PDRM KEKANG 25 CUBAAN SERANGAN PENGGANAS



KUALA LUMPUR: Polis menggagalkan 25 rancangan pengganas di negara ini sejak 2013, antaranya serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata 74 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan keganasan termasuk merancang serangan keganasan dan mengumpul dana bagi serangan. “Antara rancangan serangan terbesar ialah pengganas Daesh Wolf Pack di kuil Sri Maha Mariaman USJ,” katanya kepada BERNAMA, di sini.

Beliau berkata, kejayaan mematahkan serangan dirancang pengganas itu adalah hasil risikan polis dan perkongsian maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak. “Kami berjaya menggagalkan percubaan serangan kumpulan Daesh sejak 2013 kerana kita mempunyai undang-undang yang kukuh,” katanya. Ayob Khan berkata, undang-undang berkaitan pencegahan berperanan penting dalam usaha membendung kegiatan keganasan dan setiap negara termasuk Malaysia, mempunyai undang-undang khusus menangani keganasan atau pencegahan.

“Pihak berkuasa berdepan ancaman berbeza jika dibanding dahulu hingga kini, maka undang-undang pencegahan perlu ada. “Tanpa undang-undang pencegahan, kita sukar ambil tindakan awal... tindakan pencegahan untuk memastikan kumpulan pengganas ini tidak melakukan serangan,” katanya. Ayob Khan berkata, seramai 65 rakyat Malaysia yang mempunyai kaitan dengan Daesh berada di Syria ketika ini.

Beliau berkata, mereka membabitkan 40 wanita dan kanak-kanak yang menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses perbincangan membabitkan beberapa agensi lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta agensi di luar negara untuk menguruskan perkara itu.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan kerajaan sama ada membenarkan mereka pulang atau tidak kerana perkara ini dipertimbangkan melalui pelbagai aspek seperti kos penghantaran dan sebagainya. “Secara peribadi, saya rasa mereka perlu dibawa pulang kerana apa pun yang dilakukan, mereka adalah rakyat negara ini dan Malaysia sebuah negara bertanggungjawab.


“Kita akui, mereka mungkin buat salah tetapi kami boleh mempertimbangkan rayuan mereka. “Bagi lelaki dewasa, mereka akan dituduh di mahkamah manakala wanita dewasa akan dinilai dan kalau cukup bukti akan dituduh juga. “Kanak-kanak akan melalui sesi kaunseling dan deradikalisasi. Keadaan rakyat Malaysia yang ditahan di penjara dan kem pelarian (di luar sana) kini amat kritikal dari pelbagai aspek,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian – 2 Oktober 2019
https://bit.ly/2mPYSEK

“BERSAMA MENENTANG EKSTREMIS”

https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

Comments