[ SIRI 2 ]: MENGAMBIL KIRA REALITI SEMASA DAN SETEMPAT

PENDEKATAN FIQH ANTI KEGANASAN: ANALISIS TERHADAP REALITI PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA.

[ SIRI 2 ]: MENGAMBIL KIRA REALITI SEMASA DAN SETEMPAT

PENULIS:  Muhd Imran Abd Razak, Mohd Anuar Ramli (PhD), Rahimin Affandi Abdul Rahim (PhD), Muhammad Yusri Yusof @Salleh, Paiz Hassan dan Nurul Khairiah Khalid.
SUMBER: Jabatan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, Seri Iskandar, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.


ii) Mengambil kira realiti semasa dan setempat. 

Salah satu ciri hukum fiqh adalah bersifat praktikal dan meraikan realiti semasa.  Tanpa mengambil kira aspek tersebut, hukum hakam Islam akan bersifat kaku, jumud dan keras. Hal ini adalah kerana perbahasan para ulama silam adalah berasaskan realiti yang berbeza. Teks-teks dalil syarak juga bersifat pelbagai kerana berdasarkan situasi yang memerlukan penelitian mengikut metodologi hukum, bukan sekadar difahami secara literal. Kefahaman dan tindakan kumpulan IS yang menjadikan teks-teks tersebut sebagai hujah secara literal telah menimbulkan ketegangan dan jenayah kekerasan yang merosakkan citra Islam. Contohnya tipologi pembahagian negara seperti zaman peperangan, galakan berhijrah tanpa melihat aspek keselamatan wanita, seruan melakukan serangan-serangan lone wolf, dan lain-lain. Ia bukan sahaja menjustifikasikan label ekstremisme agama bagi kumpulan IS, malah sedikit sebanyak memberikan imej buruk terhadap hukum Islam yang harmoni jika tidak diatasi dengan baik.

iii) Mengutamakan pentafsiran nas yang mencerminkan kemaslahatan umat Islam secara global, dengan menarik kemanfaatan dan menolak kemudaratan. 

Situasi umat Islam semasa memerlukan perhatian dan pertimbangan dalam penentuan sesuatu hukum. Selepas zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniah, negara-negara umat Islam tidak lagi berada dalam satu Dar al-Islam, tetapi dibataskan oleh sempadan geografi dan negara-bangsa serta terikat dengan pelbagai peraturan bernegara di peringkat lokal mahupun global. Justeru itu, pertimbangan keutamaan umat Islam telah mengalami perubahan daripada hegemoni kekuasaan dan autoriti kepada negara bangsa yang terpisah dengan identiti kewarganegaraan tertentu. Justeru itu, pentafsiran dalil-dalil syarak secara keras boleh memberikan kesan signifikan terhadap umat Islam sama ada di peringkat lokal mahupun global. Kaedah pentafsiran hukum yang mengutamakan kemaslahatan yang lebih besar sangat diperlukan bagi mendepani situasi semasa umat Islam di samping menghormati teks-teks fiqh klasik. Contohnya pentafsiran berkaitan fiqh jihad yang bersifat damai seperti jihad dalam menuntut ilmu, memerangi hawa nafsu, memperkembangkan ekonomi umat Islam perlu lebih diutamakan daripada seruan jihad bersifat peperangan dan berkonflik dengan negara-negara termasuk orang-orang bukan Islam yang berkongsi kehidupan beraspirasikan jalan kedamaian.

FOLLOW US 👇
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"TOGETHER AGAINST EXTREMISM!"

Comments