[ARTIKEL] KEJAHATAN KUMPULAN IS CEMARI ISLAM. [SIRI 1] BERGANDING PERANGI IS

[ARTIKEL] KEJAHATAN KUMPULAN IS CEMARI ISLAM
[SIRI 1] 
BERGANDING PERANGI IS
OLEH: AKHBAR SATAR-BH ONLINE-1 DISEMBER2015

Selepas peristiwa 11 September 2001, dunia berdepan fenomena kebangkitan kumpulan militan dan pengganas yang lebih mencabar. Komuniti antarabangsa seolah-olah sudah lupa mengenai kumpulan al-Qaeda selepas kematian pemimpinnya Osama bin Laden. Kemunculan IS memperlihatkan bahawa dunia perlu berganding menghimpunkan sumber dalam apa juga cara dan secara kolektif, bagi memerangi kumpulan IS.

Kewujudan IS kemungkinan ada kaitan dengan salah tafsir hukum dan kepercayaan agama. Penyertaan dalam 'perjuangan' juga kemungkinan kerana seseorang yang terbabit itu terpengaruh dengan dakyah militan mengenai IS. Jihad dan mati syahid dipengaruhi oleh propaganda militan.
Andaian ini berkait rapat dengan usia anggota kumpulan yang sanggup meninggalkan keluarga, kerjaya dan kehidupan yang stabil ke wilayah operasi IS. Kebanyakan mereka adalah remaja atau belia. Maka, bagi mencari penyelesaian konkrit, setiap pihak perlu fokus aspek ini.
Sikap mudah mengkafirkan, mensyirikkan dan membidaah sesatkan majoriti ulama dan umat Islam, seterusnya menghalalkan darah sesama saudara seIslam juga tidak boleh diterima. Ideologi IS dilaporkan masih terbiar disebarkan di Malaysia walaupun sudah lebih setahun dibangkitkan dan diberi amaran oleh pihak berkuasa.

Selepas lebih setahun menjadi polemik antarabangsa dan kini menjadi isu keselamatan besar di Malaysia, sudah tiba masa kita memerangi IS kerana mencemarkan imej Islam. Tindakan tegas perlu membabitkan semua seperti ketika negara bersatu memerangi fahaman komunis enam dekad lalu.
Tindakan tidak berperikemanusiaan IS yang membunuh dengan kejam tidak boleh diterima. Tindakan itu bukan saja bertentangan dengan Islam, malah mencetuskan keresahan dunia dan merosakkan imej suci Islam itu sendiri. Islam melarang membunuh orang tidak berdosa dan diri sendiri. Islam juga tidak membenarkan seseorang itu membunuh diri sendiri seperti menjadi pengebom berani mati dan sebagainya.

Namun, yang menjadi tanda tanya adalah kenapa ada pihak percaya dan meyakini ideologi IS yang sanggup melakukan perkara dicegah oleh Islam. Ironisnya, IS tidak ada kaitan dengan Islam. Ia lebih bersifat ideologi politik. Nama agama digunakan untuk perjuangan politik sempit. Lebih sesuai jika IS hanya dikategorikan sebagai ideologi politik pihak tertentu yang mahu meraih kuasa dan autoriti untuk memerintah.

FOLLOW US 👇

"TOGETHER AGAINST EXTREMISM!"


Comments