[ARTIKEL] MAHALNYA SEBUAH KEAMANAN



[ARTIKEL] MAHALNYA SEBUAH KEAMANAN
.
Teks khutbah Jumaat bertarikh 15 Mac 2019 - Cawangan Khutbah dan Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Para tetamu Allah yang diberkati.
Marilah kita suburkan jiwa dengan nilai takwa yang tinggi kepada Allah S.W.T, berusaha sedaya-upaya melaksana setiap perintahNya serta meninggalkan segala tegahanNya. Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT pasti sentiasa memelihara dirinya dan orang lain dari sebarang kerosakan dan keburukan. Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan mereka yang memperolehi ketenangan, keamanan dan kebahgiaan hidup di dunia mahupun akhirat. Mimbar pada hari yang berbahagia ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Mahalnya Sebuah Keamanan”.
.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bayangkanlah, betapa sukar jika berada dalam situasi peperangan, huru hara tidak berkesudahan, hidup dalam keadaan tertekan penuh penderitaan, segala-galanya dirasakan gelap dan hilang arah tujuan. Begitulah situasi yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di negara-negara yang bergolak. Menitis air mata melihat nasib mereka. Simpati yang lahir dari sanubari menuntut kita agar mendoakan kebaikan buat mereka serta membantu mereka sedaya yang termampu. Sebaliknya di sini, kita di Malaysia telah dikurniakan oleh Allah S.W.T, nikmat keamanan dan kesejahteraan yang amat bernilai bagi kehidupan rakyat di negara ini. Bukan mudah untuk kita berada dalam situasi sebaik ini.
.
Keamanan adalah satu nikmat yang amat berharga dan didambai oleh setiap manusia. Allah S.W.T menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya iman kita kepadaNya semakin bertambah. Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian. Alhamdulillah, kita amat bersyukur bahawa Negara kita berada dalam suasana aman dan damai.
.
Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama Islam pasti akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara. Sedarlah, betapa pentingnya keamanan dalam kehidupan manusia, sehingga Nabi Ibrahim A.S pernah berdoa kepada Allah S.W.T agar bumi Makkah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran. Rasulullah S.A.W menggambarkan bahawa keamanan merupakan salah satu nikmat terbesar di dunia dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi R.H.M daripada Abu Salamah bin Ubaidillah R.A yang bermaksud: “Sesiapa di antara kamu berada pada waktu pagi dalam keadaan
sihat tubuh badannya, rasa aman dalam hidupnya, cukup makanannya pada hari itu, maka seolah-olah seluruh dunia dikumpulkan untuknya.”
Lihatlah, sejarah menunjukkan bahawa nikmat keamanan mampu memberi sumbangan besar ke arah pembinaan manusia sejagat. Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut dan gerun. Justeru, peliharalah kemanan negara yang tercinta ini dari sebarang anasir-anasir yang menggugat kestabilan politik, sosial, ekonomi, hubungan kaum dan sebagainya.
.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah.
Di sebalik nikmat kemanan yang kita kecapi hari ini, wujud juga bibit-bibit huru-hara yang dicetuskan oleh golongan-golongan tertentu. Lihat sahaja perbezaan aliran pemikiran yang bercanggah dengan ahli sunnah wal jamaah seperti golongan liberal, pluralisme agama, sekular dan sebagainya. Demikian juga pejuang hak asasi manusia yang memperjuangkan hak-hak yang tidak sepatutnya sehingga membelakangi syariat Islam.
.
Suasana hidup yang aman damai di negara ini mungki juga boleh tergugat oleh pelbagai bentuk keganasan dan kezaliman. Kita bukan sahaja berhadapan dengan manusia-manusia rakus yang melakukan pelbagai jenayah seperti bunuh, ragut, rompak, serangan seksual, rasuah, pecah amanah dan sebagainya malah kita juga berdepan dengan jenayah siber seperti penipuan internet atau scammer. Amat menyedihkan melihat sesetengah masyarakat yang berani menyalahgunakan media sosial dengan melakukan penghinaan terhadap Rasulullah, Islam, Institusi Raja, Perlembagaan Negara, kepimpinan negara, institusi agama di samping menyebarkan fitnah dan pelbagai lagi tindakan yang melanggar undang-undang.
.
Isu-isu berkaitan keselamatan sejagat mestilah diberi perhatian sewajarnya oleh kita. Suasana ketidaktenteraman yang dihadapi oleh masyarakat di luar sana di negara-negara bergolak perlu dijadikan iktibar supaya negara yang kita cintai ini sentiasa terpelihara.
.
Rasulullah S.A.W, para sahabat R.A, dan generasi terdahulu umat ini telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dan peranan mereka sehingga Islam tersebar sebagai agama yang membawa rahmat. Ia bukan dongengan dan mitos yang direka. Ia adalah realiti dan kita ummat Islam pada hari ini telah mengecapinya.
.
Menyedari hal demikian, sebagai umat Islam, kita harus turut sama memainkan peranan sebagai ejen menyeru kepada kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran. Termasuk dalam kemungkaran itu aktiviti dan tindakan yang menggugat akidah, pemikiran, keamanan dan keharmonian. Inilah gesaan Allah S.W.T menerusi surah Ali ‘Imran, ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perkara yang mungkar; mereka adalah orang-orang yang beruntung.”
.
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhayli, ini adalah perintah kepada umat islam
keseluruhannya, kerana mustahil boleh dilakukan secara individu. Inilah
peranan sebenar umat Islam. Tindakan bepeluk tubuh bukanlah pilihan yang betul, malah merugikan Islam.
.
Sebagai umat Islam yang cintakan keamanan, seharusnya kita mengambil peranan bersama-sama pihak berkuasa untuk memelihara dan mengekalkan keamanan negara Malaysia yang kita cintai ini. Tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak pada pihak berwajib semata-mata. Kitalah juga yang menjadi penyokong kebenaran, penegak undang-undang, pendokong kesatuan ummah.
.
Amat malang hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat yang telah
menyalahgunakan media sosial seperti menerusi Whatsapp group, Instagram, Facebook, Twitter, Flickr, Youtube, Wechat dan sebagainya. Mereka telah cuba mencetuskan huru-hara, ketegangan kaum, pengkhinatan kepada Negara, agama dan bangsa, menanam sifat kebencian sesame sendiri dan sebagainya. Justeru, mimbar mengingatkan setiap umat Islam supaya gunakan kemudahan ini dengan sebaiknya. Ingatlah, setiap kenyataan yang tidak sepatutnya seperti ini adalah berdosa dan akan dihisab di akhirat bahkan ia juga salah di sisi undang-undang dan boleh didakwa.
.
Sesungguhnya keharmonian negara ini bukan sahaja berhak dinikmati oleh umat Islam tetapi juga golongan bukan Islam. Justeru, kita hendaklah memelihara hubungan antara kaum dan agama yang telah lama wujud di negara ini. Pelihara dan jagalah interaksi dan komunikasi kita sama ada secara bersemuka atau di media sosial kerana ianya melambangkan ketinggian sifat, sikap dan akhlak yang mulia sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.
.
Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha untuk kukuhkan perpaduan, satukan pemikiran menepati akidah ahli sunnah wal jamaah, peliharalah keamanan, tingkatkan keselamatan, sebagai bukti keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.
.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah.
Mengakhiri khutbah pada hari ini, hayatilah beberapa kesimpulan sebagai pengajaran :-
.
1) Syukuri nikmat keamanan yang Allah kurniakan dengan berusaha
memelihara serta mengekalkan keharmonian dan keselamatan setiap
warganegara.
.
2) Berusahalah untuk memahami dan menghayati akidah ahli sunnah wal jamaah supaya kita tidak terpengaruh dengan pemikiran salah.
.
3) Kita hendaklah bertanggungjawab bersama dalam mempertahankan
keamanan dan kesejahteraan negara tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Firman Allah SWT di dalam surah an-Naml ayat 89-90 yang bermaksud: “Sesiapa yang datang dengan kebajikan maka ia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh keamanan pada hari kiamat. Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan disembamkan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.”
.
.
IKUTI KAMI ðŸ‘‡
.
"Bersatu Menentang Ekstremis!"

Comments