'APAKAH YAZID SUFAAT SUDAH BENAR-BENAR PULIH?'
KUALA LUMPUR: Anggota militan rakyat tempatan, Yazid Sufaat, perlu dipastikan tidak lagi mendukung ideologi keganasan sebelum keputusan dibuat untuk membebaskannya, bulan depan. Sekiranya masih wujud ancaman terhadap negara dan orang awam, maka tindakan membebaskannya perlu dinilai semula oleh Lembaga Pencegahan Keganasan.
.
Berkongsi pandangan itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata Yazid, 55, wajar diberi peluang dibebaskan jika fahaman militan yang dibawa sebelum ini tiada lagi dalam dirinya. “Lembaga ini perlu melakukan kajian mendalam dan penilaian dengan teliti dan mendalam sebelum membuat keputusan sama ada untuk membebaskan atau melanjutkan tempoh tahanan Yazid. “Bagi saya, tidak salah memberikannya peluang bebas sekiranya benar-benar sudah pulih, namun hasil pemeriksaan ke atas Yazid perlu dilakukan dengan amat teliti,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
.
Dalam memperkatakan soal ideologi atau fahaman, jelas Musa, perkara penting yang harus diketahui ialah sama ada Yazid insaf dengan perbuatan terdahulu atau masih ada usaha meneruskan elemen keganasan dalam dirinya. Perkara pokok itu harus menjadi keutamaan yang perlu menjadi pertimbangan pihak lembaga dalam membuat keputusan. “Jika dia sudah insaf dan benar-benar pulih, tak salah untuk kerajaan membebaskannya kerana ia berkaitan hak setiap individu di negara kita. “Pada masa lalu, tahanan komunis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga dibebaskan selepas benar-benar pulih,” katanya.
.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan muktamad membebaskan Yazid yang tempoh tahanan mengikut Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dijangka tamat bulan depan, akan ditentukan Lembaga Pencegahan Keganasan. Muhyiddin dilaporkan berkata, Lembaga Pencegahan Keganasan akan bersidang dan meneliti keadaan Yazid sepanjang ditahan sama ada berubah atau tidak.
.
INFO YAZID SUFAAT
• Saintis yang pernah membantu Al Qaeda membina makmal di Kandahar, Afghanistan bagi mengeluarkan bakteria antraks.
• Dilahirkan di Johor pada 20 Januari 1964, lulusan bidang sains biologi dan kimia dari California State University, Amerika Syarikat.
• Pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai juruteknik perubatan hingga pangkat kapten.
• Disyaki terbabit dengan suspek pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat pada 11 September 2001.
• Ditahan lapan tahun di bawah ISA antara 2002 hingga 2010.
• Merekrut ahli baharu untuk Daesh di Syria selepas dibebaskan.
• Ditahan semula pada 2013 mengikut SOSMA dan dipenjarakan empat tahun di Perak.
• Ditangkap sekali lagi pada 2017 mengikut SOSMA dan dipenjarakan dua tahun selepas didapati merekrut rakan tahanan untuk Al Qaeda ketika berada dalam penjara di Perak.
.
SUMBER: Berita Harian Online- 20 OKT 2019.
.
.
FOLLOW US 👇
.
"TOGETHER AGAINST EXTREMISM!"
Comments
Post a Comment