[BERITA] STRATEGI BAHARU MILITAN


Seramai 53 rakyat Malaysia yang menyertai perjuangan Da3sh di Syria dipercayai cuba untuk menyusup ke sebuah wilayah di Afg.hanistan dan berkumpul semula dengan kumpulan militan berkenaan di negara itu.
Berdasarkan maklumat terkini, rakyat tempatan itu diketuai oleh bekas pengikut kanan Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) Mohd Rafi Udin serta bekas gitaris kumpulan Ukays, Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin atau Akel Zainal.
Sebelum ini, kumpulan militan berkenaan terpaksa melarikan diri di sebuah bandar sempadan antara Iraq dan Syria selepas kejatuhan kubu kuat kumpulan militan itu di beberapa bandar utama di Syria.
Terkini, sekumpulan rakyat Malaysia berkenaan cuba untuk menyusup masuk menerusi Iran sebelum berkumpul di Wilayah Khorasan, Afg.hanistan yang dikatakan menjadi lokasi baru untuk kumpulan Da3sh.
Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Madya Dr. Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, kumpulan rakyat Malaysia itu cuba untuk berkumpul semula di Afghanistan memandangkan negara itu lebih mesra kepada perjuangan mereka.
Menurutnya, wilayah itu sengaja dipilih oleh kumpulan berkenaan kerana kononnya mahu menggambarkan dalam salah satu hadis Nabi S.A.W berkaitan tentera akhir zaman yang wujud di sebuah tempat bernama Khurasan.
“Ini adalah strategi yang agak licik bagi pimpinan utama Da3sh untuk memperlihatkan bahawa merekalah tentera yang dimaksudkan di dalam hadis baginda sedangkan hakikatnya tidak begitu.
“Lokasi itu bukan saja untuk kumpulan Da3sh yang terdiri daripada rakyat Malaysia, malah militan Iraq serta beberapa negara lain turut menjadikan lokasi itu sebagai tempat berkumpul.
“Afg.hanistan yang kita tahu sebelum ini sememangnya menjadi kubu kuat kepada Ta.liban dan negara itu masih tidak stabil sepenuhnya daripada sudut keselamatan dan sosio politik.
“Malah, negara terbabit juga dilihat lebih mesra dengan ideologi Da3sh dan menjadi lokasi pengkaderan anggota militan sejak beberapa dekad lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Mohd Mizan berkata, Syria serta Iraq sudah menjadi lokasi panas untuk pengikut Da3sh memandangkan penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak keselamatan dua negara berkenaan.
Beliau berkata, pilihan yang ada untuk pengikut Da3sh terutamanya rakyat Malaysia adalah berhijrah ke negara yang lebih mesra dengan ideologi mereka dan untuk agenda ini, Afghanistan adalah lokasi yang dilihat sesuai.
“Sebenarnya, mungkin tidak semua rakyat Malaysia yang masih berbaki di Syria serta Iraq sanggup meneruskan perjuangan selepas mereka melihat sendiri hakikat sebenar kumpulan Da3sh.
“Namun, untuk keluar daripada perjuangan berkenaan tidak mudah dan memerlukan satu usaha sama dengan pihak keselamatan negara lain bagi membawa mereka pulang dan menjalani pemulihan jika didapati terbabit dalam kegiatan militan,” katanya.
Baru-baru ini, balu kepada Ketua Militan Malaysia, Muhammad Wanndy Mohd Jedi yang terkorban dalam satu serangan udara beberapa tahun lalu menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia.
Bekas isteri Muhammad Wanndy, Nor Mahmudah Ahmad yang terselamat daripada serangan berkenaan sebelum itu berjanji untuk meneruskan perjuangan di negara berkenaan namun kini, menyatakan hasrat untuk pulang.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh waris keluarga Nor Mahmudah kepada polis April lalu dan meminta untuk dibenarkan pulang ke Malaysia.
Polis tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung rakyat Malaysia yang berada di Syria sedang cuba menyusup masuk melalui Iran ke Afg.hanistan untuk berkumpul di satu wilayah di negara itu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat berkenaan bagaimanapun pemantauan sentiasa dilaksanakan atas faktor keselamatan.
“Setakat ini, kita tiada maklumat berhubung baki rakyat tempatan yang berada di Syria mahu menyusup masuk ke Afghanistan dan berkumpul dengan anggota militan lain di negara terbabit,” katanya.
Sementara itu, pendakwah bebas Ustaz Hafiz Za’farani berkata, hadis berhubung kemunculan tentera panji hitam yang datang dari arah Khurasan sememangnya ada namun tidak semua golongan boleh mendakwa bahawa mereka adalah kelompok yang dimaksudkan dalam hadis Nabi SAW.
“Hadis berkenaan ada penjelasan khusus berhubung situasi berkenaan dan bukanlah semua kelompok atau kumpulan militan boleh mendakwa bahawa mereka golongan yang dimaksudkan dengan memanipulasi hadis terbabit.
“Kita melihat bahawa tindakan kumpulan terbabit yang sengaja mahu berkumpul di sebuah wilayah di Afghanistan adalah untuk memanipulasi hadis berkenaan sekali gus menarik perhatian masyarakat umum serta menyertai mereka.
“Apa yang dilakukan oleh kumpulan militan Da3sh adalah mirip kepada kejadian yang pernah berlaku di Arab Saudi apabila ada golongan pengganas yang mengaku sebagai Imam Mahdi di depan Kaabah sehingga menimbulkan kekeliruan masyarakat,” katanya.
Sumber: Harian Metro – 03 Ogos 2019
.
IKUTI KAMI 👇
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia 
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments