[ARTIKEL] GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA BAHAGIAN 6 - AKHIR: RUMUSAN (PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF)


Malaysia adalah sebuah negara demokratik, berbilang bangsa dan agama yang mana kumpulan-kumpulan etnik hidup bersama dalam suasana yang majmuk di dalam sebuah negara dan mewujudkan kepelbagaian budaya serta adat resam. Namun begitu, sejarah telah menunjukkan bahawa Malaysia juga tidak dapat berlindung sepenuhnya dari ancaman ekstremisme yang membawa kepada gerakan ekstremis, radikal dan militan. Kumpulan-kumpulan ekstremis di Malaysia beroperasi dengan pelbagai kaedah dan modus operandi yang berbeza. Namun begitu, mereka dilihat berkongsi ideologi yang sama, berjuang untuk menubuhkan sebuah negara Islam melalui keganasan, mewujudkan huru-hara dan menyebabkan ketidakstabilan negara, sosial dan politik. Mereka mengeksploitasi agama Islam dan kebangkitan Islam sehingga menjurus kepada ketaasuban dalam keinginan untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam, rasa tidak senang dengan kerajaan dan pemerintah yang sedia ada atau perasaan yang sangat benci kepada golongan bukan Islam.
.
Kumpulan ekstremis ini menanamkan semangat jihad dan syahid yang diputar belit dan diubahsuaikan mengikut tafsiran, pengertian dan kepentingan politik mereka dengan mempengaruhi dan meyakinkan masyarakat bahawa menentang kerajaan yang dikafirkan oleh kumpulan-kumpulan ini adalah jihad dan jika mati dalam perjuangan itu dianggap syahid. Ajaran dan seruan mereka telah menimbulkan kebencian dan penentangan terhadap pihak berkuasa dan mewujudkan keghairahan untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Akibat daripada pengaruh itulah maka kejadian-kejadian yang tidak diingini telah berlaku dan kumpulan ekstremis ini bertindak ganas dan radikal sehingga membawa kepada insiden pertumpahan darah sebagaimana yang turut tercatat di dalam lipatan sejarah Malaysia. Adalah jelas bahawa kebanyakan kumpulan ekstremis dan radikal di Malaysia adalah bermotifkan politik.
.
Aspirasi utama mereka adalah untuk menukar pemerintah kerajaan sesuai dengan definisi dan pentafsiran mereka sendiri. Mereka menolak undang-undang, perlembagaan dan sistem demokrasi yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia. Walaupun Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam pada kedudukan tertinggi dengan jelas pada Perkara 3(1) bahawa Islam ialah Agama bagi Persekutuan ini. Namun, kumpulan-kumpulan ekstremis ini tetap menganggap bahawa Malaysia bukannya mengamalkan prinsip-prinsip Islam yang tulen, mereka melihat Islam di Malaysia sekadar Agama Rasmi untuk upacara-upacara rasmi negara sahaja. Pentadbiran negara sedia ada bagi mereka adalah kebaratan dan berunsur sekular yang merupakan tinggalan yang diwarisi daripada sistem British. Sebelum ini ISA, mula digunakan pada tahun 1960an untuk mengekang ancaman komunis, turut dikuatkuasakan dalam menangani dan mencegah aktiviti-aktiviti kumpulan ekstremis.
.
Beberapa penahanan di bawah ISA telah dibuat ke atas mereka yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti ekstremis, radikal dan militan. Pada ketika itu, ISA merupakan satu akta yang sangat penting untuk menangani dan mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.
.
Peruntukkan pencegahan yang terkandung dalam ISA dikatakan efektif kerana ia telah mampu mengekalkan kestabilan negara yang baru merdeka walaupun sedang menghadapi ancaman bersenjata PKM. Namun ISA yang bersifat preventif telah dimansuhkan pada 2011 dan digantikan dengan akta lain seperti SOSMA 2012. Dan sekali lagi, Malaysia pada usia kemerdekaannya 58 tahun, berhadapan dengan ancaman kumpulan ekstremis yang agak kompleks. Kemunculan elemen-elemen Daesh dengan ideologi keganasan berorientasikan jihad telah membawa kerisauan yang besar kepada pihak kerajaan akan implikasinya terhadap masyarakat dan keselamatan Malaysia. Objektif, taktik dan strategi kumpulan ekstremis ini yang sofistikated telah menyukarkan dan meningkatkan cabaran pihak berkuasa menangani ancaman yang dibawa.


IKUTI KAMI:

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments