PART 4: KUMPULAN EKSTREMIS MALAYSIA DAN RANGKAIAN ANTARABANGSA

GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA
PART 4: KUMPULAN EKSTREMIS MALAYSIA DAN RANGKAIAN ANTARABANGSA

PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF



1. Kumpulan Militan Malaysia (1995)

Kumpulan Militan Malaysia (KMM) merupakan sebuah gerakan sulit yang ditubuhkan pada Oktober 1995 oleh Zainon Ismail iaitu seorang ahli KMK dan bekas pejuang Mujahidin Afghanistan. Kumpulan ini telah melaksanakan seruan jihad di negara ini secara menyeleweng dari ajaran Islam.

Kebanyakan anggota KMM merupakan bekas penuntut Malaysia di Pakistan yang sebilangan besar pernah juga mendapat latihan dan berjuang membantu mujahidin di Pakistan. KMM dikesan mempunyai rangkaian di beberapa buah negeri seperti Terengganu, Perak, Kelantan, Kedah, Johor dan Selangor.

KMM juga telah membangunkan hubungan kerja dengan kumpulan pengganas antarabangsa Al-Qaeda melalui penyediaan saluran pemindahan dana dan sokongan logistik untuk aktiviti AlQaeda di Asia Tenggara (Ahmad Fauzi, 2009) .

Di samping itu KMM turut menjalin hubungan dengan kumpulan radikal Islam luar negara di Indonesia yang bekerjasama memberi usrah yang berbentuk jihad dan mati syahid kepada pengikut KMM di negara ini terutama di kawasan Puchong, Selangor.

KMM juga turut terlibat menghantar anggota-anggotanya berjuang di Ambon, Indonesia untuk menentang puak Kristian di sana. KMM menganjurkan anggotanya menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan dan mendapatkan kerjasama pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) untuk mendapat tempat latihan ketenteraan anggota KMM selain memohon kepakaran pembuatan bom (Kamarulnizam, 2009).

KMM telah terlibat melakukan jenayah-jenayah berat sehingga mengancam keselamatan negara. Antaranya ialah pada tahun 2000, KMM merancang untuk menyerang kapal perang AS yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Beberapa bahan letupan termasuk ammonia nitrat bagi tujuan serangan tersebut telah dirampas oleh pihak berkuasa. KMM turut melakukan jenayah rompakan ke atas Hong Leong Bank dan Southern Bank pada tahun 2001.

Pada tahun 2001 juga, KMM turut dikaitkan dengan pembunuhan ADUN Lunas, Dr. Joe Fernandez, individu yang didakwa KMM sebagai bertanggungjawab memurtadkan agama pekerja kepada Kristian di perindustrian kilang Kulim, Kedah. KMM turut terlibat dalam Serangan Balai Polis Guar Chempedak pada 12 Januari 2001 (Kamarulnizam, 2009).


FOLLOW US:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments