[PART 1] NEGARA RAHMAH UMMAH SEJAHTERA

[ARTIKEL]
[PART 1] NEGARA RAHMAH UMMAH SEJAHTERA

Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)



Secara umumnya kemerdekaan adalah kebebasan daripada cengkaman penjajah dalam semua aspek sama ada secara fizikal ataupun pemikiran. Kita amat bersyukur kerana negara kita telah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun. Namun kita hendaklah bermuhasabah diri dengan menjadikan sambutan hari kemerdekaan negara setiap tahun sebagai titik tolak untuk menilai apa yang telah kita lakukan bagi mengisi dan memberi makna yang jelas kepada nikmat kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh manakah perancangan yang kita lakukan bagi memperkukuhkan pembinaan sebuah negara RAHMAH, Negara yang masyarakatnya hidup dalam keadaan ramah,aman,harmoni,mesra dan hormat menghormati yang akhirnya menatijahkan masyarakat yang aman sejahtera. Pastinya masih banyak peranan yang boleh kita berikan bersama-sama bagi terus membina negara yang cemerlang dan memberi makna jelas kepada kemerdekaan negara dan rakyat. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Demi sesungguhnya bagi penduduk negeri Saba, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri (kariah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur)dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun! ”. (Surah Saba’:15).

Suatu ungkapan yang menggambarkan kemerdekaan jiwa yang dimiliki oleh seorang muslim telah diucapkan oleh sahabat Nabi bernama Rab’i bin ‘Amir ketika ditanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi. Sebuah kisah yang mashyur, pertemuan bersejarah Rab’i bin ‘Amir dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah membawa sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut Islam.

Beliau menyatakan “Allah telah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah semata-mata, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”. Beliau tidak merasa rendah di hadapan para pemuja harta, juga tidak merasa hina berhadapan dengan para penguasa, kerana memiliki jiwa merdeka berdasarkan tarbiyah Islam.

IKUTI KAMI👇
https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments