[ARTIKEL] SIRI 3: BAGAIMANA MENGELAK JERAT TERORIS
.
Penulis: Prof Madya Dr Mohd Mizan Mohd Aslam, Pakar Kajian Strategik dan Anti Keganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
.
Faktor seterusnya adalah memahami bahawanya penyebaran apa-apa bentuk bahan bacaan atau mempromosikan idea ganas melalui media sosial adalah merupakan satu kesalahan yang serius. Lebih dari 80 peratus rakyat Malaysia mempunyai akses terhadap internet, ini memungkinkan penyebaran dan perekrutan ideologi ekstrem berjalan dengan baik dan licik. Media sosial terutamanya Facebook, Instagram, Telegram dan Whatsapp telah menjadi medium ampuh penyebaran ideologi ekstrem ini.
.
Ramai rakyat Malaysia telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana ‘mempromosikan’ keganasan melalui Facebook. Walaupun sekadar berkongsi dengan rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat, ia juga dikira mempromosikan ideologi ganas ini. Maklumat yang didapati juga mengejutkan, ISIS yang berpengkalan di Mosul mempunyai satu pasukan khas yang bertujuan untuk merekrut masyarakat massa melalui media sosial. ISIS juga mempunyai penggodam yang terlatih dan menggunakan deep & dark web sebagai medium perekrutan dan bersekongkol dengan aktiviti jenayah.
.
Masyarakat juga harus memahami tentang kemungkinan dikenakan tindakan dibawah SOSMA, POTA atau POCA jika terlibat dalam menyalurkan wang kepada mana-mana kumpulan pengganas. Ramai yang terjerat dan berakhir di penjara kerana tidak faham bahawa mereka telah dipergunakan oleh kumpulan-kumpulan ekstrem ini. Sifat masyarakat Malaysia yang akomodatif dan ihsan telah memberikan ruang yang banyak kepada terroris. Pemujukan untuk menyalurkan bantuan wang ringgit atau membenarkan akaun bank digunakan dalam menyalurkan wang kepada mana-mana pihak sebenarnya telah menjadi modus operandi biasa kelompok ini.
.
Malah transaksi yang dicurigai berkaitan sesuatu perniagaan yang nampak ‘betul’ dari sudut perundangan tetapi mempunyai agenda tersembunyi di belakangnya. Seperkara lagi, menjadi agen pembawa wang dalam sistem ‘hawala’ iaitu sistem tradisional penyaluran wang tanpa transaksi juga adalah perkara yang seharusnya diberi perhatian. Dalam keadaan ini, lebih baik menolak daripada menyesal dikemudian hari.
.
Corak perjalanan juga boleh menjadi penyebab kepada penahanan dan terjebaknya seseorang kepada kegiatan yang disifatkan sebagai pengganas. Ramai yang tidak sedar memilih perjalanan yang dicurigai atau melalui kawasan konflik yang mana persamaan agama dan perjuangan boleh mendatangkan masalah. Contohnya bagi seseorang yang sepatutnya ke Sydney dari Malaysia tidak seharusnya pergi ke Tonga terlebih dahulu kecuali dalam keadaan transit. Malah mengunjungi Rusia dan Arab Saudi hari ini juga memungkinkan seseorang itu dicurigai apabila memasuki negara Amerika Syarikat.
.
IKUTI KAMI 👇
.
“BERSAMA MENENTANG KEGANASAN”
Comments
Post a Comment