PART 2.1 : LATAR BELAKANG KUMPULAN EKSTREMIS DI MALAYSIA

GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA
PART 2.1 : LATAR BELAKANG KUMPULAN EKSTREMIS DI MALAYSIA

PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF



Pengalaman perjalanan sejarah negara ini turut membuktikan perbezaan etnik, budaya dan agama, mungkin boleh melahirkan suasana salah-faham, ketegangan dan juga konflik (Mansor, 2005). Kemakmuran dan kesejahteraan di negara ini tidak harus diambil sambil lewa kerana ianya masih terdedah dan tetap berisiko kepada elemen-elemen ekstremisme dan juga radikalisme. Perbuatan mengeksploitasi isu-isu sensitif dengan menghasut dan menimbulkan kemarahan dan kebencian ternyata boleh menggugat kestabilan negara.
.
Elemen-elemen luaran dan kecenderungan masyarakat untuk menyokong fahaman ekstrem sama ada yang condong kepada aktiviti keganasan tidak boleh dipandang remeh. Ini terbukti apabila kemunculan beberapa kumpulan ekstremis dan radikal yang telah dikesan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Pada penghujung 1960an dan pada 1970an, Malaysia telah berhadapan dengan beberapa aktiviti militan termasuk perbuatan menyerang dan merusuh, berpunca daripada konflik etnik dan ketidakstabilan masyarakat pada ketika itu (Tan, 2003).
.
Peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969 telah membawa kesan buruk terhadap usaha pemupukan budaya perpaduan di Malaysia dan meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Tunku Abd. Rahman, Perdana Menteri Malaysia pertama, di dalam bukunya May I3: Before and After,1969, telah menyatakan bahawa elemen-elemen komunis dan kongsi gelap Cina telah bertanggungjawab dalam menyemarakkan api perkauman sehingga berlakunya tragedi berdarah 13 Mei 1969.
.
Revolusi Iran yang berlaku pada tahun 1978 membawa kepada perubahan sistem pemerintahan monarki kerajaan Iran kepada sistem Republik Islam. Revolusi tersebut telah turut memberi impak kepada gerakan ekstremis di Malaysia. Keruntuhan dinasti autokratik Pahlavi yang disokong AS melalui Revolusi Iran yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini telah menyuntik semangat baru kepada gerakan Islam sedunia termasuk Malaysia.
.
Kebanyakan pelajar Malaysia yang belajar di Timur Tengah pada ketika itu turut dipengaruhi oleh ideologi pembentukan negara Islam sebagaimana acuan Revolusi Iran (Mohd Mizan, 2008). Kejayaan Revolusi Islam Iran banyak mempengaruhi pemikiran gerakan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Gerakan dan pertubuhan Islam yang terdapat di Malaysia turut terpanggil untuk mencapai objektif membentuk negara Islam melalui cara-cara revolusioner.
.
Revolusi Iran merupakan salah satu faktor yang membawa keganasan berasaskan agama ke Malaysia (Mohd Mizan, 2008). Keinginan gerakan ekstremis di Malaysia untuk menubuhkan sebuah negara Islam sebagaimana di Iran telah dikaitkan dengan beberapa kejadian yang menggugat ketenteraman awam. Insiden serangan terhadap kuil Hindu di Kerling pada tahun 1978 dan serangan Balai Polis Batu Pahat pada tahun 1980 adalah hasil kemunculan kumpulan ekstremis Islam di Malaysia akibat terpengaruh dengan ideologi Revolusi Iran yang dibawa ke negara ini (Ahmad Fauzi, 2007).
.
Antara tahun 1980 dan 2000, kemunculan baru kumpulan ekstremis atau militan Islam di negara ini menggusarkan pihak kerajaan. Arus kebangkitan Islam ketika itu telah mendorong masyarakat Islam di Malaysia berusaha mendalami lagi ilmu pengetahuan mereka mengenai Islam. Mereka merasakan adalah penting untuk mereka kembali kepada prinsip asas ajaran Islam, membersihkan diri daripada maksiat, membuang nilai hedonistik dan materialistik serta menolak sekularisme dan pengaruh nilai-nilai Barat di negara-negara Islam (Ali, 1984).
.
Fahaman bahawa Islam adalah agama syumul dalam setiap aspek kehidupan orang Islam termasuk politik dan tadbir urus telah menjadi tema utama kebangkitan semula Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Kebangkitan Islam dan masalah kemunculan gerakan ekstremis Islam di Malaysia mempunyai implikasi penting kepada masyarakat Melayu dan identiti mereka yang sinonim dengan Islam. Dalam pada itu, perang Soviet-Afghanistan (1979-1989) turut memberi kesan kepada perkembangan kumpulan ekstremis atau militan Islam di negara ini.
.
Berdasarkan kepada Kertas Putih “The Jemaah Islamiyah Arrests and the Threat of Terrorism” yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura (2003), kumpulankumpulan militan Islam cenderung menjadi lebih radikal di rantau Asia Tenggara ini berikutan penglibatan mereka di dalam jihad memerangi Soviet Union di Afghanistan. Perang tersebut telah memberikan peluang kepada pejuang-pejuang asing termasuk dari rantau ini mengalami sendiri perjuangan jihad yang kemudiannya mendapat kemenangan ke atas Soviet Union.
.
Bahkan, ramai daripada golongan radikal yang ditahan di Malaysia dan Singapura mendapat inspirasi ideologi mereka dari kegiatan-kegiatan mujahidin di Afghanistan dan Pakistan. Di Afghanistan, Al-Qaeda mengajar mereka kemahiran dan kepakaran pengganasan yang canggih. Setelah mereka pulang ke Asia Tenggara, mereka mengajar pula kemahiran-kemahiran itu kepada anggota-anggota lain pertubuhan mereka.
.
Pengalaman latihan yang mereka kongsi di Afghanistan telah dapat memupuk jalinan di kalangan pemimpin ini sendiri dan dengan para pembimbing mereka di Al-Qaeda (Ministry of Home Affairs, Republic of Singapore, 2003). Dalam suasana tersebut terdapat juga golongan yang mengambil kesempatan menonjolkan ajaran mereka dengan sengaja menyalah tafsirkan ajaran Islam sehingga ke tahap mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
.
Mereka sanggup menggunakan kekerasan bukan sahaja sekadar membawa kesesatan dan kesengsaraan kepada pengikut-pengikut mereka, malahan telah mengancam dan mencederakan orang awam, seperti Tentera Sabilullah dan Golongan Rohaniah. Peristiwa Memali di daerah Baling, Kedah pada tahun 1985 yang meragut 18 nyawa termasuk 4 orang anggota polis, telah menjadi satu titik hitam dalam sejarah Malaysia berikutan penentangan gerakan ekstremisme terhadap kerajaan Malaysia yang dikatakan kafir (Kamarulnizam, 1999).
.
Permulaan abad ke-20 menyaksikan satu dimensi baru terhadap keganasan yang dikaitkan dengan Islam. Peristiwa 9/11 telah mengubah perspektif seluruh dunia terhadap hubungan politik dan antarabangsa. Terorisme menjadi fenomena penting & isu ancaman utama bagi banyak negara. Asia Tenggara yang mempunyai jumlah umat Islam terbesar di dunia termasuk Malaysia telah dikenali sebagai 'Barisan Kedua' dalam peperangan ke atas terorisme global.
.
Ancaman terorisme yang datang dari kumpulan militan dan radikal Islam di Malaysia adalah kompleks dengan terdapat jaringannya di rantau ini dan juga kumpulan terorisme antarabangsa. Sungguhpun Malaysia tidak terdedah kepada serangan langsung oleh kumpulan pengganas, namun negara berdepan dengan elemen ekstremis tempatan yang terpengaruh dengan fahaman radikal yang merasakan diri mereka terpanggil untuk menegakkan negara Islam dan berjihad di negara bergolak seperti Afghanistan, Syria, Palestin dan selatan Filipina.
.
Malaysia turut dikejutkan dengan kewujudan kumpulan ekstremis dan radikal di Malaysia yang bergerak aktif seperti KMM, JI dan juga al-Maunah yang berjuang secara militan dan menggunakan pendekatan revolusi untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara (Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 11 Oktober 2001). Turut menggemparkan apabila Laporan Suruhanjaya 9/11 telah melaporkan bahawa Al-Qaeda telah menjalinkan kerjasama dengan kumpulankumpulan ekstremis dari beberapa negara termasuk Malaysia (Kean, 2004).
.

FOLLOW US:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments