[NEWS] AS BUNUH PEMIMPIN TERTINGGI AL-QAEDA DI YAMAN


WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) dilaporkan membunuh pemimpin al-Qaeda di Yaman, Qasim al-Rimi dalam satu operasi memerangi keganasan, memetik Rumah Putih pada Khamis lapor agensi berita Anadolu.
.
"AS melancarkan operasi antikeganasan di Yaman menyebabkan Qasim al-Rimi, seorang pengasas dan pemimpin al-Qa'ida di Semenanjung Arab (AQAP) dan seorang wakil kepada pemimpin al-Qa'ida Ayman al-Zawahiri maut," kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.
.
Dalam kenyataan itu Rumah Putih menggunakan ejaan berlainan untuk al-Qaeda.
.
Dilihat sebagai pengganti kepada al-Zawahiri, al-Rimi menyertai al-Qaeda pada 1990-an, berada di Afghanistan untuk berkhidmat dengan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.
.
Kenyataan itu menyebut di bawah kepemimpinan al-Rimi, AQAP melakukan keganasan terhadap orang awam dan berusaha untuk melancarkan serangan terhadap AS dan tenteranya.
.
"Kematiannya memberi tamparan hebat kepada AQAP dan pergerakan al-Qa'ida global, ia membawa kita semakin hampir untuk menghapuskan ancaman kumpulan yang menggugat keamanan negara kita," tambah kenyataan itu.
.
Minggu lalu, memetik bekas pegawai Amerika, The New York Times melaporkan AS melancarkan serangan udara terhadap al-Rimi di Yaman, selepas berjaya mengesannya melalui risikan dan sistem pengawasan udara.
.
Al-Rimi dikatakan terbunuh dalam serangan udara pada Januari dan pegawai masih menunggu pengesahan.
.
Beliau menjadi pemimpin tertinggi yang ketiga menjadi sasaran AS dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
.
AS membunuh komander tertinggi tentera elit Iran Qasem Soleimani dalam serangan udara pada 3 Jan di Baghdad, Iraq dan pemimpin Daesh Abu Bakr al-Baghdadi di Syria pada Oktober.-Bernama

.
Sumber: BERNAMA melalui Sinar Harian – 07 Februari 2020
.
IKUTI KAMI ðŸ‘‡
.
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!"

Comments