PART 5.3: INSIDEN KEGANASAN OLEH KUMPULAN EKSTREMIS DAN IMPAK TERHADAP KESELAMATAN- (INSIDEN AL-MAUNAH)

GERAKAN EKTREMIS DI MALAYSIA
PART 5.3: INSIDEN KEGANASAN OLEH KUMPULAN EKSTREMIS DAN IMPAK TERHADAP KESELAMATAN
 (INSIDEN AL-MAUNAH)

PENULIS: HANIF YUSABRA YUSUF




3. Insiden Al-Maunah (2000)

Insiden yang berlaku pada awal Julai 2000, telah menggemparkan negara berikutan tindakan nekad sebuah kumpulan militan yang telah menceroboh sebuah kem tentera di Gerik, Perak dan melarikan sejumlah besar senjata api daripada stor persenjataan kem tersebut. Kumpulan ini kemudiannya mendirikan pangkalan di Bukit Jenalik berhampiran perkampungan di Sauk, Perak dan terlibat dalam pertempuran di antara Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Insiden ini telah didalangi oleh Kumpulan Persaudaraan Ilmu dalam al-Maunah, atau dikenali al-Maunah, yang telah diasaskan oleh Mohd Amin bin Mohd Razali pada tahun 1999. Mohd Amin merupakan bekas anggota tentera yang bergiat aktif mengembangkan ilmu pertahanan bela diri yang menggunakan tenaga dalaman dan mempromosikan ilmu perubatan tradisional.

Ajaran kumpulan ini berdasarkan kepada kandungan buku "Persaudaraan Ilmu Dalam alMaunah". Objektif kumpulan al-Maunah adalah untuk menggulingkan kerajaan sedia ada dengan cara peperangan. Asas perjuangan mereka adalah berteraskan perjuangan yang dikatakan ‘jihad’ untuk mewujudkan suatu negara menurut undang-undang Islam.

Para pengikut kumpulan ini bersikap terlalu taasub terhadap ketua mereka sehingga mereka mempercayai kata-katanya dan sanggup melakukan apa saja yang diperintahkan.
Pemikiran fanatik sedemikian telah meresapi ke dalam diri para pengikutnya tanpa mengenal latar belakang mereka. Bahkan, ada di antara mereka merupakan golongan terpelajar dalam kalangan pegawai tentera, pegawai polis dan juga golongan profesional (Abdullah Muhammad Zin, 2015). Al-Maunah telah melancarkan peperangan dengan berkumpul di Bukit Jenalek dan kemudian telah melakukan penentangan terhadap kerajaan dengan cara keganasan dan kekerasan. Mereka telah melakukan penderaan dan pembunuhan terhadap tawanan. dua orang anggota polis dan seorang anggota tentera telah dibunuh ketika menjadi tawanan mereka.

Kumpulan ini juga terlibat dengan insideninsiden tembakan dan letupan yang berlaku di kilang minuman keras Carlsberg di Shah Alam, Guinness Petaling Jaya dan juga di Kuil Batu Caves. Pihak berkuasa berjaya menawan dan melumpuhkan kumpulan ini. Mohd. Amin bersama dua pengikutnya, sebagai perancang utama, dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi setelah didapati bersalah atas tuduhan melancarkan peperangan terhadap Yang diPertuan Agong.

Manakala 16 ahli al-Maunah dikenakan penjara sepanjang hayat di bawah peruntukan Seksyen 121 Kanun Keseksaan, juga atas kesalahan yang sama (Mohd Mizan, 2009). Kes ini mencatat sejarah kerana ia merupakan kes jenayah pertama yang didakwa di bawah peruntukan Seksyen 121 kanun tersebut.


IKUTI KAMI:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments