WINCCI KONGSI PENGALAMAN DI NEGARA BERGOLAK



WINCCI KONGSI PENGALAMAN DI NEGARA BERGOLAK

RATU cantik Miss World Malaysia 2008, Dr Soo Wincci memaklumkan dia berada dalam keadaan selamat di Sepanyol. Wincci, 34, berkata dia kini berada di Valencia, meskipun bandar didiami itu tidak jauh dari kawasan bergolak, Barcelona.
.
Kata penyanyi dan pelakon itu yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, dia berada di Sepanyol kerana melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) kedua dalam bidang Produksi Artistik di University of Polytechnic. "Saya sudah berada di negara ini (Sepanyol) sejak tiga minggu lalu dan melihat rusuhan berlaku bukan pengalaman pertama. "Seingat saya, pertama kali melalui situasi rusuhan dahsyat sebegini pada 2017 ketika mengikuti pengajian peringkat sarjana. "Ketika itu, saya memang takut sangat dan berasa keselamatan terancam. Namun, kini saya boleh melaluinya dengan baik," katanya.
.
Menurutnya, sepanjang melanjutkan pengajian di Sepanyol sebenarnya sudah banyak kali dia berhadapan insiden sama. "Apapun, diharapkan kepada rakyat Malaysia supaya terus mendoakan yang baik-baik untuk keselamatan saya di sini. "Buat masa ini, keadaan saya di Valencia baik-baik saja dan yang pasti kena peka dengan maklumat semasa," katanya.
.
Mengulas rusuhan berlaku, Wincci berkata, berita melaporkan ia tercetus berikutan sebuah kawasan di Sepanyol dikenali Catelan kini meminta pembebasan. "Catelan mahu bebas mentadbir sendiri dan rusuhan berlaku disebabkan beberapa ketua golongan pembebasan itu ditangkap pihak berkuasa. "Jadi, rakyat merusuh dengan dahsyat hingga banyak kerosakan dan kemusnahan dilakukan di bandar Barcelona," katanya.
.
Katanya, segala maklumat rusuhan terkini dikongsikan rakannya melalui kiriman video pendek yang dirakam. Wincci berkata, rusuhan yang dilakukan masyarakat luar negara dilihat jauh lebih teruk dan hebat berbanding di Malaysia. "Selain Sepanyol, saya pernah melihat dan melalui situasi rusuhan di Hong Kong yang agak dahsyat juga. "Terus-terang, saya katakan rusuhan di luar negara agak ekstrem kerana golongan terbabit sangat berani," katanya.
.
Tidak gentar dengan situasi berlaku, Wincci berkata, ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu. "Saya percaya Tuhan sedang memberikan dugaan. Apatah lagi, selama ini pun saya memang selalu mendapat ujian. "Bukan mudah untuk saya menggenggam segulung pengiktirafan diimpikan. Apapun, saya harus tenang, sabar dan kuat semangat," katanya.
.
Katanya, demi kelangsungan kerjaya seni dan pelajarannya, dia akan berulang-alik antara Sepanyol dan Malaysia. Wincci memiliki kini ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom berserta tiga sarjana lain iaitu Sarjana Pentadbiran Perniagaan (University of Sunshine Coast, Australia), Sarjana Produksi Muzik, Teknologi dan Inovasi (Berklee Valencia, Sepanyol) dan Sarjana Fellowship Live Music Production (Berklee Valencia, Sepanyol).
.
Wincci juga berjaya menggenggam PhD Pentadbiran Perniagaan di Universiti Terbuka Malaysia, sekali gus melakar kejayaan tersendiri apabila memperoleh lima ijazah berkenaan dalam tempoh 15 tahun. Lebih membanggakan, juga Wincci mencipta rekod Malaysia apabila menerima dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai Most Number of Academic Degrees Obtained by A Beauty Queen dan Most Number of Academic Degrees Obtained by a Recording Artist.
.
.
Sumber: Harian Metro– 04 NOV 2019
.
FOLLOW US 👇
.
"TOGETHER AGAINST EXTREMISM!"

Comments