KAJI DASAR IMIGRESEN ATASI NEGARA JADI TRANSIT PENGGANAS
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji untuk mengetatkan dasar imigresen berhubung kemasukan warga asing bagi mengekang strategi pengganas yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengakui dasar sedia ada yang tidak mengenakan visa kepada majoriti negara dunia, memudahkan warga asing termasuk pengganas keluar dan masuk ke negara ini.
.
“Ketika ini, kebanyakan warga asing nak masuk Malaysia hanya perlukan pasport dan jika pasport itu tak dianggap sebagai datang dari negara bermasalah, mereka boleh masuk secara mudah. “Kita hanya kenakan visa atas sebab tertentu, itu peraturan yang kita ada. Apapun, kita perlu kaji dari segi dasar imigresen ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay semalam, bahawa dasar negara untuk tidak mengenakan visa kepada kebanyakan negara, menjadi faktor utama Malaysia kekal sebagai transit pengganas dari Asia Barat dan negara Afrika.
.
Sebelum ini, Laporan Keganasan Negara Amerika Syarikat (AS) 2018 menyatakan walaupun tidak ada serangan Daesh di Malaysia, negara ini menjadi sumber, transit dan destinasi kumpulan pengganas termasuk ISIS, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), al-Qaeda dan Jemaah Islamiyah.
.
Muhyiddin berkata, kenyataan dalam laporan itu yang mengkategorikan Malaysia sebagai transit pengganas adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dipandang ringan. “Saya harap rakyat Malaysia faham keadaan sekarang. Dulu lain, sekarang mungkin orang gunakan Malaysia sebagai transit, kembangkan ideologi atau gunakan agama (untuk keganasan) seperti Daesh. Itu bukti memang ada tahap yang bahaya (di Malaysia),” katanya.
.
.
Sumber: BH Online – 06 NOV 2019
Full news: https://bit.ly/2oTgX5I
.
FOLLOW US 👇
.
"TOGETHER AGAINST EXTREMISM!"
Comments
Post a Comment