HANYA FIKIR MATI


Kuala Lumpur: “Peluru itu datang seperti hujan. Saya lihat mayat orang awam bergelimpangan, ketika itu saya hanya fikir mati,” kata bekas anggota Unit Jenayah Berat (D9) Kontinjen Kuala Lumpur, Sarjan Mejar Shaari Ismail, 62.

Menceritakan detik serangan ketika menyertai misi pengaman bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada April 1994 di Kemboja, Shaari berkata, ketika sedang bertugas sekumpulan pengganas menyerang kediamannya secara tiba-tiba menyebabkan dia bersama anggota lain berusaha menyelamatkan diri dan individu yang berada di kawasan itu.

“Saya dengan pantas menyelamatkan diri dan sebaik saja pengganas beredar, saya lihat lebih daripada lima orang awam maut akibat terkena tembakan pengganas.

“Saya kemudian mengangkat satu persatu mayat yang dikumpulkan di satu tempat sebelum mendapatkan bantuan daripada pasukan pengaman PBB yang lain,” katanya.

Menurut Shaari, dia bagaimanapun berbangga kerana menjadi salah seorang daripada anggota keselamatan Malaysia yang ditugaskan ke Kemboja.

“Ia adalah peristiwa yang tidak akan dilupakan sejak berkhidmat sebagai anggota keselamatan di negara ini.

“Selepas menyertai misi pengaman PBB, saya ditempatkan di Unit Jenayah Berat (D9) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan berkhidmat di unit berkenaan selama 14 tahun,” katanya.

Shaari berkata, dia bersama pasukannya pernah menumpaskan penjenayah kejam iaitu Jimmy Chua pada 1983 dan Geng Isa Sani.

“Saya bersama tiga anggota dan seorang pegawai ketika itu mengesan penjenayah berkenaan di Seremban, Negeri Sembilan dan dia berjaya memasuki ‘perangkap’ kami.

“Selain itu, beberapa penjenayah seperti ‘Smart Boy’ atau lebih dikenali sebagai Geng Mamak turut ditumpaskan pasukan kami pada 1993,” katanya.

Menurut Shaari, dia sudah beberapa kali menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sejak berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1975.

“Saya menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Negara (KPN) selepas menumpaskan penjenayah geng Sigma Kuning.

“Selain itu, Kedutaan Ireland turut memberi penghargaan kepada saya kerana berjaya menjejaki rakyat negara itu yang hilang pada 2004,” katanya.

Shaari berkata, dia bersyukur berjaya menyelesaikan lebih daripada 50 kes jenayah berat di Malaysia.

“Dalam pasukan PDRM, kerjasama berkumpulan sangat penting. Kejayaan saya ini adalah kejayaan kumpulan kami.

“Saya bersara pada 2011 dan masih lagi menerima pelbagai penghargaan atas jasa menjaga keamanan negara sehingga kini,” katanya.

Sementara itu, Shaari turut mengingatkan generasi masa kini supaya menghargai keamanan yang dinikmati hasil perjuangan dan pengorbanan tokoh terdahulu.

“Apa yang kita capai sekarang sepatutnya disyukuri. Generasi kini ramai yang tidak menyedari betapa susahnya untuk kita kecapi apa yang ada sekarang ini.

“Saya bukan ingin membangga diri, tetapi sekadar mahu berkongsi pengalaman suka dan duka sepanjang berkhidmat sebagai anggota PDRM,” katanya.



Sumber: My Metro– 02 Januari 2017

IKUTI KAMI 👇

https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments