KUMPULAN pengganas antarabangsa Daish telah
mengaku bertanggungjawab atas serangan tikaman di London Bridge pada Jumaat
yang meragut tiga nyawa termasuk suspek pelaku.
Dakwa kumpulan itu dalam satu kenyataan
pada Jumaat menerusi agensi berita miliknya, Amaaq, serangan itu dijalankan
salah seorang pejuangnya. Suspek, Usman Khan, 28 tahun, dikatakan menyahut
seruan Daish untuk mensasarkan penduduk di kelompok negara yang menyokong
Amerika Syarikat.
Namun, tiada bukti diberikan bagi menyokong
dakwaan itu. Sebelum ini, beberapa pakar menjelaskan bahawa kumpulan pengganas
seperti Daish boleh mengaku bertanggungjawab atas mana-mana serangan yang
dijalankan oleh penyokongnya, walaupun pelaku tidak menerima sebarang arahan
secara langsung.
Ketika kejadian, Usman sedang menghadiri
satu program rehabilitasi banduan, Learning Together, anjuran Universiti
Cambridge, sebelum bertindak menyerang salah seorang penyelaras program, Jack Merritt.
Jack, 25 tahun, merupakan graduan
Universiti Cambridge yang berpengalaman dalam membantu banduan untuk membina
semula kehidupan mereka.
Menurut laporan media tempatan, bapa
mangsa, David Merritt menerusi Twitter menggambarkan anaknya sebagai seorang
insan mulia yang berusaha untuk menyebelahi pihak yang sentiasa ditindas.
“Anak saya, Jack, yang terbunuh dalam
serangan ini, pasti tidak mahu kematiannya digunakan sebagai alasan untuk
mengukuhkan hukuman drakonian atau menahan individu tanpa sebab,” kata David
dalam satu tweet.
Identiti seorang lagi mangsa masih belum
didedahkan oleh pihak polis. Pada 2008, Usman pernah muncul dalam satu temubual
bersama BBC News dan mendakwa beliau bukan seorang pengganas. Usman dijatuhkan
hukuman penjara pada 2012 atas kesalahan berkaitan keganasan namun dibebaskan
dengan bersyarat pada Disember 2018.
Dalam kejadian pada Jumaat, suspek telah
dikejar oleh orang awam di London Bridge dan kemudiannya diserang beberapa
individu menggunakan pemadam api dan gading ikan paus narwhal, sebelum ditembak
mati polis. Pada Jun 2017, Daish turut mengaku bertanggungjawab atas insiden
tembakan di London Bridge yang meragut lapan nyawa.
Full article: Bernama – 01 Disember 2019
FOLLOW US:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"United Against Extremism!"
Comments
Post a Comment