MALAYSIA ADA UNDANG-UNDANG SENDIRI TENTUKAN SENARAI KUMPULAN PENGGANAS



KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Malaysia mempunyai undang-undang dan sistem sendiri dalam menentukan sama ada sesuatu kumpulan itu ekstremis atau pengganas, termasuk dalam kes LTTE.
.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata walaupun Amerika Syarikat (AS) telah mengeluarkan LTTE daripada senarai kumpulan pengganas, ia tidak boleh dijadikan sebagai asas bagi Malaysia.
.

"Kita negara berdaulat dan mempunyai undang-undang sendiri, setiap yang kita buat ada prosedur operasi standard (SOP). Kita tidak boleh jadikan senarai AS sebagai asas kerana banyak negara lain masih senaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas," katanya.
.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menjadi ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan 2019 kali ke-11 (IFCTF 2019) di sini, hari ini.
.

Mengulas mengenai siasatan pembiayaan keganasan, Ayob Khan berkata sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dengan 19 individu dituduh di mahkamah sejak 2016 sehingga kini.
.

Beliau berkata transaksi wang walaupun dalam jumlah yang kecil tetap menjadi satu kesalahan sekiranya ia disalur untuk membiayai kegiatan keganasan.
.

"Ada yang melakukan transaksi dari RM100 sehingga jumlah yang besar dengan kerap dan ini boleh dikesan dengan bantuan pihak bank.
.

"Kebanyakan mereka guna Western Union untuk melakukan transaksi kepada keluarga ataupun pihak ketiga sebagai dana ke Syria dan Selatan Filipina," katanya.
.

Sementara itu, nasib anggota militan, Yazid Sufaat yang kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, akan ditentukan Lembaga Pencegahan Terorisme yang bakal bersidang pertengahan bulan ini.
.

Ayob Khan berkata pihaknya masih menunggu keputusan berhubung pembebasan Yazid yang setakat ini belum dimuktamadkan.
.

"Kami sudah memberikan input dan kini kita tunggu keputusan Lembaga Pencegahan Terorisme yang akan bersidang pada pertengahan bulan ini," katanya.
.

Yazid, 55, yang mempunyai kaitan langsung dengan serangan 11 Sept 2001 di Amerika Syarikat mungkin dibebaskan daripada tahanan bulan ini dan pembebasan itu mungkin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai antiterorisme negara.
.

Yazid ditahan di Penjara Simpang Renggam, dekat Kluang, selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang membenarkan suspek ditahan tanpa dibicarakan selama dua tahun.
.

Ditanya mengenai keberadaan rakyat Malaysia di Syria, beliau berkata setakat ini seramai 65 orang telah dikenal pasti namun hanya 40 orang yang berjaya dihubungi.
.
.
Sumber: BERNAMA – 05 November 2019


FOLLOW US:


"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments