[PART 2] KEGANASAN BOLEH HANCURKAN DUNIA

[PART 2] KEGANASAN BOLEH HANCURKAN DUNIA
Oleh Ravindran Raman Kutty


Keperluan untuk mendapatkan kuasa yang berpunca daripada sifat tamak dan marah juga merupakan penyebab berlakunya keganasan melampau. Ini terbukti dalam peristiwa 9/11 dan banyak lagi serangan keganasan lain di mana unsur dominasi dan kedudukan jelas dapat dilihat. Kuasa, ketamakan dan kemarahan adalah sifat yang ada pada semua manusia, tetapi masing-masing pada tahap berbeza. Ciri-ciri berkenaan memang diperlukan pada zaman dahulu ketika manusia hidup dalam puak masing-masing kerana mereka perlu menyumbang bagi menjamin kelangsungan hidup.

Cara hidup kita telah berubah sejak itu. Kita tidak lagi perlu bersungguh-sungguh mempertahankan wilayah sendiri, namun akal biologi kita mengekalkan ciri-ciri itu. Rasa kekitaan adalah sifat intrinsik semulajadi manusia. Kita semua memilikinya, kita mahu memiliki dan bersatu, menyayangi dan disayangi. Apabila rasa didiskriminasi, kita mula bergerak mendekati golongan yang menerima kita.

Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan rekrut baharu keganasan melampau berusia antara 17 dan 27 tahun. Kumpulan radikal, sering kali mengeksploitasi kalangan lelaki dan wanita muda yang cenderung mencari rasa kekitaan dan tujuannya. Mereka memanfaatkan golongan muda dalam keadaan mereka berasa tidak mempunyai harapan atau rasa terpinggir dalam aspek ekonomi atau budaya.

Kita boleh berhujah bahawa keganasan berpunca atau dimulakan oleh orang lain kerana keperluan politik atau ekonomi. Saya percaya adalah mustahak bahawa setiap kanak-kanak yang dilahirkan semalam atau hari ini diajar bahawa keamanan mendatangkan kebaikan, bukan keganasan. Jika kita terus hidup dengan berfikiran ‘an eye for an eye’ atau setiap yang berlaku perlu dibalas, seluruh dunia akan menjadi buta.



Kita perlu bermula daripada dari akar umbi dan memanfaatkan tenaga positif golongan muda dengan memberi alat yang mereka perlukan untuk memerangi naratif melampau yang menindas, ‘xenophobia’ dan kata-kata kebencian. Regresi ekonomi dan penindasan keagamaan mesti dihentikan dalam usaha membawa kedamaian dan perpaduan di seluruh dunia.

Manusia telah menakluki lautan yang paling dalam, gunung yang paling tinggi dan binatang yang paling berbahaya, namun manusia gagal mengawal keganasan diri sendiri. Keganasan akan membakar tamadun. Keganasan akan membunuh orang yang tidak bersalah dan memusnahkan banyak lagi jika tidak ditangani dengan serius oleh semua negara di seluruh dunia.


Sumber: Bernama.com

IKUTI KAMI👇

https://al-haqcentre.blogspot.com/
https://twitter.com/alhaqcentre
https://instagram.com/alhaqcentre

"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments