KUALA LUMPUR: Kerajaan menyerahkan
sepenuhnya kuasa kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat siasatan
serta menentukan tahap kesalahan yang mendepani suspek.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
berkata kerajaan berpendapat bahawa undang-undang seperti Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) tidak lengkap kerana tidak
membezakan perbuatan yang ringan dan perbuatan yang berat.
"Umumnya, di bawah undang-undang ini
juga, kita gunakannya untuk menahan mereka yang terlibat dengan keganasan,
umpamanya seperti melengkapi diri mereka dengan bom (pengebom bunuh diri)
ataupun membuat perancangan untuk membunuh seseorang.
"Di masa yang sama, ada juga bukti
yang tidak begitu kuat seperti mereka cuma terperangkap dengan mengambil gambar
bersama orang yang kemudiannya dikenali sebagai seorang pengganas.
"Bukanlah salah dia (suspek).
Sebaliknya dia tak kenal orang itu. Atau pun dia memberi bantuan wang RM200
atau RM300 yang tidak boleh menjatuhkan kerajaan. Ini berlaku.
"Terpulang kepada pihak polis untuk
mengasingkan tuduhan-tuduhan yang tidak cukup asasnya dengan (tuduhan) yang
jelas memberi ancaman terhadap keselamatan negara," katanya di Dewak
Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab
soalan tambahan Datuk Seri Dr. Santhara (PH-Segamat) berkenaan tiada perincian
berhubung sebarang kesalahan yang disabitkan dengan SOSMA termasuk melibatkan
penahanan beberapa pemimpin DAP.
Justeru, Dr Mahathir menegaskan bahawa
kerajaan telah mengkaji semula undang-undang berunsur zalim dalam memastikan
pengasingan jenayah sama ada berat mahupun ringan dapat dilaksanakan.
Sumber: Astro Awani – 3 Disember 2019
FOLLOW US:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment