KUALA LUMPUR - Jabatan Cawangan Khas Polis
Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas seramai 72 individu termasuk 46 warga
asing yang disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan serta militan pada tahun
lalu.
Timbalan Pengarah II, Cawangan Khas Bukit
Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 46
telah dituduh, tiga dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Keganasan 2015
(POTA), diusir (15 orang) dan dibebaskan (8 orang).
"Sejak tahun 2013, seramai 533
individu telah diambil tindakan sebagai langkah pencegahan agar kegiatan
ekstremis dapat dibendung.
"Seramai 246 orang telah dituduh yang
mana 199 orang dijatuhkan hukum. Mereka yang ditahan di bawah Akta Pencegahan
Jenayah (POCA) 1959 adalah seramai 47 orang, POTA 36 orang dan usir 58 orang, manakala
selebihnya dibebaskan kerana kekurangan bukti," katanya pada sidang media
khas sempena Pencapaian 2019 dan Perancangan 2020 di Bukit Aman di sini hari
ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga
kejayaan besar Cawangan Khas pada tahun lalu adalah menahan 10 suspek termasuk
lapan warga asing membabitkan anasir Al-Qaeda dan Daesh dari utara Afrika yang
hendak menubuhkan sel di dalam negara.
Katanya, kemudian pada Mei lalu, satu plot
untuk menyerang pusat hiburan dan tempat ibadat di sekitar Lembah Klang
digagalkan dengan penahanan empat suspek termasuk tiga warga asing yang mahu
melancarkan serangan sebagai balas dendam terhadap kematian anggota bomba,
Muhammad Adib Mohd Kassim.
"September lalu pula, kita telah
menangkap empat individu yang berperanan sebagai fasilitator yang membantu
militan asing untuk berlepas ke Sabah sebelum ke Filipina bagi melancarkan
serangan," katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut menumpaskan
21 sindiket penyeludupan migran dengan tertangkapnya seramai 831 individu melibatkan
ahli sindiket dan migran sejak tahun 2014 sehingga tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, pada tahun lalu,
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman merekodkan 1,886
aduan merangkumi salah laku tata tertib, jenayah oleh warga PDRM dan 1,887
maklumat merangkumi segala kegiatan jenayah, pelacuran, dadah serta pendatang
asing.
Tahun lalu juga, Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman merekodkan 567,466 kes kemalangan
dengan 6,164 kematian dicatatkan.
Selain itu, Jabatan Pencegahan Jenayah dan
Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman dalam strategi dan sasarannya tahun ini
akan menambah program Go-To-Safety-Point (GSTP), program pencegahan jenayah
bersama sektor swasta dan badan bukan kerajaan, program town hall, penggantian
MPV yang tamat pajakan serta penubuhan unit polis pelancong.
Sumber: Sinar Harian – 13 Januari 2020
IKUTI KAMI 👇
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"
Comments
Post a Comment