[BERITA] LEBIH 2,000 BANDUAN BERISIKO DAN RADIKAL DI PENJARA


[BERITA] LEBIH 2,000 BANDUAN BERISIKO DAN RADIKAL DI PENJARA

SERAMAI 116 tahanan radikal termasuk warga asing sedang menjalani hukuman di institusi penjara sehingga semalam. Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, statistik jabatan itu merekodkan hampir 72,000 banduan dan tahanan berada di 53 institusi penjara di seluruh negara. “Daripada jumlah itu, 116 individu dikategorikan sebagai radikal dan lebih daripada 2,000 individu adalah banduan berisiko tinggi.
.
“Selepas dipertimbangkan pelbagai faktor termasuk statistik berkaitan serta perkembangan berhubung keganasan dan ekstremisme di peringkat global dan nasional, kerajaan pada awal tahun lalu meluluskan penubuhan Bahagian/Tahanan Radikal dan Berisiko Tinggi di Jabatan Penjara Malaysia,” katanya ketika berucap pada Kolokium dan Bengkel ‘Preventing/Countering Violent Extremism and Radicalisme in Prison’ di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang hari ini.
.
Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Zainal Abidin Abu Hassan merasmikan majlis berkenaan. Zulkifli berkata, jabatan itu melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pengkategorian dan pengasingan penempatan bagi kepentingan pemulihan serta keselamatan membabitkan banduan dan tahanan radikal. “Banduan dan tahanan radikal dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu maksima, medium dan minima.
.
“Pengkategorian itu berasaskan beberapa faktor iaitu maklumat, pembabitan Polis Diraja Malaysia (PDRM), fakta kes, laporan risikan, tahap agresif, laporan kemajuan pemulihan dan pemantauan serta penilaian berterusan. “Ujian psikologi juga aspek penting dalam menentukan tahap kesediaan banduan dan tahanan radikal untuk mengikuti program pemulihan selain menilai pencapaian terhadap program pemulihan yang dilaksanakan,” katanya.
.
Katanya, ada dua jenis alat ujian psikologi digunakan iaitu Know Yourself Know Others (KYKO) dan Aggressive Questionaire (AQ) yang ditadbir oleh Pegawai Psikologi Jabatan Penjara Malaysia. “Bagi tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA), penilaian terhadap pencapaian dalam program pemulihan (deradikalisasi) dilakukan secara bersama tiga agensi berkaitan iaitu KDN, Jabatan Penjara Malaysia dan PDRM,” katanya.
.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kementerian itu selaku agensi bertanggungjawab mengendalikan keselamatan dan keamanan dalam negara sentiasa menyokong usaha serta kerjasama dilaksanakan semua pihak bagi memulihkan golongan berkenaan yang terbabit dengan aktiviti ekstremisme dan radikalisme.
.
“Inisiatif Jabatan Penjara melaksanakan kolokium dan bengkel ini sejajar dengan langkah diambil kementerian ini yang sedang membangunkan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi mencegah fahaman pelampau keganasan (National Plan of Action Preventing Violent Extremism (PVE).
.
“Program ini turut membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara, PDRM, Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Pejabat Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta agensi selain Jabatan Penjara Malaysia dari segi kawalan, pengurusan, pemulihan khusus, naratif balas berhubung ekstremisme serta radikalisme,” katanya.
.
Sumber: My Metro - 01 Oktober 2019
.
.
IKUTI KAMI ðŸ‘‡
.
"Bersatu Menentang Ekstremis!"

Comments