SIRI 1: PENGENALAN.
Ahmad Sauffiyan Abu Hasan
Universiti Kebangsaan Malaysia Jurnal Komunikasi UKM,
Vol. 32 (2) 2016, ISSN 2289-1528, Scopus.
Kebelakangan ini terlalu banyak ideologi yang ciri-cirinya berbentuk fahaman keras dan radikal ataupun ekstrem, bahkan berpotensi mempengaruhi masyarakat sekeliling kepada tindakantindakan yang melampaui batas. Ia termasuklah berbentuk provokasi, ugutan, keganasan, penculikan, penderaan, rampasan, peperangan, pengeboman, pembunuhan dan sebagainya. Terdapat sebilangan masyarakat dunia luar terutamanya Barat begitu fokus melabelkan kelompok Muslim sebagai pengganas, dengan gelaran terrorist (teroris) mahupun extremist (ekstremis atau radikalis).
.
Ancaman kumpulan militan bukan sesuatu yang baru pada Malaysia. Negara ini mempunyai pengalaman menghadapi insurgensi Komunis pada tahun 1948 – 1960. Kemudian, di ikuti pula ancaman dari kumpulan Al-Qaeda dan sekutunya di rantau Asia Tenggara…. Walaubagaimanapun, sehingga kini Malaysia masih selamat dari sebarang serangan kumpulan pengganas disebabkan kemampuan pasukan Polis DiRaja Malaysia dalam menumpaskan mereka dengan efektif.
.
Jelas sekali kebangkitan kumpulan pengganas di Malaysia bukan perkara baru dan Malaysia sudah pun mempunyai pengalaman yang banyak dalam mematahkan gerakan pengganas. Namun yang menjadi igauan ngeri hari ini adalah keupayaan kumpulan pengganas yang tahu menggunakan video dan media sosial secara profesional untuk menyebarkan ideologi mereka di rantau ini. Secara spesifiknya, dalam kajian ini, kumpulan pengganas yang dimaksudkan adalah kumpulan yang dikenali sebagai Daesh.
.
Selepas 15 tahun tragedi 9/11 yang menimpa Amerika Syarikat dunia kini digegarkan dengan kemunculan kumpulan pengganas yang bukan sahaja ganas, sadis dan kejam malah telah berevolusi menjadi kumpulan pengganas yang celik teknologi maklumat. Keputusan George W. Bush dalam operasi unilateral menyerang Afghanistan dibawah preteks memburu Taliban dan Osama bin Laden bukan sahaja gagal malah telah menyebabkan kehancurkan negara, harta benda dan khazanah sejarah di Afghanistan. Keputusan tersebut juga tidak menjadikan dunia lebih aman. Selepas 15 tahun berlalu operasi ini telah membina rasa kebenciaan di kalangan masyarakat Afghanistan dan seterusnya mereka mengangkat senjata sebagai simbolik kepada protes penjajahan negara Uncle Sam ke atas dunia Timur Tengah. Amerika Syarikat nyata tidak mengambil iktibar dari pengalaman tentera Soviet yang gagal mengalahkan militia Mujahidin sekitar tahun 1980an yang akhirnya menyebabkan Kesatuan Soviet bankrap.
.
Daesh pula di satu sudut seperti dalam hipnosis sedang berlawan api dengan api. Melakukan pembunuhan sebagai galas ganti insiden pengeboman dan pembunuhan tentera bersekutu dan memuatnaik video aktiviti mereka ke media sosial. Amerika Syarikat yang mahir memanipulasi media telah menggunakan video kejam Daesh sebagai alat yang menyembunyikan kekejaman mereka ke atas negara Afghanistan, Iraq, Libya, dan Syria yang kini menjadi padang jarak padang tekukur. Kewujudkan Daesh mempunyai sejarah yang panjang dan permulaan kepada bibit-bibit kewujudan Daesh boleh diperincikan terlebih dahulu bermula pada tahun 2001.
.
Secara egonya, tragedi 11 September 2001 telah mencalarkan imej agresif Amerika Syarikat sebagai kuasa veto dunia. Jadi demi memperbetul keadaan ini, kurang sebulan selepas tragedi yang menimpa World Trade Center iaitu pada 7 Oktober 2001, Amerika Syarikat, bersama North Atlantic Treaty Organization (NATO), Pakistan dan 43 negara dunia lain di bawah panji International Security Assistant Force (ISAF) telah bersama-sama dalam misi untuk menghancurkan Taliban dan Osama bin Laden.
.
Kesannya, walaupun selepas 15 tahun operasi mereka gagal mengalahkan Taliban. Menurut Hafemeister (2016), secara politiknya Taliban 5 sudah dikalahkan tapi secara ketenteraan belum lagi. Hanya dengan kem tentera Amerika Syarikat yang luas dan kekuatan tentera domestik yang besar mampu memperbaiki masalah ini. Namun, untuk Amerika Syarikat menghantar lagi jumlah tentera yang besar ke Afghanistan di masa hadapan mungkin tidak akan berlaku.
.
Jelas, operasi menyerang Afghanistan yang diketuai oleh Amerika Syarikat telah gagal kerana Taliban masih berkuasa dari aspek ketenteraan dan pada bila-bila masa sahaja mereka boleh mendatangkan bahaya kepada askar-askar Afghanistan yang dibentuk dan juga ancaman kepada rakyat amnya. Selain itu, selama 15 tahun juga kita dapati tidak ada pengganas Taliban yang mengulangi serangan ala kamikazi ke atas bangunan lain di Amerika Syarikat.
.
Sepanjang tempuh ofensif ke atas Afghanistan, Amerika Syarikat berada di dalam keadaan yang aman dan tenteram. Cuma sekali sekala berita arus perdana mereka melaporkan insiden tembakan oleh rakyat kulit putih dan ia biasanya diklasifikasi sebagai kes masalah mental bukan pengganas. Satu keironian juga apabila BBC News melaporkan pada 5 Januari 2016 bahawa sejak tahun 1986 hingga 2011 kematian tembakan rambang telah meragut sehingga 1.4 juta rakyat Amerika Syarikat berbanding hanya 1.2 juta kematian sejak War of Independence hingga ke operasi di Iraq.
.
Perang dan tembakan rambang adalah dua bentuk keganasan yang perlu ditangani segera namun dengan memberi penekanan kepada isu ini, maka kita harus sedar bahawa keganasan sebenar bukan berpunca dari agama Islam sebaliknya ia berpunca dari manusia itu sendiri. Berbilion dollar telah dibelanjakan untuk operasi melawan pengganas yang berada jauh di Timur Tengah, Asia Barat dan Asia Tenggara sedangkan keganasan yang lebih kerap terjadi di negara Amerika Syarikat sendiri adalah kes tembakan rambang.
.
IKUTI KAMI 👇
.
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!".
Comments
Post a Comment