[ARTIKEL] PENDEKATAN FIQH ANTI KEGANASAN: ANALISIS TERHADAP REALITI PENGLIBATAN WANITA MALAYSIA
.
SIRI 4: Pendekatan Fiqh Anti Keganasan: Analisis Terhadap Realiti Penglibatan Wanita Malaysia.
Penulis: Muhd Imran Abd Razak.
.
Pengkaji menganalisis secara induktif, deduktif dan kompratif realiti penglibatan wanita Malaysia berdasarkan landasan teori Fiqh Anti keganasan yang telah dibina. Hasilnya, pengkaji dapat merumuskan beberapa pendekatan yang boleh digunapakai sebagai counter-hukum aliran ekstremisme agama sepertimana berikut:
.
i) Menyeimbangkan antara tekstual dan kontekstual. Kefahaman hukum Islam yang berpandukan kepada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah perlulah dilihat secara menyeluruh tanpa dipisahkan antara satu sama lain. Kefahaman kumpulan IS yang bersifat selektif juz’i telah menyebabkan sebahagian dalil-dalil syarak dilihat menggalakkan keganasan secara mutlak.
.
Hal ini dapat dilihat berdasarkan contoh kefahaman mereka terhadap peristiwa hijrah al-Rasul untuk menghalalkan seorang isteri meninggalkan suami dan keluarganya, menghalalkan musafir tanpa mahram, mewajarkan amalan takfir dan lain-lain. Penggunaan dalil-dalil berkaitan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat secara batil.
.
Metod kumpulan IS dalam majalah Dabiq yang menjadikan dalil-dalil tentang kewajipan hijrah adalah batil kerana ianya tidak difahami secara kolektif dan tidak berpijak di alam realiti. Secara kolektif, dalil-dalil pensyariatan hijrah adalah kerana pada waktu tersebut hanya terdapat satu negara Islam iaitu negara Islam Madinah.
.
Orang-orang Islam yang tidak berhijrah pada tersebut akan diseksa oleh orang-orang kafir di tempat asal mereka dan tidak boleh melaksanakan ajaran Islam dengan bebas (Al-Zuhailiy, 1998). Apabila berlakunya peristiwa fath al-Makkah, Rasulullah SAW telah bersabda: “Tidak ada lagi hijrah (selepas pembukaan kota Mekah), tetapi yang ada hanya jihad dan niat, maka apabila kamu diminta untuk berjihad, maka bersegeralah” (Sahih Muslim, no. 13523).
.
Sehubungan itu, gesaan meninggalkan suami jika sudah berkahwin atau meninggalkan ibu bapa jika belum adalah seruan yang tidak menepati kehendak syariat yang memerintahkan berbuat baik kepada ibu bapa dan suami (Surah Luqman (31): 15; Surah al-Baqarah (2): 187).
.
ii) Mengambil kira realiti semasa dan setempat. Salah satu ciri hukum fiqh adalah bersifat praktikal dan meraikan realiti semasa. Tanpa mengambil kira aspek tersebut, hukum hakam Islam akan bersifat kaku, jumud dan keras. Hal ini adalah kerana perbahasan para ulama silam adalah berasaskan realiti yang berbeza.
.
Teks-teks dalil syarak juga bersifat pelbagai kerana berdasarkan situasi yang memerlukan penelitian mengikut metodologi hukum, bukan sekadar difahami secara literal. Kefahaman dan tindakan kumpulan IS yang menjadikan teks-teks tersebut sebagai hujah secara literal telah menimbulkan ketegangan dan jenayah kekerasan yang merosakkan citra Islam.
.
Contohnya tipologi pembahagian negara seperti zaman peperangan, galakan berhijrah tanpa melihat aspek keselamatan wanita, seruan melakukan serangan-serangan lone wolf, dan lain-lain. Ia bukan sahaja menjustifikasikan label ekstremisme agama bagi kumpulan IS, malah sedikit sebanyak memberikan imej buruk terhadap hukum Islam yang harmoni jika tidak diatasi dengan baik.
.
Konsep hijrah yang dianjurkan mereka dengan berhujahkan dalil-dalil syarak terpilih difahami sebagai wajib iaitu penghijrahan daripada Dar al-Kufr kepada Dar al-Islam. Istilah Dar al-Islam dan Dar al-Harb sememangnya terdapat dalam kitab-kitab fiqh yang menunjukkan tentang negara Islam atau Daulah Islamiyyah.
.
Walaubagaimanapun, para ulama dilihat berselisih pendapat dalam menerima konsep tersebut dalam konteks semasa. Wahbah al-Zuhailiy dalam kitabnya Atharu al-Harb fi al-Fiqh al-Islami menyatakan pembahagian tipologi tersebut bukan bersandarkan al-Quran dan al-Sunnah tetapi ianya adalah kerana faktor realiti pada masa silam (Al-Zuhailiy, 1998).
.
Pendapat ini turut dipegang oleh Muhammad Abu Zuhrah, ‘Abd al-Wahhab al-Khallaf dan lain-lain. Al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Jihad menegaskan, para fuqaha silam yang sentiasa melazimi dan memahami dalil-dalil syarak tidak akan mengeluarkan sesuatu pendapat tanpa rujukan yang benar.
.
Beliau melihat ada kebenaran dan kepentingan pembahagian yang dilakukan oleh para fuqaha silam tersebut. Walau bagaimanapun, al-Qaradawi yang bersetuju dengan pembahagian negara kepada tiga bahagian iaitu Dar al-Islam, Dar al-Harb dan Dar al-‘Ahd hanya meletakkan Israel sebagai satu-satunya Dar al-Harb sedangkan negara-negara lain adalah Dar al-Islam atau Dar al-‘Ahd (Al-Qaradawi, 2009).
.
Titik pertemuan kedua-dua pandangan boleh dilihat dalam persetujuan mereka istilah-istilah yang digunakan dikaji semula dalam konteks semasa demi menjaga hubungan antara negara dan keamanan global kealiti dunia hari ini yang mempunyai sempadan dan status warganegara.
.
Pertimbangan realiti ini merupakan disiplin fiqh al-waqi‘ yang membantu pengeluaran sesuatu hukum. Akibat tidak memahami dan mengabaikan realiti, pelbagai undang-undang negara dan antarabangsa yang telah dimaterai dan diperakui akan dilanggar, sedangkan melanggar perjanjian merupakan suatu kesalahan besar dalam Islam walaupun perjanjian itu dibuat dengan orang bukan Islam (Al-Zuhailiy, 1998).
.
Lebih parah, ia juga bakal menyebabkan kemudaratan yang lebih besar seperti ditahan di negara asing, dipenjara, dibuang negeri dan sebagainya.
.
iii) Mengutamakan pentafsiran nas yang mencerminkan kemaslahatan umat Islam secara global, dengan menarik kemanfaatan dan menolak kemudaratan. Situasi umat Islam semasa memerlukan perhatian dan pertimbangan dalam penentuan sesuatu hukum.
.
Selepas zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniah, negara-negara umat Islam tidak lagi berada dalam satu Dar al-Islam, tetapi dibataskan oleh sempadan geografi dan negara-bangsa serta terikat dengan pelbagai peraturan bernegara di peringkat lokal mahupun global.
.
Justeru itu, pertimbangan keutamaan umat Islam telah mengalami perubahan daripada hegemoni kekuasaan dan autoriti kepada negara bangsa yang terpisah dengan identiti kewarganegaraan tertentu. Justeru itu, pentafsiran dalil-dalil syarak secara keras boleh memberikan kesan signifikan terhadap umat Islam sama ada di peringkat lokal mahupun global.
.
Kaedah pentafsiran hukum yang mengutamakan kemaslahatan yang lebih besar sangat diperlukan bagi mendepani situasi semasa umat Islam di samping menghormati teks-teks fiqh klasik.
.
Contohnya pentafsiran berkaitan fiqh jihad yang bersifat damai seperti jihad dalam menuntut ilmu, memerangi hawa nafsu, memperkembangkan ekonomi umat Islam perlu lebih diutamakan daripada seruan jihad bersifat peperangan dan berkonflik dengan negara-negara termasuk orang-orang bukan Islam yang berkongsi kehidupan beraspirasikan jalan kedamaian.
IKUTI KAMI 👇
.
"BERSATU MENENTANG KEGANASAN!".
Comments
Post a Comment