MENANGANI FENOMENA EKSTREMISM AGAMA MENGIKUT PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH (sambungan) SIRI 2: Butiran Fahaman Ekstremism Agama


SIRI 2: Butiran Fahaman Ekstremism Agama

PENULIS: 
Rahim R.A, Ramli M.A, Razak M.I, Rosele M.I, Kahal S.M
SUMBER:  AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA


Golongan Khawarij sebagai ekstremis agama terawal mempunyai beberapa fahaman utama;

1. Pemahaman agama Islam yang terdapat dalam Quran dan sunnah perlu dibuat secara literal semata-mata, serta ianya harus diamalkan sepenuhnya.

2. Pandangan mereka sahaja yang paling betul dan sesiapa yang bertentangan pendapat dengan mereka akan diisyhtiharkan sebagai kafir dan halal darahnya. Bahkan lebih teruk lagi, semua anggota keluarga golongan yang berbeza pendapat dengan mereka halal darah mereka, termasuklah kaum perempuan dan kanak-kanak.

3. Kawasan yang menjadi tempat tinggal mereka akan dianggap sebagai Dar Islam, sedangkan daerah Islam yang lain adalah Dar al-Kufr yang wajib diperangi. Seluruh penduduk daerah Dar al-Kufr ini adalah bertaraf musyrik, tidak kira samada dewasa ataupun kanak-kanak.

4. Sesiapa yang melakukan dosa besar ataupun kecil secara berterusan akan menjadi kafir secara mutlak dan seandainya mati ianya akan kekal di dalam neraka.

Asas yang diletakkan oleh khawarij ini dikembangkan oleh salafi jihad menjadi;

1. Perjuangan didorong oleh semangat perang Salib melawan kuasa barat perlu diteruskan. Musuhnya terdiri daripada semua blok kuasa barat dan zionismeyang wajib diperangi menggunakan kaedah kekerasan.Terbaru, musuh utama turut diperpanjangkan kepada mazhab Syiah – Kes Kumpulan al-Qaedah di bawah pimpinan Abu Mus’ab al-Zarkawi dan ISIS di Iraq.

2. Penubuhan sistem khalifah Islam hanya dilakukan melalui jalan revolusi. Ia bukan sekadar suatu alternative, tetapi suatu kewajiban Syar’i berdasarkan perintah dan kehendak Allah. Kerana itu setiap penganut Islam harus patuh dengan mematuhi kehendak Allah ini. Sebarang keengkaran dianggap sebagai memusuhi perintah Allah.  Dalam banyak hal, mereka tidak mempedulikan soal maslahah atau ketentuan syarak dalam membuat keputusan. – Kes pemerintahan Talibandan ISIS.

3. Memandangkan legitimasi pemerintah Islam didasarkan kepada syariah Allah, maka pemerintah yang tidak mematuhi syariah adalah tidak sah. Mana-mana pemerintah dan individu Islam yang tidak mematuhi syariah Alah akan dianggap bersalah dan kafir yang diperangi menggunakan konsep Jihad – Kes pembunuhan Anwar Sadat oleh pengikut kumpulan Takfir wa al-Hijrah

4. Program penentangan terhadap pemerintah Islam yang engkar perlu diperluaskan dengan memerangi ulamak rasmi berserta dengan semua pasarananya (seperti masjib dan sekolah) yang dilihat bergabung dengan pihak pemerintah- Kes Jemaah Islamiyyah dan Front Pembela Islam di Indonesia.

5. Jihad melawan kekafiran dan golongan yang bersimpati dengannya adalah dianggap sebagai tugas suci. Oleh sebab itu memerangi golongan ini diwajibkan ke atas semua Mukmin sejati, yang perlu juga diperluaskan kepada semua golongan awam dan kepentingan mereka. Ia menuntut komitmen kesetiaan dan ketaatan yang total. Bagi mereka, seseorang itu dilihat dari segi status keagamaannya, hanya berada dalam dua keadaan semata-mata; samada Islam ataupun kafir.

6.      Fahaman Takfirism; tindakan mengkafirkan golongan yang tidak sependapat dengan pemikiran mereka. Implikasinya darah orang yang dikafirkan, termasuk ahli masyarakat awam yang tidak sependapat dengan mereka dianggap sebagai halal. Jadi, bagi mereka diharuskan untuk membunuh lawan dan orang awam yang bersekongkol dengan lawan mereka. Bahkan mereka lebih selesa membunuh sesama Islam daripada membunuh orang bukan Islam sendiri.

7.      Golongan Kristian dan Yahudi dianggap sebagai kafir, dan bukannya sebagai Ahli Kitab kerana hubungan mereka dengan kuasa kolonialisme barat dan Zionisme. Mereka dipandang sebagai rakan rapat dalam sebuah konspirasi Yahudi-Kristian melawan Islam dan dunia Islam.

8.      mereka mewujudkan fahaman berbentuk binari (wujud musuh yang saling bertentangan ; Dar Harb dan Dar Islam). Dar Harb adalah musuh mutlak Islam. Mereka memusuhi semua perkara baru yang datang daripada barat. Barat dianggap sebagai darul harbi yang wajib diperangi dan dilakukan keganasan yang mengorbankan nyawa penduduk dan aset masyarakat. Mereka sangat mengalakkan pengikut mereka memusuhi dan memerangi semua elemen yang berkaitan dengan barat.

9.      Generasi muda Islam digalakkan untuk terlibat di dalam memerangi golongan kafir sebagai anti tesi kepada golongan Islam, yang dikatakan bakal memperoleh status mati syahid seandainya sanggup mengorbankan dirinya dalam pengeboman berani mati.   




Comments