PART 3.3 : KUMPULAN EKSTREMIS TEMPATAN- Kumpulan Crypto (1971)


GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA
PART 3.3 : KUMPULAN EKSTREMIS TEMPATAN
PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF


Terdapat beberapa kumpulan ekstremis tempatan (home-grown extremist) di Malaysia yang lahir dan beroperasi di dalam negara, namun tidak terlibat dengan rangkaian kumpulan ekstremis dan radikal antarabangsa serta tidak mempunyai sebarang hubungan dengan gerakan dari luar negara. Perjuangan mereka lebih kepada memfokuskan usaha ekstrem mereka secara khusus di dalam negara sahaja.


Pihak berkuasa mengenal pasti selain kumpulan-kumpulan ekstremis Islam, terdapat juga beberapa kumpulan ekstremis tempatan bergerak sebagai kumpulan dakwah songsang dan ajaran sesat. Kumpulan-kumpulan ini turut terlibat dengan perlakuan ganas sehingga ke tahap mengancam, mencedera dan membunuh orang awam dan juga membuat onar menggugat keselamatan negara.

4. Kumpulan Crypto (1971)

Kumpulan Crypto telah ditubuhkan di Pulau Pinang. Pengasasnya, Mokhtar bin Hassan, telah menggunakan “ilmu hitam” dalam usaha mendapatkan sokongan daripada orang ramai.
.
Ajaran-ajarannya mengandungi beberapa perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar, antaranya tidak mempercayai al-Quran, mengingkari kewajipan solat dan rukun Islam yang lainnya, mengatakan al-Quran akan turun lagi 3 juzu' dalam bahasa Inggeris dan Bahasa Latin dan mengatakan masjid adalah tokong orang Melayu (JAKIM, 1981).
.
Ia turut melibatkan pelajar-pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bukan saja menganuti ajaran Crypto tetapi telah bergiat untuk menyebarkan ajaran tersebut dan kegiatan mereka ini telah menimbulkan kegelisahan dan hampir mencetuskan pergaduhan antara mereka dengan pelajar-pelajar Islam yang lain (Penyata Rasmi Dewan Rakyat, 23 Mac 1979).
.
Serbuan pihak berkuasa telah berjaya membongkar persediaan mereka untuk menubuhkan sebuah kerajaan teokratik yang dikenali sebagai “Kerajaan Nabi Isa”, dan menemui bendera kerajaan mereka, kad pengenalan khas, mata wang dan pakaian seragam hasil ciptaan dan keluaran mereka.
.
Kumpulan ini telah dibubarkan pada tahun 1982 setelah 9 orang pemimpin mereka ditahan di bawah ISA (KDN, 1984).
.
.
FOLLOW US:


"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments