman agama yang mana
ianya tersasar dari landasan kefahaman aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pertubuhan ini ditubuhkan di Palestin dan sekarang dalam peringkat menyebarkan
kefahaman dan ideologi mereka kepada masyarakat Islam di seluruh dunia termasuk
negara Malaysia.
LATAR BELAKANG HIZBUT TAHRIR
Pengasas Hizbut Tahrir
Pertubuhan ini diasaskan oleh Sheikh Taqiyudin bin Ibrahim An-Nabhani (1909M – 1979M) kelahiran Ijzim, sebuah kampung di daerah Haifa, Palestin. Beliau membesar dalam suasana pengaruh agama di sekelilingnya. Mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri iaitu seorang alim yang faqih dalam agama. Ibunya juga menguasai beberapa cabang ilmu agama yang diperolehi dari datuknya Syeikh Yusuf bin Ismail bin Yusuf an-Nabhani. Setelah tamat pendidikan awal di peringkat sekolah di kampungnya beliau melanjutkan pendidikannya ke Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum Mesir. Pernah menjadi guru dan hakim di beberapa Kota di Palestin. Setelah peristiwa kejatuhan Palestin ke tangan Yahudi pada 1948, ia bersama keluarganya meninggalkan kampung halamannya menuju ke Beirut. Kemudian ia diangkat menjadi Hakim di mahkamah Syariah Al-Quds.
Pada tahun 1952 Sheikh Taqiyudin An-Nabhani menubuhkan parti Hizbut Tahrir dan berusaha memimpin partinya dengan penuh penumpuan. Beliau juga menerbitkan buku dan risalah-risalah yang secara keseluruhannya merupakan sumber pengetahuan dasar-dasar partinya. Beliau hidup berpindah-randah antara Jordan, Syria dan Lubnan. Beliau meninggal dunia pada tahun 1979 dan dikebumikan di Beirut.
Comments
Post a Comment