[SIRI 2] BAGAIMANA MENGELAK JERAT TERORIS


[SIRI 2] BAGAIMANA MENGELAK JERAT TERORIS
PENULIS: DR MOHAMAD MIZAN ASLAM



Perkara utama yang perlu difahami oleh setiap individu bagi menggelakkan menjadi mangsa perjuangan palsu teroris ini adalah tentang memahami ajaran Islam yang sebenar. Terlalu banyak ulama atau ustaz yang mengajar Islam berada dalam negara ini. Rata-rata individu yang terlibat telah diberikan ajaran Islam dalam versi yang berbeza dengan aliran yang diterima oleh masyarakat massa. Seharusnya difahami bahawa Islam yang datang dan dikembangkan pada hari ini bukanlah bersifat tersembunyi dan rahsia.

Sejak Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, Islam telah tersebar secara terang-terangan tanpa rasa takut dan sangsi. Walaupun ketika di Makkah Islam disebarkan dengan rahsia dan secara tersembunyi kerana ancaman bunuh dan penyiksaan oleh kaum kafir Qurais, akan tetapi apabila Rasulullah SAW kembali semula ke Mekah kemudiannya, Islam sudah menjadi subjek yang jelas dan diakui kebenarannya.

Oleh itu, apabila ada kelompok yang datang kepada mana-mana individu dan menyebarkan Islam dengan cara yang sembunyi dan rahsia pada ketika ini, maka seharusnya rasa curiga berada dalam jiwa. Persoalannya mengapakah pada hari ini Islam perlu disembunyikan? Malah Malaysia telah mengakui bahawa Islam adalah agama rasmi dan boleh disebarkan dengan aman dan bebas. Maka akibatnya ramai yang telah ditahan oleh pihak polis kerana menerima ajaran Islam yang ‘pelik’ dan menekankan konsep ‘jihad al-kital & jihad takfiri’ serta menolak sistem demokrasi yang akhirnya diterjemahkan kepada perbuatan keganasan.

Aspek kedua yang seharusnya diperhatikan oleh setiap individu dalam negara ini adalah tentang pemilikan apa-apa bahan atau simbol yang boleh dikaitkan dengan teroris. Ramai yang ditahan oleh pihak polis dan akhirnya dikenakan tindakan berkaitan adalah kerana menyimpan bahan-bahan seperti pelekat kenderaan, buku-buku dan bahan-bahan bacaan, bendera, mafla, selendang, baju-T, topi, kopiah, kalung, rantai dan lain-lain.

Kesemua bahan ini hanya didapati oleh mereka-mereka yang mempunyai akses dan berhubung dengan kelompok terroris ini. Sebahagian besar dari masyarakat sebenarnya naif dan tidak faham kesan pemilikan bahan-bahan tersebut. Malah ada kes individu yang telah dipenjarakan dibawah SOSMA kerana menjual bahan-bahan tersebut. Setelah disiasat, mereka ini jelas tidak faham dan hanya menjual kerana bahan-bahan tersebut kelihatan cantik dan mempunyai tulisan ayat-ayat Quran tanpa mengetahui bahawa bahan tersebut adalah bersifat propaganda ISIS.


Ikuti Kami:
https://al-haqcentre.blogspot.com
https://twitter.com/alhaqcentre
https://facebook.com/al-haqcentremalaysia

“BERSAMA MENENTANG KEGANASAN”

Comments