Sidang Kemuncak Kuala
Lumpur (KL Summit) 2019 selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur
(KLCC), yang membuka tirai Rabu ini, sekali lagi menjadi pentas bagi kira-kira
450 pemimpin negara, pemimpin Islam, cendekiawan, pemikir dan bijak pandai dari
serata dunia untuk berbicara serta bertukar pandangan mengenai isu berkaitan
dunia Islam.
.
Pada November 2014,
apabila sidang kemuncak pertama diadakan di Kuala Lumpur, kejayaan dicapai
dalam mengumpulkan tokoh terkemuka dunia Islam bagi membincangkan isu
membabitkan kepentingan bersama dan masalah membelenggu masyarakat Islam
sejagat.
.
Namun, selepas lima
tahun, dunia Islam bukan saja menghadapi ancaman pihak luar, sebaliknya sesama
Islam sendiri dengan ancaman keganasan bertopengkan agama, antaranya kumpulan
seperti Abu Sayyaf dan Daesh, selain pelbagai kumpulan serpihan yang cuba menghalalkan
keganasan atas nama agama.
.
Menteri Dalam Negeri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN
berkaitan Jenayah Rentas Negara (AMMTC) Ke-13 bulan lalu, tidak menolak
kebarangkalian Daesh memindahkan operasi ke rantau Asia Tenggara berikutan
kematian pemimpinnya, Abu Bakr al-Baghdadi, dalam satu serangan di Syria pada
Oktober lalu.
.
Malah, beliau percaya
kematian al-Baghdadi akan membuka satu lagi babak dalam operasi keganasan Daesh
yang kini mencari pangkalan baharu selepas kehilangan banyak wilayahnya di
Syria dan Iraq, sekali gus menjadi ancaman global, khususnya kepada negara
Islam.
.
Walaupun tujuh tema
utama persidangan diumum Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam ucapan
perasmian pra pelancaran KL Summit baru-baru ini tidak secara khusus menyentuh
implikasi tindakan kumpulan pengganas yang memperalatkan Islam bagi agenda
peribadi, ia tidak boleh diketepikan apabila membicarakan isu dunia Islam
sejagat.
.
Begitu juga isu
berbangkit seperti sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap sektor pembinaan Iran
dan perdagangan, selain pencerobohan Israel di Palestin.
.
Selaku Pengerusi KL
Summit 2019, Dr Mahathir turut menyuarakan kebimbangannya terhadap kegagalan
umat Islam sejagat menjalani kehidupan berlandaskan ajaran Islam sebenar.
.
Katanya, perang
membabitkan saudara seagama kerana percanggahan mazhab dan fahaman terus
membelenggu umat Islam di seluruh dunia, malah ada negara Islam bersekongkol
dengan negara bukan Islam untuk memerangi negara Islam lain, sedangkan semuanya
mengaku saudara seagama.
.
“Inilah hakikat yang
menunjukkan kita gagal dan tidak berupaya untuk hidup berlandaskan Islam
sebenar. “Kita (Islam) sudah lama dikaitkan dengan tadbir urus lemah, menjadi
kancah rasuah dan sebagai negara di mana keganasan bercambah.
.
“Kita boleh terus
lantang membantah bahawa tindakan melabel Islam sebagai pencetus keganasan
adalah propaganda anti-Islam, tetapi kita juga sedar bahawa kelemahan dan
perpecahan dalam kalangan kita sendiri seolah-olah mengesahkan kebenaran
propaganda ini.
.
“Kita ada negara Islam
terkaya antara yang kaya di dunia dan ada juga negara Islam termiskin dalam
kalangan negara paling miskin di dunia. Ini hakikat dunia Islam sekarang,”
katanya dalam teks ucapan di laman sesawang KL Summit (https://klsummit.my/).
.
Dr Mahathir menaruh
harapan tinggi perbincangan tujuh tema persidangan, iaitu pembangunan dan
kedaulatan; integriti dan tadbir urus yang baik; budaya dan identiti; kebebasan
dan keadilan; keamanan, keselamatan dan pertahanan; perdagangan dan pelaburan
serta teknologi dan tadbir urus internet, dapat merumuskan jalan penyelesaian
bagi permasalahan berkaitan dunia Islam.
.
Lima negara, iaitu
Malaysia, Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan menjadi perintis KL Summit dan
Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan
serta Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, sudah mengesahkan kehadiran.
.
Dr Mahathir awal-awal
lagi mengingatkan bahawa hasrat, cadangan dan idea menyumbang serta memperbaiki
kedudukan umat Islam sejagat oleh negara Islam sendiri, harus diterjemahkan
dengan pelan pelaksanaan munasabah supaya apa yang dirumuskan tidak hanya tinggal
idea.
.
Beliau turut menaruh
harapan tinggi terhadap mereka yang hadir, untuk menyahut cabaran menzahirkan
semua keputusan pada sidang kemuncak kali ini dengan jujur, bagi mencari
rumusan munasabah menangani masalah dihadapi negara Islam sejagat.
.
Ucaptama Dr Mahathir
pada permulaan persidangan Khamis ini, disusuli ucapan Erdogan; Presiden Iran,
Hassan Rouhani; Imran dan Naib Presiden Indonesia, Ma’ruf Amin serta Emir
Qatar, dijangka menjadi pedoman hala tuju sidang kali ini.
.
KL Summit 2019 juga
bakal menyaksikan dua sesi perbincangan meja bulat bertajuk ‘Keutamaan
Pembangunan dan Cabarannya’ serta ‘Peranan Politik Dalam Pembangunan’, selain
sesi khas bertema ‘Kenapa Pendidikan Menjadi Kunci Pembangunan Nasional’.
.
Ini disusuli empat
sidang pleno, masing-masing membicarakan tajuk ‘Pengagihan Semula Kekayaan’;
‘Keselamatan Makanan’; Teknologi Tinggi Maju’ dan ‘Pengekalan Identiti
Nasional’.
.
Hanya masa akan
menentukan sama ada apa yang diharapkan Dr Mahathir secara peribadi dan negara
menyertai KL Summit ini secara umum bagi menangani masalah dunia Islam, dapat
diterjemahkan menerusi pelan tindakan yang terjamin pelaksanaannya.
.
.
Sumber: Berita Harian
Online – 16 Disember 2019
FOLLOW US:
https://facebook.com/alhaqcentremalaysia
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU
MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment