PART 2 : LATAR BELAKANG KUMPULAN EKSTREMIS DI MALAYSIA




GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA
PART 2 : LATAR BELAKANG KUMPULAN EKSTREMIS DI MALAYSIA
PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF

Dengan jumlah rakyat Malaysia sebanyak 30 juta orang, Melayu merupakan kaum terbesar dengan bilangan 15.2 juta orang merangkumi 51% daripada jumlah keseluruhan penduduk Malaysia (Jabatan Perangkaan Negara, 2014). Masyarakat Melayu dan agama Islam adalah saling berkait antara satu sama lain. Sejak Islam menjadi agama dominan pada abad ke-17, agama tersebut telah menjadi pengenalan kepada etnik khususnya kepada bangsa Melayu (Kamarulnizam Abdullah, 1999).

.
Sehubungan itu, gerakan ekstremis yang berteraskan Islam di Malaysia turut dikaitkan dengan penglibatan masyarakat Melayu. Mereka yang dipengaruhi telah terpesong dan terperangkap dengan dakyah dan ideologi gerakan yang telah memperalatkan agama Islam di Malaysia. Kumpulan ekstremis yang muncul di Malaysia ditubuhkan dengan matlamat kononnya untuk menubuhkan negara Islam ataupun Daulah Islamiah.
.
Mereka mengeksploitasi agama Islam dan kebangkitan Islam sehingga menjurus kepada ketaasuban dalam keinginan untuk menubuhkan sebuah pemerintahan Islam, rasa tidak senang dengan kerajaan dan pemerintah yang sedia ada atau perasaan yang sangat benci kepada golongan bukan Islam.
.
Kumpulan ekstremis ini turut memperkaitkan perjuangan mereka dengan jihad, mereka menanamkan semangat jihad dan syahid yang diputar belit dan diubahsuaikan mengikut tafsiran, pengertian dan kepentingan politik mereka. Mereka mempengaruhi dan meyakinkan masyarakat bahawa menentang kerajaan yang dikafirkan oleh kumpulan-kumpulan ini adalah jihad dan jika mati dalam perjuangan itu dianggap syahid.
.
Ajaran dan seruan mereka telah menimbulkan kebencian dan penentangan terhadap pihak berkuasa dan mewujudkan keghairahan untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan. Terdapat beberapa kumpulan ekstremis telah membawa ajaran songsang dengan menganggap fahaman, kepercayaan dan amalan mereka sahaja yang benar. Mereka mengaitkan fahaman mereka yang songsang dengan berlindung di sebalik jenama tertentu, tarekat atau elemen kesufian bagi menarik perhatian masyarakat Islam di Malaysia untuk menyertai mereka.
.
Tetapi dalam diam mereka menyembunyikan elemen radikal, kesesatan akidah dan perlakuan ekstremis. Mereka meletakan kedudukan ketua mereka ke taraf yang amat tinggi. Iaitu satu tahap yang melebihi had kebiasaan manusia seperti meyakini bahawa ketua mereka adalah Khalifah atau Imam Mahdi yang diutus oleh Allah (Zamihan, 8 Julai 2015).


FOLLOW US:


"United Against Extremism!"

Comments