MENANGANI FENOMENA EKSTREMISM AGAMA MENGIKUT
PERSPEKTIF MAQASID SYARIAH
SIRI 7: MENAFIKAN PRIORITI YANG DIPERLUKAN UNTUK PERJUANGAN
PENULIS: Rahim R.A, Ramli M.A, Razak M.i, Rosele M.I, Kahal S.M
SUMBER: AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA
6. Menafikan Prioriti Yang Diperlukan Untuk Perjuangan.
Bagi mereka, soal prioriti yang termasuk persoalan hikmah dan adab (tentang apa yang perlu diutamakan dalam perjuangan) memang tidak wujud sama sekali. Seperti mana khawarij, salafi jihad berjuang untuk mewujudkan khalifah Islam yang bakal laksanakan syariah. Disebalik cita-cita murni ini, beberapa perkara boleh dipersoalkan:
Pertama, konsep khalifah mereka adalah kabur dan lebih berupa utopia semata-mata. Sebab utamanya, mekanisme penubuhan sistem Khalifah seperti mana dilakukan oleh ISIS langsung tidak mematuhi formula fuqaha siyasah syariah. Hal ini dilakukan secara kabur tanpa ada persetujuan Ahl Hall Wal aqdi, di samping ianya dilakukan secara paksaan kepada semua ahli masyarakat tempat ia ditubuhkan
Kedua, sebelum hasrat menegakkan khalifah Islam dapat dilakukan, sepatutnya usaha pembangunan infrastuktur keilmuan melalui kegiatan ilmu perlu diutamakan. Rasionalnya, ia bakal melahirkan aset (tenaga kerja) untuk menjayakan negara Islam yang berdaulat. Secara terang-terangan mereka tidak mementingkan proses pencarian ilmu Kerana mereka diajar menjadi fanatik berpegang kepada ajaran salafi jihad semata-mata. Mereka tidak mementingkan pengajian dan kajian ilmiah untuk membangunkan sistem fiqh Islam,kerana menganggap semua jawapan Islam memang terdapat secara lengkap dalam al-Quran dan sunnah yang hanya perlu dilaksanakan.Hal ini secara jelas menunjukkan kejahilan mereka, kerana;
Al-Quran dan sunnah hanyalah sumber asas untuk sistem fiqh Islam, manakala yang selebihnya adalah penggunaan intelektual umat manusia terhadap kedua sumber tersebut
Teks kandungan al-Quran dan al-sunnah yang berkaitan dengan perkara perundangan amat terbatas dari segi jumlahnya, sedangkan persoalan dan permasalahan yang sentiasa timbul di dalam kehidupan manusia pula adalah tidak terbatas. Atas sebab ini ijtihad telah diperkenalkan dan dianggap sebagai mampu untuk bertindak menyelesaikan masalah ini
Atas dasar itu, sistem perundangan Islam amat memerlukan usaha penyelidikan ijtihad berasaskan akal untuk terus berkembang. Ia bakal membuktikan bahawa sistem perundangan Islam sebagai lengkap dan sesuai untuk sebarang tempat, keadaan dan zaman, kerana ianya didokong dengan penggunaan penyelidikan ijtihad yang berterusan.
Jadi, kita dapat menjangka bahawa gerakan salafi jihad ini tidak akan bertahan lama kerana tidak mempunyai asas intelektual yang kukuh. Sebaliknya ia hanya akan membinasakan umat Islam dan terpenting sekali merosakkan citra Islam di mata masyarakat antarabangsa.Hal ini sangat bertepatan dengan apa diperkatakan oleh Wan Mohd Nor Wan Daud menegaskan bahawa : “ iman ataupun amalan keagamaan jika tidak didasarkan kepada ilmu yang luas dan mendalam, hanyalah seperti bangunan di atas pasir yang tidak berdiri teguh. Jika iman didasarkan kepada ilmu, ianya bukan sahaja akan mengukuhkan peribadi berkenaan malah akan memberi kesejahteraan kepada manusia dan alam’’.
Comments
Post a Comment