Muslim di Malaysia lebih cenderung untuk menyokong kumpulan pengganas global termasuk Negara Islam (IS) dan kumpulan serantau Jemaah Islamiyah (JI) berbanding mereka yang berada di negara-negara lain Asia Tenggara, kata penyelidik di sebuah firma kaji selidik Malaysia pada Isnin.
.
Dalam kaji selidik mengenai toleransi dan kecenderungan terhadap ekstremisme, Merdeka Center melaporkan bahawa 18 peratus daripada responden di Malaysia menyokong tindakan JI, yang dikaitkan dengan al-Qaeda. Perbandingan dengan Indonesia, di mana kumpulan militan melancarkan pelbagai serangan termasuk pengeboman Bali yang membunuh 202 orang pada 16 tahun lalu, pula menunjukkan adanya sokongan sebanyak 12.6 peratus kepada JI.
.
Dua lagi negara yang termasuk dalam kaji selidik itu, Filipina dan Thailand, masing-masing menunjukkan sokongan 15.7 peratus dan 9.9 peratus kepada JI. Semasa sidang berita di Kuala Lumpur, Merdeka Center membentangkan slaid laporan itu dan mengumumkan bahawa versi muktamadnya akan dikeluarkan menjelang akhir tahun ini.
.
Selain itu, sokongan untuk IS di Malaysia adalah yang tertinggi dengan mencatatkan 5.2 peratus - walaupun para penyelidik Merdeka Center menyatakan angka itu jauh lebih rendah daripada 11 peratus yang dilaporkan oleh kaji selidik tentang Sikap Global 2015 yang dijalankan Pew Research Center. Tiga negara lain pula mencatatkan 3.8 peratus di Filipina, 2.4 peratus di Thailand dan 1.3 peratus di Indonesia.
.
Memetik laporan Pew sebagai motivasi, penyelidik Merdeka Center berkata, tinjauan itu bertujuan mengenal pasti kelaziman ekstremis agama di kalangan negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim iaitu Malaysia dan Indonesia, dengan Thailand dan Filipina, di mana Muslim adalah penduduk minoriti agama.
.
"Kaji selidik terdahulu cenderung untuk hanya memberi tumpuan kepada ekstremis sahaja," kata pengarah Merdeka Center Ismail Suffian kepada pemberita di Kuala Lumpur. "Kami cuba untuk mengukur tahap toleransi dan ekstremisme dalam populasi yang lebih besar."
.
Kaji selidik itu, yang dijalankan Merdeka Center pada 2017 dan 2018, melibatkan 5,014 individu berusia 18 tahun dan ke atas di 753 daerah di empat negara itu kecuali Indonesia di mana respondennya berusia 17 tahun dan ke atas.
.
Untuk lebih memahami sikap terhadap istilah payung ‘ekstremisme’, para penyelidik menyatakan bahawa mereka mencipta satu kategori yang mengukur kesanggupan individu untuk berkorban demi mempertahankan agamanya manakala kategori kedua pula mengukur kesediaan seseorang melakukan kecederaan ganas terhadap orang lain bagi mencapai matlamat yang sama.
.
Laporan itu menggambarkan seseorang yang bersedia mengorbankan dirinya sebagai "seseorang (mungkin lelaki) yang berpendidikan dan dikenal pasti kerana agamanya, dan tertarik dengan naratif yang mengutamakan matlamat suci Islam dan literalisme agama, serta mengutuk Barat, sambil merasakan bahawa Muslim telah dilayani dengan buruk di seluruh dunia. "
.
Ananthi Al Ramiah, yang merupakan penulis bersama kaji selidik Merdeka Center, menjelaskan tentang pentingnya kaji selidik tersebut.
.
"Sebagai ahli psikologi, saya mendekati manusia sebagai satu entiti biologi dan oleh itu, sifat dominan entiti sedemikian merupakan kelangsungan hidup," katanya kepada pemberita. "Oleh itu kesediaan untuk mengorbankan diri adalah penyelewengan yang jelas daripada kod genetik itu."
.
Walaupun adanya sokongan rakyat Malaysia terhadap kumpulan-kumpulan ekstremis, kaji selidik itu mendapati bahawa umat Islam di negara tersebut dan negara jiran, Thailand, lebih cenderung untuk memilih melakukan pengorbanan diri – dengan mencatatkan 31 peratus dan 32 peratus - berbanding dengan 25 peratus di Indonesia dan 11 peratus di Filipina.
.
Keganasan demi mencapai matlamat agama
Responden Muslim Filipina, yang sebanyak 52 peratus, menunjukkan kecenderungan tertinggi dalam menerima keganasan demi mencapai matlamat agama. Merdeka Center menemu bual 1,000 penduduk Filipina di antara 13 dan 17 Nov 2017, hanya beberapa minggu selepas pasukan kerajaan menewaskan militan Islam yang menawan bandar selatan Marawi selama lima bulan.
.
Sebaliknya, maklum balas di Malaysia, Indonesia dan Thailand masing-masing mencatatkan 28 peratus, 26 peratus dan 21 peratus.
.
Kaji selidik itu menggambarkan seseorang yang tertarik ke arah ekstremisme yang ganas sebagai "seseorang (sekali lagi, kemungkinan besar lelaki) yang tertarik kepada naratif yang mengutamakan matlamat suci Islam, literalisme agama dan pengeboman bunuh diri, serta merasakan bahawa Muslim kekurangan signifikan dan maruah sebagai sebuah kumpulan."
.
Kaji selidik itu mendedahkan tentang perbezaan dalam motivasi terhadap ekstremisme di antara negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim dan yang mempunyai minoriti penduduk Muslim, kata Ananthi.
.
"Di negara-negara yang mempunyai majoriti penduduk Muslim, ia dimotivasikan oleh usaha mencari Islam yang lebih suci yang kebiasaannya Salafisme atau Wahabbisme yang dipengaruhi oleh Arab Saudi," katanya. "Di negara-negara minoriti penduduk Muslim, ia adalah lebih abstrak dan biasanya digabungkan dengan perjuangan lain demi tanah air atau bagi mencari punca pendapatan."
.
Dalam kalangan penduduk Muslim, adanya idea untuk melindungi "martabat Islam" yang dilihat menjadi bahan penghinaan oleh kuasa-kuasa luar, katanya.
.
Walaupun Malaysia tidak mengalami serangan pengganas yang ketara, kaji selidik itu menunjukkan bahawa sesetengah rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan pengganas, kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid, yang merupakan penganalisis di Universiti Sains Malaysia.
.
"Ini tidak sama dengan menyatakan bahawa Malaysia atau Asia Tenggara sudah menjadi ekstremis, kami bukan begitu," katanya, sambil memberitahu bahawa Malaysia kekal sebagai negara yang sederhana namun adanya peningkatan dari aspek ekstremisme.
.
Shahriman Lockman, penganalisis kanan di Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa di Kuala Lumpur berkata, pandangan ekstremis berpunca daripada penyebaran propaganda tentang dunia yang penuh konspirasi oleh kumpulan-kumpulan ekstremis yang tidak pernah dicabar sejak sekian lama.
.
"Apabila orang percayakan teori konspirasi tentang dunia, adanya kecenderungan yang lebih besar bagi mereka untuk menyokong langkah-langkah ekstrem yang diperjuangkan oleh kumpulan pengganas," katanya kepada BeritaBenar..
.
Sumber: Benarnews.com – 19 November 2018
FOLLOW US:
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment