KEHARMONIAN HIDUP DALAM MASYARAKAT MAJMUK
[SIRI 3] KEADILAN PEMIMPIN DAPAT MEWUJUDKAN MASYARAKAT MAJMUK YANG HARMONI
SUMBER: JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR (JAIS)
Perlu kita ketahui, masyarakat majmuk bukan
perkara baru dalam dunia Islam. Masyarakat majmuk telah wujud berabad-abad
lamanya. Fakta yang tidak dapat dinafikan, bahawa manusia hidup dengan aman di
bawah pemerintah yang adil memerintah di bumi ini. Allah SWT menegaskan bahawa
keharmonian hanya dapat diwujudkan apabila kepimpinan negara iltizam dengan
keadilan dan kesaksamaan yang diajarkan oleh Islam. Allah SWT berfirman dalam
Surah Al- Maidah, ayat 8:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Berdasarkan ayat ini, bersikap adil adalah
amat dituntut oleh Islam. Keadilan yang
dimaksudkan bukanlah kesamarataan seperti yang diperjuangkan oleh barat tetapi
keadilan menurut Islam ialah memberikan sesuatu yang berhak kepada yang
sepatutnya. Allah SWT memerintahkan kita untuk bersifat belas ihsan dan
berperikemanusiaan terhadap manusia yang lemah dan memerlukan bantuan.
Seluruh umat Islam marilah menghayati
beberapa pengajaran berikut untuk dijadikan sebagai pedoman hidup kita:
1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa
penciptaan pelbagai bangsa dan etnik menunjukkan kebesaran Allah untuk saling
mengenali antara satu sama lain.
2. Umat Islam hendaklah saling
hormat-menghormati walaupun hidup dalam kalangan pelbagai bangsa untuk
mewujudkan keharmonian hidup.
3. Umat Islam wajib berusaha menyebar
luaskan kebenaran Islam dan keadilannya kepada semua warga masyarakat yang
terdiri daripada berbagai keturunan dan suku bangsa.
Comments
Post a Comment